Arsene Wenger Tidak Akan Letak Jawatan, Yakin Mampu Ubah Keadaan

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau tidak akan sekali-kali meletakkan jawatan dan enggan berfikir mengenai risiko kehilangan jawatan di Arsenal.

Pengurus berasal dari Perancis ini melihat dirinya berada dalam tekanan yang tidak pernah dilihat sebelum ini selepas Arsenal tewas 4 perlawanan terakhir mereka, termasuk tewas 3-0 sebanyak dua kali kepada Manchester City dalam masa kurang seminggu.

21 tahun masih belum cukup buat Wenger

Walaubagaimanapun, Wenger enggan melayan spekulasi pihak media mengenai jawatannya dan percaya beliau masih lagi individu yang tepat untuk memimpin Arsenal mengharungi keadaan sukar ini.

Pada perlawanan liga semalam, Arsenal sekali lagi tewas 2-1 di tangan pasukan pertengahan liga, Brighton dan ia merupakan kekalahan ke-9 mereka musim ini. Ia juga merupakan kekalahan ke-8 dari 13 perlawanan terakhir Arsenal.

Walaupun sering menerima tekanan dari pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan sebelum ini, beliau tidak pernah mengalami situasi seperti sekarang dimana Arsenal sekadar menghuni tangga ke-6 Liga Perdana Inggeris dan  bersaing dalam Europa League sahaja musim ini.

Ketika bercakap kepada Skysports selepas melihat anak buahnya tewas kepada Brighton, Wenger mengakui ini kali pertama beliau mengalami keadaan sesukar ini.

“Ya, saya boleh kata ini kali pertama ia berlaku dalam karier saya. Situasi ini bukan mudah buat saya, tetapi saya mempunyai pengalaman dan keinginan yang cukup untuk mengubah keadaan. Buat masa sekarang, kami sering melakukan beberapa kesilapan pada waktu yang salah.”

Kekalahan ke-9 musim ini. Steady

“Kami harus kekal bersatu dan fokus. Tiada jalan penyelesaian lain untuk mengatasi masalah kami selain dari itu.”

Wenger akan melihat dirinya terus menjadi fokus pihak media dan peminat Arsenal untuk minggu-minggu yang mendatang. Wenger didakwa memegang jawatan pengurus Arsenal terlalu lama dan sepatutnya telah lama bersara bagi memberi nafas baru kepada Arsenal. Seperti dijangka, Wenger berkata tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau untuk meletakkan jawatan dalam masa terdekat ini.

“Anda harus fokus terhadap kerja anda. Ini merupakan soalah yang sering ditanya apabila anda berada dalam situasi seperti yang saya alami sekarang.”

“Anda harus lakukan kerja anda dan melakukan perkara yang betul buat pasukan. Itu sahaja. Saya beritahu kamu [pihak media], masa depan saya selaku pengurus Arsenal adalah perkara terakhir yang saya risaukan ketika ini. Apa yang saya amat risaukan adalah bagaimana untuk membuat Arsenal kembali memenangi perlawanan.”

Sekali lagi Arsenal gagal bertahan dengan baik ketika sepakan sudut

“Saya akan memberikan yang terbaik selagi saya masih berada di sini. Saya akan melakukan segala-galanya untuk menaikkan semangat pasukan ini. Tetapi kami perlu mengembalikan tahap fizikal pasukan terlebih dahulu. Jadual perlawanan kami ketika ini agak terlalu padat.”

Arsenal masih mempunyai harapan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan dengan memenangi Europa League musim ini tetapi mereka perlu terlebih dahulu menewaskan pasukan meningkat naik dari Itali, AC Milan dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

BACA:  Leno: Saya Sertai Arsenal Untuk Bermain Setiap Minggu