Kehilangan John Terry Punca Persembahan Villa Merosot

Kehilangan bekas pembantu ketua jurulatih, John Terry jelas sekali menjadi alasan utama tentang mengapa Aston Villa mempamerkan aksi persembahan yang sangat hambar sejak kebelakangan ini.

Aston Villa mencatatkan kekalahan 1-0 bertemu Southampton awal pagi semalam, dan ia merupakan kekalahan kelima mereka secara berturut-turut dalam saingan Premier League.

Villa juga pada ketika ini hanya dua mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran dengan mereka hanya mampu mengumpul 10 mata dari 11 perlawanan.

Pada musim panas baru-baru ini, Aston Villa kehilangan ketua pasukan mereka, Jack Grealish yang ditandatangani oleh Manchester City dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta.

Villa walau bagaimanapun turut berbelanja besar dalam usaha mereka untuk mencari pengganti kepada pemain terbaik kelab itu.

Emiliano Buendia, Danny Ings, dan Leon Bailey kesemuanya ditandatangani selepas mereka menjual Jack Grealish dan diharapkan akan dapat menjadi pengganti kepada bekas ketua pasukan kelab itu.

Walau bagaimanapun, bukan hanya jentera serangan mereka sahaja yang bermasalah, dengan Villa sebenarnya lebih bergelut dengan masalah di posisi pertahanan.

Posisi pertahanan Aston Villa terlalu bermasalah pada musim ini dengan mereka merupakan pasukan ketiga paling banyak dibolosi dalam saingan Premier League.

Tyrone Mings dan Ezri Konsa yang dilayangkan kad merah ketika bertemu West Ham sebelum ini juga sedang bergelut dengan masalah prestasi.

Skuad yang dikendalikan oleh Dean Smith pada ketika itu terus dibelasah oleh West Ham di halaman mereka sendiri.

Bekas bintang Premier League, Jamie O’Hara percaya yang kehilangan John Terry yang meninggalkan kelab pada musim panas baru-baru ini merupakan sebab utama Villa bergelut di posisi pertahanan.

“Secara peribadi, saya melihat mereka dan saya terfikir, ‘Apa sedang berlaku kepada Aston Villa?’ mereka senang bolos, jadi siapa yang bantu mereka pada musim lalu, ketika mereka tidak seteruk ini. Mereka masih ada pemain yang sama.”

“Jadi siapa dia? Yang tiada di situ John Terry.”

“Ia seolah-olah nampak terlalu jelas dia lah orangnya bukan?”

“Saya tak tahu kenapa dia pergi.”

Sambung Jamie O’Hara lagi.

“Saya tak tahu apa alasan sebalik itu. Mungkin dia mahu pergi dan mahu jadi pengurus, mungkin dia mahu berehat. Saya tak tahu. Mahu masa bersama keluarga dia, apa saja dan dia memang berhak untuk itu.”

“Tapi jika kamu lihat pada isu yang ada musim ini, John Terry telah membuktikan yang dia ada pengaruh besar dan kehilangan dia jadi punca Aston Villa hancur. Mungkin mereka patut dapatkan dia semula.”

“Bukan hanya John Terry seorang jurulatih yang hebat dalam membantu pertahanan, tapi dia juga seorang ketua dalam bilik persalinan. Pada ketika ini, ketika kamu kalah lima perlawanan, siapa yang kamu perlu bawa untuk masuk ke bilik persalinan pada pagi Isnin? John Terry.”

Persembahan Mings yang dilihat merosot teruk pada musim ini dikatakan juga berpunca dari ketiadaan John Terry.

“Satu-satunya individu yang saya nampak boleh memimpin adalah Tyrone Mings. Dia pandai bercakap dan dia nampak berjaya untuk naikkan semangat rakan sepasukan dia yang lain.”

“Tapi tanpa John Terry, dia tak ada sokongan dan dia bahkan tidak bermain sekarang.”

Dean Smith sudah dipecat

Dean Smith telah dilantik sebagai pengurus Aston Villa pada Oktober 2018 dan beliau berjaya membawa kelab kembali ke saingan Premier League pada musim pertamanya sebagai pengurus di Villa Park.

Beliau pada ketika itu turut berjaya mencipta rekod dengan membantu Villa merekodkan 10 kemenangan secara berturut-turut.

Musim berikutnya, beliau berjaya membantu Villa untuk kekal dalam saingan Premier League dan turut cemerlang membawa kelab ke aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup.

CEO kelab, Christian Purslow menyatakan bahawa:

“Ketika Dean menyertai kami pada Oktober 2018, skuad kami sedang benar-benar dalam kesukaran dalam saingan Championship. Dia dengan segera ubah semua itu dan membawa Villa untuk kembali ke saingan Premier League.”

“Dia kemudiannya berjaya kekalkan kami dalam saingan Premier League selepas melalui musim yang sukar dan turut bawa kami ke aksi perlawanan akhir Carabao Cup.”

“Walau bagaimanapun, selepas permulaan musim yang hebat, tahun ini kami tak nampak ada peningkatan dari segi keputusan, persembahan dan kedudukan dalam liga. Yang mana ia merupakan hal yang kami semua cari.”

“Atas alasan itu, kami memutuskan untuk melakukan perubahan sekarang dan mahu mencari pengurus baru yang boleh berikan impak.”

Mungkin juga Aston Villa boleh melantik John Terry untuk menjadi pengurus kelab yang baru, dan lihat bagaimana beliau membawa skuad pada musim ini.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Premier League 2019/20: Aston Villa 1-0 Arsenal