Aston Villa Secara Rasminya Mengumumkan Steven Gerrard Sebagai Pengurus Baru

Aston Villa telah mengesahkan pelantikan Steven Gerrard sebagai pengurus kelab yang baharu selepas mereka memecat Dean Smith minggu lalu.

Gerrard meninggalkan Juara bertahan saingan Scottish Premiership, Rangers untuk menyertai Aston Villa, seterusnya memulakan karier barunya sebagai pengurus di England.

Beliau telah menandatangani kontrak perjanjian selama tiga tahun setengah untuk mengendalikan Aston Villa yang merupakan kelab Inggeris pertama akan beliau kendalikan.

Aston Villa juga dilaporkan sudah membayar pampasan bernilai £3 juta ke £4 juta kepada Rangers untuk mereka mendapatkan khidmat Gerrard bersama pembantunya, Gary McAllister.

Ini bukanlah kali pertama untuk Gary McAllister melatih Aston Villa, dengan beliau juga merupakan pembantu jurulatih kelab ketika era kendalian Gerard Houllier pada musim 2010/11.

Legenda Liverpool yang kini berusia 46 tahun itu mula mengurus Rangers pada tahun 2018, dan berjaya membantu gergasi Scotland itu untuk memenangi gelaran liga musim lalu.

Beliau berjaya menghentikan dominasi Celtic dari memenangi gelaran liga ke-10 berturut-turut, seterusnya membantu Ranger memenangi gelaran liga ke-55 mereka dengan rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang musim.

Kehebatan beliau menjadi pengurus di Scotland memperlihatkan Gerrard berjaya memenangi anugerah SFWA Manager of the Year, PFA Scotland Manager of the Year dan SPFL Manager of the Year.

Aston Villa akan menjadi kelab kedua yang dikendalikan oleh Steven Gerrard selepas beliau mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak pada tahun 2016 yang lalu.

Bekas ketua pasukan England itu akan mengambil alih tugas Smith yang dipecat oleh Aston Villa selepas kekalahan 1-0 mereka di tangan Southampton minggu lalu.

Dean Smith dipecat

Dean Smith telah dilantik sebagai pengurus Aston Villa pada Oktober 2018 dan beliau berjaya membawa kelab kembali ke saingan Premier League pada musim pertamanya sebagai pengurus di Villa Park.

Beliau pada ketika itu turut berjaya mencipta rekod dengan membantu Villa merekodkan 10 kemenangan secara berturut-turut.

Musim berikutnya, beliau berjaya membantu Villa untuk kekal dalam saingan Premier League dan turut cemerlang membawa kelab ke aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup.

CEO kelab, Christian Purslow menyatakan bahawa:

“Ketika Dean menyertai kami pada Oktober 2018, skuad kami sedang benar-benar dalam kesukaran dalam saingan Championship. Dia dengan segera ubah semua itu dan membawa Villa untuk kembali ke saingan Premier League.”

“Dia kemudiannya berjaya kekalkan kami dalam saingan Premier League selepas melalui musim yang sukar dan turut bawa kami ke aksi perlawanan akhir Carabao Cup.”

“Walau bagaimanapun, selepas permulaan musim yang hebat, tahun ini kami tak nampak ada peningkatan dari segi keputusan, persembahan dan kedudukan dalam liga. Yang mana ia merupakan hal yang kami semua cari.”

“Atas alasan itu, kami memutuskan untuk melakukan perubahan sekarang dan mahu mencari pengurus baru yang boleh berikan impak.”

Kekalahan bertemu Southampton merupakan kekalahan kelima berturut-turut Aston Villa dalam saingan Premier League musim ini.

Aston Villa pada ketika ini berada di kedudukan ke-16 dalam saingan liga, dan mereka berada di kedudukan paling tidak selamat untuk berada di zon penyingkiran.

https://twitter.com/ESPNFC/status/1458737222463725573?t=Xnm0da-xQchziQndjp5y8g&s=19

Mereka juga pada musim ini hanya mampu memenangi tiga perlawanan sahaja setakat 11 perlawanan awal musim ini dengan mengumpul 10 mata.

Melihat kepada pencapaian Gerrard, tidak hairanlah mengapa para penyokong Aston Villa begitu teruja dan gembira menyambut kedatangannya.

Gerrard jelas sekali sangat diharapkan untuk menyelamatkan kelab dari tersingkir pada musim ini, dan para peminat juga mengharap beliau akan mula membawa kelab bersaing untuk setidak-tidaknya berada di kelompok enam teratas pada musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sir Alex Ferguson Kagum Dan Bangga Dengan Pencapaian Gerrard Sebagai Pengurus