Alasan Ultimate Dungu Klopp Selepas Sekadar Seri Bertemu Arsenal

Ketiadaan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita tak sepatutnya dijadikan alasan tentang mengapa skuad Liverpool tak boleh bermain dengan baik bertemu Arsenal awal pagi tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp turun beraksi bertemu Arsenal di Anfield dalam aksi peringkat separuh akhir pertama saingan FA Cup.

Liverpool kebiasaannya akan menurunkan skuad muda atau barisan pemain simpanan mereka untuk turun beraksi dalam saingan Cup Competition seperti FA Cup, atau Carabao Cup.

Namun dalam aksi bertemu Arsenal hari ini, mereka sepertinya telah menurunkan skuad terbaik yang mereka miliki, cuma ketiadaan Salah, Mane dan Keita yang kini sedang berada di Cameroon.

Malang untuk sang penakluk dunia, walau bermain di halaman sendiri dan turut menggunakan kesebelasan terbaik mereka, namun mereka masih gagal untuk mencatatkan kemenangan bertemu Gunners.

Lebih parah lagi, The Reds sebenarnya lebih dari separuh perlawanan ini bermain dengan kelebihan seorang pemain selepas Granit Xhaka dibuang padang.

Bermain di halaman sendiri, menggunakan kesebelasan terbaik dan turut ada kelebihan bermain dengan 11 orang pemain bertemu 10 pemain, namun masih gagal untuk mencatatkan kemenangan, adakah ini keputusan yang baik?

Memburukkan keadaan lagi, selepas tamat perlawanan tersebut, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah mengeluarkan kenyataan yang dianggap ultimate dungu kepada media.

“Beritahu saya satu pasukan yang tidak akan merindui Sadio Mane, Mo Salah dan Naby Keita? Adakah kami sudah lebih bersedia untuk itu? Saya tak rasa macam tu.”

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jurgen Klopp itu adalah sangat tidak masuk akal dan sepertinya beliau tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Alasan tak bersedia Klopp masuk akal?

Adakah AFCON baru diumumkan bulan lalu? Adakah beliau baru sedar yang Salah, Mane dan Keita merupakan pemain dari benua Afrika?

Saingan AFCON sepatutnya dilangsungkan pada Januari tahun lalu namun kerana wabak pandemik yang teruk melanda dunia, maka ia ditangguhkan pada tahun ini.

Dalam tempoh setahun, Liverpool sudah melalui jendela perpindahan Januari 2021, jendela perpindahan musim panas 2021 dan kini jendela perpindahan 2022, berapa orang pemain yang di bawa masuk?

Adakah Liverpool cukup bersedia? Tak. Tapi mengapa tak? Sebab pimpinan kelab sendiri yang bodoh.

Aleksandar Isak pernah dikaitkan dengan bakal ditandatangani oleh Liverpool sebagai calon pengganti Mo Salah dan Sadio Mane yang akan beraksi di AFCON.

Namun apa hasilnya? Satu rundingan pun tak dilakukan oleh pihak kelab, dan berita itu jelas sekali hanya khabar angin yang direka untuk menyedapkan hati para peminat.

Alasan tak cukup bersedia memang langsung tak boleh diterima pakai kerana Klopp sendiri sebenarnya sudah ada tempoh yang cukup panjang untuk lakukan persiapan bagi menghadapi situasi ini.

Sejak beberapa musim kebelakangan ini Liverpool lebih banyak menjual pemain berbanding menandatangani pemain baru dan ia jelas bukan usaha untuk membantu kelab untuk terus bersaing di pentas tertinggi.

Skuad sedia ada Liverpool pada ketika ini juga dibarisi oleh rata-rata pemain yang usia mereka sudah peak dan seandainya tiada penandatanganan baru, adakah Liverpool perlu bermula semula dari bawah?

Klopp seperti sedia maklum akan senantiasa melindungi Henry dari ditibai oleh para peminat, dengan beliau akan sentiasa menganggap skuadnya sudah cukup baik dan tak perlu ada penandatanganan baru.

Namun jauh di sudut hatinya, beliau tahu yang Liverpool kini memang terdesak dan tersangat perlu mendapatkan pemain baru bagi terus mencabar kejuaraan-kejuaraan besar.

Tidak keterlaluan untuk menganggap yang pemilik Liverpool tidak begitu peduli tentang hasil yang bagus melainkan keuntungan yang lebih menakjubkan.

Beliau akan tampil dengan alasan tiada dana seandainya di desak untuk membeli pemain, namun baru-baru ini beliau baru sahaja melengkapkan pembelian sebuah kelab hoki ais.

Adakah alasan ketiadaan pemain yang beraksi di AFCON ini akan terus didengari sehingga kesemua pemain dari benua Afrika itu pulang nanti?

Bergantung kepada persembahan dan keputusan skuad masing-masing, seandainya ada yang ke perlawanan akhir, mereka berkemungkinan akan kembali sertai skuad Liverpool pada Februari nanti.

Semoga saja tiada lagi alasan tak bersedia atau skuad lumpuh sebab hilang pemain yang akan keluar dari mulut Jurgen Klopp.

Dari bising kepada media, lebih baik beliau ketuk pintu bilik pemilik kelab, dan menjerit di depan mukanya supaya beli pemain.

Sumber: Anfield Watch

BACA:  Liverpool Sudah Merancang Laluan Untuk Sambutan Liga Perdana Inggeris & Liga Juara-Juara