Konflik Benzema Dan Nuno Espirito Cetus Ketegangan Di Bilik Persalinan Al Ittihad

Baru memasuki dua perlawanan musim baharu Saudi Pro League, situasi di bilik persalinan Al Ittihad kini dilaporkan penuh dengan toksik.

Konflik tersebut dipercayai berkaitan dengan polisi perpindahan pemain melibatkan Diogo Jota dan kini Karim Benzema yang dikatakan bersengketa dengan pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo.

Menurut medua Al-Sharq Al-Awsat di Arab Saudi, konflik di dalam bilik persalinan pasukan itu semakin menjadi tegang walaupun pasukan itu menang dua perlawanan pembukaan pada musim ini.

Al Ittihad adalah salah sebuah kelab Saudi Pro League yang aktif di jendela perpindahan musim panas ini dengan merekrut bintang-bintang utama Eropah.

Selain daripada Jota dan Benzema, kelab itu turut membawa masuk N’Golo Kante daripada Chelsea dan Fabinho daripada Liverpool sejak dua bulan lalu.

Walaupun dianggap berjaya melakukan urusniaga di pasaran pemain, kelab itu kini mengalami kesukaran dengan pemain bintang yang didatangkan mereka.

Menurut laporan Al-Sharq Al-Awsat, hubungan Benzema dengan Nuno menjadi keruh selepas layanan yang diterima oleh bekas pemain Real Madrid itu daripada pengurus berasal dari Portugal itu.

Nuno adalah pengurus yang berjaya mendatangkan kejuaraan untuk Al Ittihad pada musim lalu menjelaskan Benzema bukanlah pemain yang dimahukannya dan tidak sesuai dengan corak permainan yang diterapkannya di dalam pasukan.

Benzema turut dilaporkan tidak berpuas hati dengan situasi semasa di dalam bilik persalinan dan telah menyatakan pendapatnya kepada pihak yang bertanggungjawab membawa dirinya ke negara Timur Tengah itu.

Benzema yang masih belum menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan pertama pada musim ini mahukan penyelesaian segera dilakukan terhadap situasi yang dihadapinya pada ketika ini.

Malah terdapat laporan menyatakan Benzema enggan turun menjalani latihan bersama pasukan yang dikendalikan oleh Nuno.

Satu lagi sumber daripada media di Arab Saudi melaporkan Benzema sebenarnya tidak berpuas hati kerana tidak diberikan lilitan kapten oleh Nuno.

Bekas pengendali Wolves itu menyerahkan lilitan kapten kepada Romarinho untuk perlawanan pertama, dan kemudiannya kepada Ahmed Sharahili untuk perlawanan berikutnya – walaupun peranan tersebut dipinta oleh Benzema.

Sejauh mana situasi ini akan memberi kesan kepada keberadaan Benzema atau Nuno di Al Ittihad tidak boleh dipastikan setakat ini.

Selepas melabur besar dan jendela perpindahan di Eropah bakal ditutup dalam tempoh beberapa hari lagi, Al Ittihad sudah pasti enggan perkara ini berlanjutan dan menuntut penyelesaian segera dilakukan.

BACA:  'Bromance' White Dan Phillips Mengingatkan Peminat Terhadap Aksi Romantis Reus Dan Lewandowski