Aubameyang Hantar Permohonan Rasmi Untuk Berpindah, Arsenal Dilaporkan Berminat

Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang telah menghantar permohonan rasmi untuk berpindah keluar dari Dortmund dengan Arsenal dilaporkan bakal menjadi destinasi beliau yang seterusnya.

Penyerang antarabangsa Gabon ini pernah menghantar permohonan untuk berpindah dua kali sebelum ini, dan kali ini Aubameyang mungkin dapat menunaikan hasratnya apabila perbincangan tergempar bakal diadakan di antara ejen dan pihak kelab dalam masa terdekat ini.

Adakah Auba bakal menyertai Tadika Arsenal?

Arsenal diberitakan telah mengenalpasti Aubameyang sebagai calon paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Alexis Sanchez tidak lama lagi. Arsene Wenger mahu pemain ini menyertai Arsenal bulan Januari ini juga kerana Sanchez akan berpindah dalam masa terdekat.

Aubameyang telah beberapa kali terlibat dalam kontroversi musim ini. Paling terbaru, beliau tidak dipilih bermain ketika Dortmund seri 0-0 menentang Wolfsburg selepas tidak hadir dalam perjumpaan pasukan sehari sebelum perlawanan.

Walaupun beliau diterima kembali dalam pasukan selepas itu, akhbar Jerman (Bild) melaporkan Aubameyang telah didenda €100,000 oleh Dortmund kerana melakukan kesalahan tersebut. Beliau juga telah menghantar permohonan untuk berpindah sebanyak dua kali sebelum kejadian tersebut.

Kuat memberontak

Situasi ini membuatkan CEO Dortmund, Hans-Joachim Watzke mengeluarkan kenyataan yang Dortmund bakal mengadakan perbincangan dengan pihak Aubameyang, kemungkinan besar untuk menjual pemain ini kepada Arsenal.

“Aubameyang ada bercakap dengan jurulatih dan kami telah bertanya kepada beliau sama ada beliau sanggup memberikan sepenuh tenaga kepada Dortmund ataupun tidak. [Ketua Jurulatih] Peter Stoger and [Direktor Sukan] Michael Zorc juga akan berbincang dengan beliau tidak lama lagi.”

Adakah reunion bakal berlaku di Emirates?

Dalam perkembangan lain, wartawan terkemuka BBC, David Ornstein melaporkan Arsenal berminat untuk mendapatkan Aubameyang, Malcom dan Henrikh Mkhirtaryan dalam jendelan perpindahan Januari ini.

Akan tetapi, rancangan Arsenal untuk membawa masuk ketiga-tiga pemain ini sekaligus amat sukar untuk berlaku dalam jendela perpindahan kali ini. Mungkin satu atau dua pemain sahaja yang dapat dibawa masuk ketika ini.

Aubameyang pasti tertarik untuk menyertai Arsenal jika Mkhirtaryan turut menyertai Gunners kerana kedua-dua pemain ini pernah bekerjasama di Dortmund pada masa lepas.

BACA:  Wenger Yang 'Keliru' Mahu Berehat Seketika Sebelum Buat Keputusan Mengenai Masa Depannya