Atas Permintaan Salah, Liverpool Kini Mendahului Perlumbaan Untuk Dapatkan Haaland

Liverpool pada ketika ini dilaporkan sedang mendahului perebutan untuk mendapatkan Erling Haaland dari Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Hal itu telah disahkan sendiri oleh Sky Sports Germany yang mendakwa Liverpool mendahului kelab seperti Paris Saint Germain, Real Madrid dan Manchester City untuk menandatangani penyerang muda Norway itu.

Klausa perlepasan Haaland yang bernilai €75 juta itu dilaporkan sudah boleh diaktifkan pada penghujung musim ini nanti, dan sudah banyak kelab yang sedang beratur untuk mendapatkan khidmatnya.

Chelsea dan Real Madrid bahkan sudah mula mengintai kesempatan untuk mendapatkan Haaland sejak dari musim panas yang lalu lagi.

Namun kini, media Jerman hangat mengaitkan Haaland bakal menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Apa yang membuatkan Liverpool semakin bersungguh-sungguh untuk mengejar Erling Haaland?

Ia kerana Mohamed Salah telah menggesa pihak kelab supaya menambah baik jentera serangan dan membawa masuk pemain baru di posisi serangan sebagai syarat untuk beliau tandatangani kontrak baru.

Dek kerana mahu memenuhi syarat yang diletakkan oleh bintang Mesir itu, maka Liverpool memutuskan untuk segera memulakan langkah untuk mendapatkan Haaland dari Borussia Dortmund.

Daripada 17 perlawanan dalam saingan Bundesliga musim ini, Erling Haaland hanya bermain sebanyak 11 perlawanan sahaja, dengan satu darinya beliau dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dari 11 penampilan, Haaland pada musim sudah berjaya menjaringkan 13 gol dan turut mencatatkan empat assists dalam saingan Bundesliga.

Kualiti penyudah yang dimiliki oleh pemain muda Norway ini sudah tidak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau sememangnya memiliki kualiti untuk jadi penyerang terhebat dalam dunia bola sepak.

Beliau mampu untuk menjaringkan gol dari pelbagai sudut baik menggunakan kaki kiri, kaki kanan, kepala, dari dalam kotak, luar kotak, sepakan percuma, sepakan penalti, semuanya mampu dilakukan oleh Haaland untuk merobek gawang gol lawan.

Jadi tersangatlah berbaloi untuk Liverpool seandainya mereka benar-benar berjaya untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Red Bull Salzburg itu.

Walau bagaimanapun, penyokong Liverpool tidak boleh terlalu gembira tentang berita ini, kerana semua sedia maklum yang pemilik kelab sedikit sukar untuk mengeluarkan dana untuk seorang pemain.

Rundingan berkait gaji Salah dan Mane sendiri masih belum selesai sehingga ke hari ini, apa lagi mahu membincangkan tentang seorang lagi pemain yang memerlukan gaji yang tinggi.

FSG lebih mementingkan untuk membeli kelab-kelab dari sukan lain berbanding menumpukan untuk terus menaikkan Liverpool yang kini rata-rata pemain utama mereka sudah memasuki usia 30 an.

Rundingan kontrak Salah

Liverpool pada ketika ini masih berunding dengan Mo Salah berkait kontrak beliau, dan sehingga ke hari ini, masih belum ada kata sepakat yang diputuskan.

The Egyptian King itu telah mendedahkan hasratnya untuk terus beraksi dan kekal bersama Liverpool sehingga ke akhir kariernya, namun beliau menyerahkan kepada kelab untuk membuat keputusan.

Pihak kelab sedikit berat untuk terima permintaan gaji yang baru dari Mo Salah, namun para penyokong mendesak agar pimpinan Liverpool menerima sahaja permintaan dari bintang Mesir itu.

Ramai yang percaya kualiti yang Salah tunjukkan melayakkan beliau untuk menerima gaji yang tinggi dan gaji yang beliau terima pada ketika ini terlalu rendah untuknya.

Salah bermain dalam kesemua 18 perlawanan untuk Liverpool sepanjang musim ini dan beliau berjaya menjaringkan 15 gol dan mencatatkan sembilan assists dalam saingan Premier League sepanjang tempoh tersebut.

Ia merupakan satu rekod yang sungguh luar biasa menakjubkan, dan menjadikan Salah sebagai pendahulu carta perebutan kasut emas pada musim ini.

Sudah terlalu banyak rekod kelab mahupun rekod dalam saingan Premier League yang berjaya dipecahkan oleh Mo Salah, dan tidak keterlaluan rasanya untuk menganggap beliau antara pemain terhebat dalam sejarah Liverpool.

Kerana itu jugalah para penyokong menggesa pihak kelab agar menerima sahaja permintaan dari Salah, asalkan saja beliau tidak meninggalkan kelab.

Sumber: Liverpool Echo

BACA:  Diogo Jota Dianggap Pemain Portugal Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini