Aubameyang Diejek Peminat Dortmund Ketika Perlawanan

Penyerang Borussia Dortmund, Pierre Emerick-Aubameyang menerima sambutan dingin dari penyokong Dortmund sendiri ketika beliau kembali bermain dalam kesebelasan utama semalam.

Aubameyang melakukan penampilan pertamanya sejak sebulan lalu ketika Dortmund melayan Freiburg di Signal Iduna Park yang mana perlawanan berkesudahan dengan jaringan 2-2. Beliau bermain selama 90 minit tetapi gagal menjaringkan sebarang gol.

Malam yang sukar buat Aubameyang dalam dan luar padang

Pemain antarabangsa Gabon ini menerima sambutan dingin dari penyokong tuan rumah yang mendesak Aubameyang memohon maaf kepada kelab atas kelakuannya sejak kebelakangan ini.

Aubameyang sudah dua kali melanggar peraturan kelab, dan kelakuan beliau ini berkait rapat dengan usahanya untuk berpindah keluar dari Dortmund dengan Arsenal dilaporkan sangat berminat.

Dalam penampilan pertama beliau sejak sekian lama, Aubameyang telah diejek oleh sebilangan peminat Dortmund dengan satu kain rentang telah dinaikkan yang bertulis:

“Tiada pemain yang lebih besar dari kelab.”

Dortmund mengumumkan mereka telah mengadakan perbincangan dengan delegasi Arsenal berkenaan perpindahan Aubameyang awal minggu ini tetapi tiada kata sepakat telah dipersetujui setakat ini.

Ejekan peminat membuatkan Aubameyang gagal menjaringkan gol

Tawaran terbaru Arsenal berjumlah £50juta telah ditolak tetapi Dortmund mengakui perpindahan masih boleh berlaku bulan ini. Dortmund dilaporkan meminta bayaran berjumlah £60juta sebelum Aubameyang dibenarkan berpindah ke Arsenal.

Direktor Sukan Dortmund, Michael Zorc berkata kepada Sky Germany yang pasukannya hanya akan melepaskan Aubameyang andainya permintaan mereka dipenuhi kelab yang berminat.

“Kami bersedia untuk membenarkan perpindahan ini sekiranya beberapa parameter yang ditetapkan kami dipenuhi. Arsenal telah membuat beberapa tawaran terhadap Aubameyang dan kesemua tawaran tersebut telah ditolak.”

“Perpindahan hanya akan berlaku sekiranya permintaan kami dipenuhi. Jika tidak, Aubameyang akan terus bermain bersama Dortmund sehingga musim panas nanti. Tambahan pula, perkara ini sudah dibincangkan dan diterima keluarga Aubameyang.”

Dalam perlawanan semalam, Dortmund memerlukan jaringan penyamaan dari Jeremy Toljan pada lewat perlawanan untuk mengikat Freiburg. Dormund berjaya naik satu anak tangga untuk berada di kedudukan ke-5 Bundesliga.

Penjaga gol Dortmund, Roman Burki menyelar peminat yang mengejek Aubameyang ketika perlawanan dengan berkata peminat sebegini sepatutnya berada di rumah sahaja dan bukan di stadium.

Duduk rumah je la kalau datang nk kutuk pemain sendiri, ujar Roman Burki

“Peminat yang datang ke stadium untuk mengejek pemain mereka sendiri sepatutnya berada di rumah. Itu bukan sokongan dan mereka tiada sebarang pengetahuan mengenai  bolasepak. Mereka mungkin tiada perkara yang berfaedah hendak dilakukan.”

Walaubagaimanapun, pandangan Burki tidak dikongsi Zorg yang mempertahankan tindakan penyokong meluahkan perasaan mereka kepada umum.

“Peminat mempunyai hak untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka apabila pasukan bermain sedemikian rupa. Tetapi semua perkara ada batasannya.”

Sebelum ini, Dortmund dilaporkan berminat untuk mendapatkan Olivier Giroud dari Arsenal, tetapi Arsene Wenger telah mengesahkan Giroud tidak akan terlibat dalam perjanjian Aubameyang. Walaubagaimanapun, Giroud akan dibenarkan berpindah sekiranya Arsenal berjaya membawa masuk Aubameyang.

BACA:  Mkhitaryan: Mengapa Arsenal Adalah Kelab Impian Saya