Liverpool Dianggap Tak Ada Semangat Kesukanan Kerana Tetap Bermain Walau Ada Pemain Tumbang

Para penyokong Newcastle bengang dengan pengadil perlawanan, Mike Dean kerana membenarkan gol jaringan Diogo Jota walau ada pemain Newcastle yang sedang terbaring.

Diogo Jota meledak gol ketika aksi kemenangan 3-1 Liverpool menewaskan Newcastle United di Anfield awal pagi tadi.

Walau bagaimanapun, gol jaringan Diogo Jota telah menyebabkan ramai peminat menghentam Liverpool sebagai pasukan yang tak ada semangat kesukanan.

Pemain penyerang Liverpool, Diogo Jota berjaya memadam gol pendahuluan Newcastle United yang dijaringkan oleh Jonjo Shelvey pada aksi babak pertama permainan.

Walau bagaimanapun, gol tersebut tidak diterima dengan baik oleh para penyokong, dengan ramai yang menganggap gol tersebut sepatutnya dibatalkan.

Dua pemain Newcastle, Fabian Schar dan Hayden dilihat berlaga antara satu sama lain ketika cuba menggagalkan serangan Liverpool di dalam kotak penalti.

Selepas berlaga kepala, kedua-dua Schar dan Hayden dilihat terbaring di atas padang, sementara jentera serangan Liverpool tetap meneruskan permainan.

Schar sempat untuk kembali bangun, namun Hayden kekal terbaring di atas padang, dan ia nampaknya seolah-olah beliau mengalami kecederaan kepala.

Pengadil perlawanan, Mike Dean membenarkan untuk permainan diteruskan, dengan The Reds berjaya memanfaatkan situasi untuk meledak gol penyamaan.

Jota yang berada di kedudukan onside kemudiannya berjaya menjaringkan gol sambil Hayden masih tetap terbaring ketika para pemain sedang meraikan gol jaringan mereka.

Anak-anak buah Eddie Howe kemudiannya meluru ke arah Mike Dean untuk membantah gol tersebut, dan mempertikaikan kenapa permainan masih tetap diteruskan walau ada pemain yang cedera di bahagian kepala.

Legenda Sunderland, Micky Gray yang mengulas perlawanan tersebut di studio talkSPORT percaya yang pemain Liverpool sepatutnya mengeluarkan bola dari kawasan permainan.

“Kamu sepatutnya boleh faham mengapa pemain Newcastle mengelilingi Mike Dean, ada dua pemain Newcastle yang terbaring di atas padang.”

“Tapi Liverpool memenangi bola dengan baik, mereka pastikan bola tak keluar dari kawasan permainan, dan Jota berjaya memastikan. Bola berakhir di dalam jaring gawang gol.”

“Jika ada sesiapa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, Mike Dean sepatutnya perlu menghentikan perlawanan terlebih dahulu.”

“Mari kita jujur, pemain Liverpool sepatutnya menghentikan permainan itu sendiri bukan?”

Begitulah komen dari Micky Gray yang merasakan Liverpool sepatutnya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan tak sepatutnya meneruskan permainan jika berdepan situasi seperti itu.

Insiden ini sebenarnya hampir sama dengan insiden yang berlaku ketika aksi pertemuan Manchester United bertemu Arsenal sebelum ini.

Emile Smith Rowe berjaya meledak gol padu dari luar kotak penalti, dengan David De Gea pada ketika itu sudah terbaring di dalam gawang golnya sendiri.

De Gea menderita kecederaan di bahagian kakinya selepas dipijak oleh rakan sepasukannya sendiri, Fred dan kerana itulah gol Smith Rowe disahkan oleh pengadil perlawanan.

Begitu juga dengan gol jaringan Diogo Jota, ia disahkan oleh pengadil perlawanan kerana tiada kekasaran yang dilakukan oleh pemain Liverpool, melainkan pemain Newcastle berlaga antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, apa yang penyokong Newcastle pertikaikan sekarang adalah kecederaan yang menimpa Hayden adalah melibatkan kepalanya.

Ketika berlaku pelanggaran kepala, pengadil perlawanan seharusnya segera memberhentikan permainan dan memastikan pemain yang terlibat mendapat rawatan segera.

Walau bagaimanapun, selepas gol Jota disahkan, Hayden bangun dengan sendiri dan meneruskan permainan seperti biasa.

Melihat kepada situasi itu, para penyokong Liverpool tampil mempertahankan Jota dan menganggap Hayden sengaja rebah tak mahu bangun, dengan harapan jentera serangan The Reds berhenti menyerang.

Liverpool kemudiannya berjaya meledak dua lagi gol dengan Mo Salah dan Trent Alexander Arnold mencipta nama sebagai penjaring gol untuk bantu Liverpool catatkan kemenangan selesa 3-1 menewaskan Newcastle.

Gol jaringan Salah membantu beliau untuk menyamai rekod Jamie Vardy sebagai pemain yang berjaya menjaringkan gol atau mencatatkan assists dalam 15 perlawanan liga secara berturut-turut.

Trent Alexander Arnold pula sementara itu berjaya meledak gol yang cukup padu dari luar kotak penalti, seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara pemain pertahanan terbaik Premier League pada ketika ini.

Kemenangan ini berjaya membantu Liverpool untuk terus berada di kedudukan kedua dalam carta liga, dengan mereka kini hanya satu mata sahaja dibelakang Man City.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Luis Diaz Hanya Memerlukan 10 Minit Untuk Buktikan Beliau Penandatanganan Tepat Untuk Liverpool