Sumber Dalaman Old Trafford Dedah Hanya Segelintir Pemain Sahaja Masih Berpihak Kepada Ten Hag

Sumber dalaman di Old Trafford kepada ESPN mendedahkan hanya segelintir pemain sahaja di kalangan skuad sedia ada Manchester United yang masih memberikan sokongan kepada pengurus pasukan Erik ten Hag.

Ini bukan kali pertama situasi dalam kelambu Manchester United didedahkan kepada media. Malang sekali semuanya adalah berkaitan perkara negatif yang membuatkan ramai penyokong setia Red Devils semakin muak.

Manchester United melalui kekalahan ke-10 mereka pada musim ini menentang Newcastle pada hujung minggu lalu, membuatkan tekanan semakin memuncak buat Ten Hag.

Kekalahan dan juga kekecewaan diikat Galatasaray 3-3 di pertandingan Champions League pada minggu lalu, yang hampir menyingkirkan kelab itu daripada pertandingan elit kelab Eropah itu, menyebabkan lebih ramai pemain utama di dalam skuad United semakin tawar hati.

Menurut sumber kepada ESPN pada ketika ini hanya beberapa orang pemain sahaja yang masih mempercayai kemampuan Ten Hag dan barisan kejurulatihannya.

Namun kerisauan sebenar adalah situasi moral di bilik persalinan akan menjadi semakin parah sekiranya tiada perubahan positif dicapai dalam beberapa perlawanan mendatang.

Laporan itu mendedahkan kebanyakkan pemain tidak senang dengan corak latihan Ten Hag yang keras, selain taktikal yang diterapkan dianggap menyukarkan pasukan untuk menyerang dengan berkesan. Perkara ini boleh dilihat ketika perlawanan menentang Galatasaray dan kekalahan kepada Newcastle.

Ten Hag dilaporkan cuba untuk menenangkan keadaan di dalam bilik persalinan pasukan dengan memberikan sokongan secara terbuka kepada pemain secara individu.

Terbaru jurulatih dari Belanda itu enggan mengkritik Andre Onana atas kesilapan penjaga gol itu dalam perlawanan menentang Galatasaray, dan turut berada di belakang Rashford ketika pemain itu dikritik atas prestasinya menentang Newcastle.

Di kalangan skuad United, Lisandro Martinez dianggap sebagai penyokong tegar Ten Hag, dan pemain itu turut berada di dalam skuad utama walaupun mengalami kecederaan.

Ten Hag dikatakan hilang pengaruh Martinez dan Casemiro di bilik persalinan akibat kecederaan dan kedua-dua pemain merupakan pendukung tegar ideologi bola sepak jurulatih itu.

BACA:  Man Utd Goyang Memikirkan 'Badi' Ronaldo Bertemu Chelsea