Bagaimana Arsenal Berjaya Mendapatkan Pertahanan Masa Depan England Ini Dengan Harga £50 juta?

4 bidaan awal dari Arsenal ditolak oleh Brighton & Hove Albion (Brighton) sebelum mereka akhirnya berjaya mendapatkan Ben White pada tawaran ke-5. Namun tidak ada keraguan di Arsenal mereka akan mendapatkan pemain itu walaupun mereka perlu ‘mengalah’ dan bersetuju membayar £50 juta.

Mikel Arteta melihat Ben White seorang pemain yang sesuai dan amat diperlukan Arsenal untuk meningkatkan barisan pertahanan yang sebelum ini dilihat agak ‘sakit’. Sejak beberapa minggu lalu Brighton menggunakan pendekatan ‘keras’ bagi mencapai harga yang dimahukannya.

Pada hari ini rundingan tersebut telah selesai. Berikut 4 perkara penting yang berlaku.

  1. Arsenal telah mencari seorang pertahanan tengah (center back) lebih dari setahun
  2. Brighton tidak berganjak dengan harga yang diletakkannya
  3. Arteta suruh Bukayo Saka memberi maklumat dai kem England di EURO
  4. Arsenal berharap masih banyak pemain baharu pada masa hadapan

2020-21: Musim pertama Ben White di EPL Impresif

Pada musim lepas Ben White tampil buat kali pertama di Liga Perdana Inggeris (EPL). Dia telah menutup musim dengan 36 penampilan dan telah menarik minat beberapa kelab atasan. Ditambah, namanya berada dalam skuad kebangsaan yang dibimbing Gareth Southgate.

Pada awal musim Chelsea telah menunjukkan minat terhadapa Ben White tetapi Arsenal menjadi pasukan lebih awal mengemukakan tawaran kepada Brighton bagi mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu. Arsenal telah memantau Ben White secara teliti selama setahun.

Selepas Arsenal gagal mendapatkan Jules Kounde dari Sevilla, kelab itu mula beralih arah kepada Ben White. Kounde menolak untuk ke Arsenal kerana kelab itu tidak bermain di Liga Juara Eropah.

Berbalik kepada Brigton, pada musim 2019-20 walaupun kelab ini sedang mengalami kerugian sebanyak £67 juta namun mereka tidak meletakan keutamaan untuk menjual pemain penting bagi menyelesaikan masalah itu.

Percaturan itu membuahkan hasil, Brighton menunggu masa yang sesuai untuk menjual pemain utamanya. Malah Brighton tidak meletakan sebarang klausa yang membenarkan kelab lain mengaktifkan pembelian pada harga tertentu.

Brighton hanya menunggu kelab lain dan mereka ‘berkeras’ dengan harga yang diletakkannya. Akhirnya Brigton mendapat jumlah wang yang dimahukannya iaitu £50 juta. Sepanjang proses rundingan tersebut berjalan, Brighton tidak pernah berganjak dan tegas mahukan tunai sebanyak itu -tidak termasuk klausa tambahan lain.

Pendirian Brighton lebih tegas apabila Ben White tersenarai dalam skuad England yang ke EURO. Pada awalnya nama Ben White tidak berada dalam skuad tersebut tetapi kecederaan yang dialami oleh Trent Alexander-Arnold memberi ‘rahmat’ kepadanya. Ben White dipanggil bagi menggantikan pertahanan kanan Liverpoo itu.

Pada ketika ini Arsenal telah mendedahkan mereka akan cuba mendapatkan Ben White dengan lebih serius.

Menurut sumber rapat Ben White, pemain ini tidak terlalu teruja dengan perkembangan tersebut dan mengambil pendekatan tenang-tenang sahaja. Baginya tidak perlu untuk berkelakuan sebegitu selagi perbincangan tersebut masih berkisar ‘kalau’ atau ‘mungkin’ berbanding tawaran sudah tersedia di atas meja.

Bagaimanapun Ben White gembira kerana rundingan tersebut terus berjalan ketika dia terbang bersama skuad England bagi menghadapi EURO.

Ketika kejohanan tersebut berlangsung Arteta telah memberi ‘tugasan’ kepada Saka bagi menyalurkan maklumat dan pandangannya tentand Ben White di dalam kem antarabangsa. Saka memberi maklumat positif dan Arsenal meneruskan rundingannya dengan Brighton.

Rundingan rasmi pertama

Pada pertengahan Jun lepas, Arsenal dan Brighton bertemu buat kali pertama bagi membincangkan prospek perpindahan tersebut.

Paul Barber (ketua eksekutif) dan Dan Ashworth (pengarah teknikal) bertindak sebagai delegasi Brighton,dan Richard Garlick (pengarah operasi bola sepak) dan Edu (pengarah teknikal) yang mewakili Arsenal. Ashworth dan Garlick pernah bekerja besama ketika di West Brom Albion.

Dalam rundingan pertama tiada kesepakatan dicapai namun pertemuan tersebut telah melancarkan proses dan mewujudkan persekitaran dimana rundingan tersebut akan berjaya. Harga yang ditawarkan cukup jauh dari apa yang diinginkan Brighton.

