Barcelona Mahu Selamatkan Karier Sancho Di United

Barcelona dilaporkan bersedia untuk menyelamatkan karier Jadon Sancho di Manchester United selepas pemain itu mengalami perselisihan faham dengan pengurus pasukan, Erik ten Hag.

Sanho sebelum ini digugurkan daripada skuad utama United setelah berdegil enggan memohon maaf kepada Ten Hag selepas pemain itu secara terbuka berkata dirinya sudah lama menjadi kambing hitam di Old Trafford.

Melalui sidang media sebelum pertemuan menentang Brighton yang berkesudahan dengan kekalahan 3-1 di Old Trafford pada hujung minggu lalu, Ten Hag berkata dia tidak tahu sama ada Sancho akan kembali beraksi untuk United selepas kejadian tersebut.

Berdasarkan situasi semasa, satu-satunya jalan keluar untuk Sancho adalah untuk meninggalkan United secepat mungkin, dan perkara itu boleh dilakukan seawal Januari hadapan.

Media Sepanyol, Sport dalam laporannya mendedahkan Barcelona bersedia untuk menawarkan jalan keluar untuk Sancho dengan menawarkan perjanjian secara pinjaman buat pemain itu.

United bagaimanapun dikatakan risau dengan kemampuan Barcelona berbuat demikian kerana situasi kewangan kelab tersebut.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu, situasi kewangan kelab Catalan itu menyebabkan mereka hampir gagal mendapatkan Joao Cancelo dan Joao Felix. Jika perpindahan Sancho ke Barcelona secara pinjaman menjadi kenyataan sekali pun, ia hanya melibatkan jumlah bayaran minima.

Ia tidak menghairankan mengapa Barcelona mahukan Sanco. Apatah lagi setelah kelab Catalan itu melepaskan Ansu Fati ke Brighton secara pinjaman.

Perpindahan Sancho ke Nou Camp pula akan memberikan lebih banyak peluang untuk pemain itu mendapatkan minit perlawanan. Sejak berpindah ke Old Trafford, Sancho jelas bergelut untuk menempatkan diri ke dalam kesebelasan utama United.

Sejak menyertai United pada 2021, Sancho setakat ini hanya berjaya menjaringkan sembilan gol dan gagal mengulangi prestasi sama seperti yang ditampilkan ketika bersama Borussia Dortmund.

Sepanjang tiga musim bersama Dortmund, Sancho menjaringkan 49 gol dan merupakan antara tunjang utama skuad England kendalian Gareth Southgate.

Skuad kendalian Edin Terzic itu juga dikatakan berminat untuk mendapatkan kembali khidmat Sancho, juga secara pinjaman pada Januari hadapan.

Tatkala perselisihan faham di antara Sancho dan Ten Hag hangat menghiasai tajuk akhbar sepanjang minggu lalu, situasi di United turut tidak dibantu dengan kekalahan 3-1 kepada Brighton pada Sabtu lalu.

United kini menghuni tangga ke-13 liga dan hanya mengumpul enam mata daripada lima perlawanan yang telah dilalui setakat ini.

BACA:  Fabrizio Sahkan Sheikh Jassim Tarik Diri Beli Manchester United