Apa Yang Jota Katakan Kepada Gomez Sebelum Aksi Bertemu Watford

Diogo Jota berjaya menjaringkan gol ketika membantu Liverpool menewaskan Watford 2-0 dalam aksi saingan Premier League malam semalam.

Gol tersebut merupakan gol ke-20 Diogo Jota untuk Liverpool dari semua pertandingan sepanjang musim ini dan beliau jelas sekali sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Jota sememangnya sedang berada di tahap prestasi terbaiknya pada ketika ini baik di peringkat kelab mahupun di pentas bola sepak antarabangsa bersama skuad Portugal.

Dari 20 gol yang beliau jaringkan untuk Liverpool, 13 darinya merupakan gol penting yang banyak membantu Liverpool berada di mana mereka berada pada ketika ini.

10 dari 20 gol tersebut merupakan gol pendahuluan dan jelas sekali hal itu membantu Liverpool untuk mencatat kemenangan.

Tiga dari 20 gol tersebut pula merupakan gol penyamaan dan ia membuktikan yang Diogo Jota sebenarnya kerap menjaringkan gol-gol penting untuk Liverpool.

Dalam saingan Premier League, Diogo Jota berada di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukannya, Mohamed Salah sebagai penjaring terbanyak.

Beliau ketika ini sudah berjaya menjaringkan 14 gol dan lebih menakjubkan lagi, beliau merekodkan gol seimbang dengan kaki kanan, kaki kiri dan kepala.

Jota menjaringkan enam gol menggunakan kaki kiri, empat gol menggunakan kaki kanan dan empat gol menerusi tandukan.

Beliau merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Premier League musim ini yang menjaringkan gol menggunakan kepala.

Walau tidak mempunyai fizikal yang terlalu tinggi dan besar, namun hal itu tak menghalang Jota untuk kerap menjaringkan gol menerusi tandukan.

Jurgen Klopp sendiri turut mengagumi dan memuji kehebatan Diogo Jota dan percaya penyerang Portugal itu sedang dalam perjalanan untuk menjadi pemain terhebat dunia.

“Diogo merupakan seorang pemain penyerang. Persembahan dia semakin meningkat sejak dari awal dia datang. Dia sedang dalam perjalanan untuk menjadi pemain penyerang berkelas dunia.”

Apa yang Jota katakan kepada Gomez sebelum perlawanan

Peminat mungkin perasan ketika Jota meraikan gol jaringannya bertemu Watford semalam, Jota nampak benar-benar gembira untuk Joe Gomez.

Beliau segera mencari pemain pertahanan itu sebaik selepas menjaringkan gol dan sebenarnya ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka sebelum sepak mula perlawanan tersebut.

Jota sudah dari awal memberitahu Gomez yang beliau yakin bintang England itu akan mencatatkan assists dalam perlawanan tersebut.

“Saya bercakap dengan Joey sebelum perlawanan, saya kata, ‘kamu akan dapatkan assists hari ini.”

Dan ketika Gomez benar-benar berjaya mencatatkan assists, Jota segera meraikan hal tersebut bersama rakan sepasukannya itu, dan lebih manis lagi, assists itu adalah untuk gol yang dijaringkan olehnya sendiri.

Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Watford dengan satu lagi gol dijaringkan oleh Fabinho menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu membantu Liverpool untuk berada di puncak saingan liga buat seketika, sebelum mereka kembali di pintas oleh Manchester City.

Liverpool selepas ini akan turun beraksi bertemu Benfica di peringkat suku akhir saingan Champions League di Portugal pada awal minggu hadapan.

Selepas itu, mereka bakal berkunjung ke Etihad untuk beraksi bertemu Manchester City dalam aksi saingan Premier League.

Perlawanan tersebut jelas sekali merupakan perlawanan penting, kerana pemenang dalam perlawanan itu akan semakin berpotensi untuk menjuarai saingan Premier League musim ini.

Liverpool perlu mencatat kemenangan andai mereka mahu memimpin carta saingan liga, sementara City perlu menang andai mereka mahu menjarakkan diri dari The Reds.

Jelas sekali perlawanan tersebut bakal menjadi antara perlawanan tumpuan dan perlawanan paling dinanti-nantikan oleh para peminat dalam saingan Premier League.

BACA:  Alasan Utama Mengapa Diogo Jota Tidak Menggunakan Nama Sebenar Beliau Pada Jersinya