Diogo Jota Dianggap Pemain Portugal Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini

Pemain penyerang Liverpool, Diogo Jota kini dianggap sebagai pemain Portugal terhebat dalam dunia bola sepak.

Atas kemampuan yang dipersembahkan dan sumbangan yang disumbangkan, tiada dakwa dakwi lagi Jota jauh meninggalkan pemain Portugal lain dari segi prestasi, terutama dalam saingan Premier League.

Beliau mungkin tidak memiliki nama yang besar seperti Cristiano Ronaldo atau Bruno Fernandes, namun jika dilihat dari aksi beliau pada ketika ini, Jota berhak untuk lebih disanjungi.

Beliau ditandatangani oleh Liverpool pada musim panas 2020 dengan yuran perpindahan bernilai €44.70 juta dari Wolves.

Tidak dinafikan yang bekas bintang Atletico Madrid itu berjaya meninggalkan impak yang segera dan membuktikan kepada peminat bahawa beliau merupakan penandatanganan yang tepat.

Kemampuan beliau dalam menjaringkan gol tidak boleh dipertikaikan lagi dengan Jota dianggap antara penyerang paling tajam dalam dunia bola sepak hari ini.

Dari 22 penampilan dalam saingan Premier League sepanjang musim ini, beliau berjaya menjaringkan 12 gol untuk berada di kedudukan kedua sebagai penjaring terbanyak.

Jota hanya empat gol sahaja dipisahkan dari Mohamed Salah yang sedang mendahului senarai penjaring terbanyak saingan Premier League musim ini.

Lebih menarik lagi, beliau turut berjaya menjaringkan gol dalam semua pertandingan yang beliau sertai bersama Liverpool sepanjang musim ini.

Selain 12 gol dalam saingan Premier League, Jota turut berjaya menjaringkan satu gol dalam saingan Champions League dan FA Cup, dan beliau turut berjaya menjaringkan tiga gol dalam saingan Carabao Cup untuk bantu Liverpool mara ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Melihat kepada statistik, rekod serta persembahan yang beliau persembahkan, sepertinya tiada dalil untuk mana-mana individu menolak yang beliau merupakan pemain Portugal paling berprestasi pada ketika ini.

Memandangkan beliau baru berusia 25 tahun, agak cerah sebenarnya peluang untuk Jota menjadi pengganti Ronaldo yang kini sudah dihujung kariernya, untuk memimpin skuad Portugal.

Ketika Liverpool turun bertemu Leicester City dalam aksi saingan Premier League awal pagi tadi, Diogo Jota berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu The Reds mencatatkan kemenangan 2-0.

Beliau jelas sekali berjaya memikul tugas sebagai penyerang utama dengan sangat baik sepanjang ketiadaan dua mesin pencetak gol Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang sebelum ini berada di Cameroon untuk beraksi dalam saingan AFCON.

Dua gol jaringan beliau sudah cukup untuk membantu Liverpool mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Leicester City, seterusnya terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar kejuaraan liga.

Liverpool kini sembilan mata dibelakang pendahulu saingan liga, Manchester City namun mereka masih mempunyai kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Tidak akan mengejutkan andai Liverpool akan mampu memintas Man City pada penghujung musim nanti, memandangkan mereka juga sedang berada di tahap persembahan terbaik kelab pada ketika ini.

Liverpool pada musim ini sangat berpotensi untuk setidak-tidaknya memenangi satu Piala di hujung musim nanti, memandangkan mereka masih ada dalam semua kejohanan yang disertai.

Liverpool masih ada di pusingan kalah mati saingan FA Cup dan Champions League, dengan mereka turut sudah melayakkan diri ke perlawanan akhir saingan Carabao Cup.

Jelas sekali agak sayang seandainya Liverpool mengakhiri saingan musim ini dengan tidak memenangi apa-apa kerana mereka sedang berada di landasan terbaik untuk memperoleh sesuatu.

Mungkinkah Jota akan memenangi Piala pertamanya bersama Liverpool musim ini? Atau mungkin beliau akan berjaya julang lebih dari satu Piala pada penghujung musim nanti?

Jika dilihat dari persembahan dan sumbangan, beliau jelas sangat berhak untuk melakukan hal itu.

BACA:  Bolos 12 Gol Dari 4 Perlawanan, Klopp Mulai Persoal Keutuhan Benteng Kelas Dunia Liverpool