Arsenal menawarkan £42 juta namun ia meningkat sedikit demi sedikit. Ashworth dan Barber dengan tegas menolak dan kekal mahukan £50 juta. Sebanyak 4 tawaran dilakukan oleh Arsenal ditolak sebelum mereka menemui persetujuan.

Perbincangan akhir antara kedua-dua kelab lebih banyak berkisar perincian lain dalam struktur perjanjian seperti tempoh masa pembayaran dan klausa tambahan lain. Secara keseluruhan, proses rundingan tersebut digambarkan sebagai sopan, tenang dan profesional.

Pada masa ini, pihak Ben White telah mengadakan perbincangan tentang perancangan kelab dengannya. Ben White bakal berfungsi di pertahanan tengah-kanan (RCB) dalam sistem back 3 Arteta. Arsenal berharap urusan ini menjadi tandatangan signifikan pada musim ini.

Pembelian Ben White telah ‘mengambil’ banyak bajet yang dimiliki oleh Arsenal dan Ben White tidak boleh gagal. Lagipun sejak kebelakangan ini Ben White merupakan pemain yang berada dalam radar banyak kelab besar di eropah, antaranya Paris Saint Germain (PSG) dan Liverpool.

Satu perbandingan yang boleh dibuat, Manchester United telah mendapatkan Raphael Varane lebih murah berbanding Arsenal membeli Ben White namun gaji Varane lebih mahal dan kos Varane sebenarnya lebih mahal dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Apa yang Arsenal dapat dari Ben White?

Arsenal telah mendapatkan pemain antarabangsa England yang mempunyai sifat defensif, tenang dan kemampuan beradaptasi dengan permainan. Umur Ben White masih muda dan mempunyai ruang untuk terus meningkat. Secara keseluruhan ia merupakan pembelian baik.

Dahulu, Graham Potter menggunakan Ben White di RCB dalam sistem back 3 yang digemari oleh jurulatih itu. White juga selesa bermain dengan sistem back 4 dan kerap berada di pertahanan kanan. Disamping itu White juga terbukti boleh berfungsi sebagai pemain tengah bertahan (holding midfielder).

Pada musim hujung lepas Ben White beberapa kali bermain di posisi holding midfielder dan ketika dia dipinjamkan ke Leeds United Ben White merupakan pemain gantian kepada Kalvin Phillips jika pemain itu tidak dapat diturunkan.

Pada tahun-tahun terakhir Arsene Wenger di Arsenal, mereka mempunyai pasangan baik di bahagian pertahanan tengah (center back) melalui gandingan Laurent Koscienly dan Per Mertesacker. Selepas gandingan ini Arsenal tidak lagi mempunyai kombinasi lebih baik dari mereka.

William Saliba menjadi kes paling aneh, pemain ini dikatakan sesuai dengan permainan Arsenal dan mampu menjadi nadi utama di barisan pertahanan. Arsenal membayar £30 juta untuk mendapatkannya dari Saint Etienne.

Namun Saint Etienne mahu Saliba kembali dipinjamkan semula kepadanya pada tahun tahun pertama. Sehingga hari ini Saliba telah dipinjamkan selama 3 musim ke Perancis. Salib diberi jersi bernombor 4 yang kini bakal menjadi milik Ben White.

Pada musim hadapan Arsenal akan kekal bermain dalam sistem pertahanan transformatif dan ia selari dengan kemampuan Ben White sebagai sasaran utama kelab musim ini. Ben White hadir dengan harapan besar dan dia perlu menyatu padukan unit pertahanan Arsenal.

Ia merupakan tugas besar tetapi dengan kombinasi Rob Holding, Gabriel Magalhaes dan White ia mungkin ada harapan untuk melihat pertahanan Arteta lebih stabil. Ketiga-tiganya masih muda dan mempunyai kontrak panjang di Arsenal.

Rekod jualan Brighton

Bagi Brighton, bayaran yang diterima sebanyak £50 juta itu telah memecah rekod jualan pernah diterimanya. Jualan paling mahal pernah dibuat oleh Brighton hanya sekitar £10 juta -dibayar oleh Fulham mendapatkan Anthony Knockaert pada tahun 2019.

Menurut salah satu sumber terdekat Brighton,

“Perpindahan £50 juta. 5 tahun lepas semua orang tidak dapat bayang perkara ini akan berlaku. Pada 10 tahun lalu orang pasti akan ketawa. Kini ia menjadi ‘landmark’ kepada kelab.”

Bagaimanapun faedah Brighton bukan sekadar berada pada angka jualan yang berjaya diraihnya. Brighton telah menunjukkan kepada calon pemain mudanya bahawa terdapat jalan untuk maju bersama kelab itu -asalkan dengan harga yang tepat.

Brighton akan memasuki musim ke-5 di EPL dan sekarang melakukan langkah penting dalam melakukan evolusi. Brighton kini dalam usaha mendapatkan pemain berusia 18 tahun dari Chelsea. Dia merupakan prospek terbesar di kelab tersebut.

Bagi Ben White dan Arsenal, mereka berharap dapat meningkatkan pasukan menjadi 4 pasukan terbaik di EPL dan menang trofi.

Sumber: The Athletic

BACA:  Kai Havertz Kini Penerima Gaji Termahal Di Arsenal Sejak Mesut Ozil