Bale Lebih Hebat Dan Luar Biasa Berbanding Cristiano Ronaldo

Salah seorang bekas doktor Real Madrid mendedahkan bahawa Cristiano Ronaldo sebenarnya bukanlah atlet yang begitu luar biasa pernah dikendalikan oleh beliau sebelum ini.

Pemenang lima kali gelaran Ballon d’or itu kini masih lagi seorang pemain berkualiti tinggi dengan mempamerkan corak permainan hebat serta memiliki fizikal yang mengagumkan walau sudah berusia 35 tahun.

Cristiano Ronaldo merupakan seorang atlet yang sangat dikenali mempunyai kekuatan fizikal, keupayaan melompat dan kepantasan larian yang sangat luar biasa dalam kalangan pemain bola sepak.

Bahkan bintang sensasi Portugal itu kembali turun menjalani latihan bersama skuad Juventus dalam keadaan fizikal yang jauh lebih baik berbanding sebelum kesemua saingan bola sepak digantung.

Sebelum ini kesemua saingan bola sepak digantung hampir tiga bulan dan kebanyakkan pemain kembali menjalani latihan dalam keadaan fizikal yang semakin berisi, tetapi hal itu tidak terjadi kepada Cristiano Ronaldo.

Baru-baru ini juga, bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu telah mencuba untuk melakukan larian menggunakan stud kasut but ragbi untuk mengatasi kepantasan yang pernah dicatatkan olehnya, 38.6km/j pada awal tahun lalu.

Walaupun ketua pasukan kebangsaan Portugal itu dianggap sebagai bakat yang luar biasa hebat dan dikenali sebagai bintang terbaik sepanjang zaman, masih ada yang beranggapan beliau tidak cukup bagus.

Jika sebelum ini ramai yang membandingkan Ronaldo dengan Lionel Messi, kini salah seorang bekas doktor pasukan Real Madrid telah memberikan pandangan peribadi beliau dengan membandingkan Ronaldo dengan Gareth Bale.

Dr. Jesus Olmo merupakan seorang doktor yang berpengalaman dan pernah mengendalikan pemain-pemain bintang di Bernabeu.

Menurut doktor tersebut, beliau secara peribadinya merasakan Gareth Bale adalah atlet yang lebih hebat dan luar biasa jika dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo.

“Gareth Bale mungkin antara atlet terhebat pernah saya saksikan.”

Kata Dr. Olmo kepada Ideal.

“Bale merupakan atlet semula jadi yang boleh beraksi cemerlang dalam mana-mana bidang sukan yang mahu beliau ceburi. Beliau mempunyai genetik luar biasa hebat dan juga mempunyai keupayaan sebagai seorang atlet yang hebat. Saya juga melihat bahawa dirinya mempunyai keupayaan teknikal yang sangat baik.”

“Bagi saya, Bale adalah pemain paling mengagumkan dalam pelbagai aspek, sudah tentu, ianya diukur dari segi prestasi yang boleh dipengaruhi oleh banyak faktor.”

Jika dikenang kembali suatu masa dulu, Bale dilihat sebagai seorang pemain yang berbadan sangat kurus ketika beliau beraksi bersama pasukan Southampton.

Bale kemudiannya melalui transisi luar biasa pada otot badannya dan dr. Olmo begitu kagum dengan kualiti yang dicapai oleh pemain itu.

Bale mempunyai kekuatan dan keupayaan kaki yang luar biasa hingga berjaya melakukan larian yang sangat pantas dan sering kali berjaya memerangkap pertahanan lawan dengan kelincahan yang beliau miliki.

Bekas bintang Tottenham Hotspur itu juga pernah mencatatkan rekod larian sepantas 22mph ketika menjaringkan gol yang cantik bertemu Real Sociedad pada tahun 2017 yang lalu.

Bale pada ketika itu berlari pada jarak 75 meter, beliau mempamerkan larian yang sangat pantas bersama bola sebelum melepaskan rembatan menggegar jaring gol lawannya.

BACA:  Legenda Manchester United Mahu Gareth Bale Tolak Lamaran Mourinho