Anthony Martial ‘Sound’ Bruno Fernandes Kerana Gagal Sumbangkan Assist Dalam Pra-Musim

Penyerang Manchester United, Anthony Martial, bagaikan mati hidup semula sepanjang kempen jelajah pra-musim pasukannya di Asia Pasifik pada tahun ini.

Pada penghujung musim lalu, masa depan pemain ini di kelab tersebut boleh dikatakan sudah menemukan jalan noktah. Mana tidaknya, dia hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja buat kelab sebelum dipinjamkan ke Sevilla pada separuh kedua musim.

Walaubagaimanapun, sejak kedatangan Erik Ten Hag selaku pengurus baru pasukan, mood Martial telah berubah dan prestasinya di atas padang semakin baik di mana dia telah menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan pra musim, menentang Liverpool, Melbourne City FC dan juga Crystal Palace.

Malah apa yang mengkagumkan adalah bukan sekadar jumlah jaringannya sahaja, tetapi juga sikapnya di atas padang. Dia dilihat lebih bersemangat untuk melakukan larian tekanan terhadap pihak lawan dan golnya ketika menentang Liverpool membuktikannya.

Ketenangannya di depan gol terbukti ketika dia menjaringkan gol pertama pasukan dalam perlawanan menentang Melbourne.

Pada minit ke-17, Malacia melakukan hantaran lintang di depan kotak penalti ke arah Dalot yang berada di hujung sebelah kanan padang. Dalot mengawal bola dengan baik lalu melakukan hantaran kepada Martial yang berada hampir dengan kotak 6 ela.

Sebaik bola sampai ke hadapannya, Martial mendada dan mengawal bola dengan baik sebelum menolak bola dengan tenang masuk ke dalam gol pasukan lawan untuk gol pertama United.

Dengan keadaan ketika ini, Martial dilihat sudah tentu akan menjadi pilihan utama di bahagian serangan olehb Ten Hag, melainkan Cristiano Ronaldo melakukan u-turn dan kembali ke pangkuan kelab selepas tiada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Borak-Borak Sebelum Pra-Musim

Sebelum bemulanya pra-musim, video yang direkod rakan sepasukan, Bruno Fenandes, telah menyaksikan bahawa Martial meminta pemain tengah tersebut menyumbangkan assist ketika mereka sedang terbang di awan biru menuju ke Thailand.

“Itu sudah pasti,” jawab Bruno dalam video yang dirakamnya tersebut.

Daripada sedutan video tersebut, ramalan Bruno adalah tepat di mana penyerang Perancis itu berjaya menjaringkan gol, tetapi dia gagal menepati janjinya untuk membekalkan assist kepada rakannya.

Ketika di dalam penerbangan pulang ke England, Bruno sekali lagi buat-buat sibuk di dalam kapal terbang di mana dia merekodkan aksi dan aktiviti rakan sepasukan. Setibanya dia di tempat duduk Martial, Bruno berkata;

“Ya kita jumpa lagi dengan Tony Martial.

“Pemain terbaik jelajah pra-musim. Pemain yang menjaringkan banyak gol buat kami.

“Apa pendapat kamu tentang jelajah pra-musim tu, Anthony? Suka tak?” tanya Bruno.

“Bagus…tapi kau tak bagi assist pun kat aku ek,” jawab Martial, lalu dipujuk oleh Bruno.

“Betul tu. Tapi kamu tahu tak? Saya simpan semuanya (assist) untuk perlawanan liga nanti.

Jawapan tesebut disambut baik oleh Martial yang kemudiannya berkata, “Aku suka tuuu.”

Video tersebut menunjukkan betapa akrabnya hubungan persahabatan antara kedua-dua pemain ini. Peminat Manchester United pastinya mahu melihat kedua mereka berganding bahu tolong-menolong dalam membawa cabaran pasukan dalam liga nanti.

Dalam penerbangan yang sama, Bruno juga sempat menskodeng beberapa rakan sepasukan lain, termasuk dua pemain muda yang menarik perhatian ramai – Zidane Iqbal dan Charlie Savage.

Selepas ini, United akan bertemu kelab Sepanyol, Atletico Madrid di Oslo, Norway, dalam satu lagi siri perlawanan persahabatan mereka sebelum melayan kunjungan Rayo Vallecano di Old Trafford untuk perlawanan persediaan terakhir mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Sumber : GMS

BACA:  "Tiga Daripada Empat Pemain Paling 'Rosak' Masih Ada Di Man Utd"- Mourinho