“Bayangkan Kane Di Liverpool”- Klopp Disarankan Untuk Tandatangani Penyerang Utama England

Jurgen Klopp telah dicadangkan supaya menandatangani Harry Kane sebagai calon pengganti kepada Roberto Firmino.

Ketika Manchester United dan Manchester City sangat berminat mahu mendapatkan pemain penyerang England itu, Liverpool pula disarankan untuk turut serta berusaha mengejar Harry Kane.

Harry Kane sejak jendela perpindahan musim panas lalu sudah mendedahkan hasratnya untuk keluar dari Tottenham Hotspur, dengan kedua-dua kelab dari Manchester itu dikatakan antara yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Manchester City antara yang paling hampir untuk menandatangani Kane pada jendela perpindahan musim panas lalu, namun usaha mereka berakhir dengan kegagalan.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu sanggup mengeluarkan dana bernilai lebih £100 juta, namun Spurs berkeras tidak mahu melepaskan pemain paling bernilai mereka itu.

Walau bagaimanapun, Ian Wright merasakan yang Liverpool sepatutnya memulakan langkah untuk mendapatkan pemain penyerang kebangsaan England itu.

Bekas bintang Arsenal itu mengenal pasti Liverpool sebagai destinasi terbaik untuk Harry Kane dengan beliau percaya bintang Spurs itu akan membentuk gandingan luar biasa mantap bersama Mohamed Salah, Sadio Mane atau Luiz Diaz.

Beliau turut menegaskan tentang kemampuan pemain berusia 28 tahun itu dalam mencipta peluang dari bawah dan menganggap Kane boleh buka ruang untuk bantu Salah dan Mane mencipta sesuatu.

Beliau percaya Kane boleh melorongkan bola ketika Salah dan Mane membuat larian dan sangat yakin bintang England itu bakal bersinar di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Ketika bercakap tentang Kane dikaitkan bakal meninggalkan Tottenham Hotspur, Wright mendedahkan kepada The Kelly And Wright Show bahawa:

“Kamu boleh lihat mengapa setiap pasukan akan sangat mahukan dia (Harry Kane), setiap pasukan di dunia mahukan dia. Lihat sahaja pada kualiti penyudah dia dan keinginan serta konsistensi dia.”

“Ketika dia akhirnya mahu bersara, kamu hanya berharap dia akan memenangi sesuatu. Saya harap dia boleh menang sesuatu kerana dia berhak. Dia nampak lebih gembira sekarang tapi dia perlu membuat keputusan yang besar.”

Wright kemudiannya mencadangkan Kane supaya menjadi pemain sasaran Liverpool dan menjelaskan perbezaan antara bintang England itu dengan Roberto Firmino.

“Bayangkan Harry Kane sertai Liverpool.. jika saya ada kemampuan untuk dapatkan Kane, dan letakkan dia dalam skuad Liverpool bersama Mohamed Salah, atau Sadio Mane atau Luis Diaz dan memainkan dia di peranan nombor sembilan, dropping deep dan lakukan kerja dia.”

Tambah Wright lagi.

“Ia tak akan jadi bagaimana Firmino lakukan itu, semua skill yang menakjubkan itu, tapi Kane boleh drop in dan bantu cipta peluang kerana dua pemain lagi boleh lari dari belakang.”

“Jika benda tu saya boleh lakukan, saya akan lakukan kerana ia adalah Harry Kane dan dia akan jaringkan gol.”

“Orang bercakap tentang Firmino dan fakta nyata adalah dia tak banyak jaringkan gol, dia terlepas banyak kesempatan. Harry Kane jarang mensia-siakan peluang.”

Kane jelas sekali telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan baik untuk kelab mahupun untuk skuad kebangsaan England.

Beliau pada musim ini telah berjaya menjaringkan 22 gol untuk Tottenham Hotspur dalam semua pertandingan dan turut memperbaiki rekod gol antarabangsanya ketika beraksi bertemu Switzerland baru-baru ini.

Sudah tentu para penyokong England sendiri sangat berharap Kane akan keluar dari Tottenham Hotspur kerana mereka mahu melihat pemenang kasut emas itu mengakhiri kariernya dengan memenangi Piala.

Penyokong Tottenham Hotspur sendiri turut tiada masalah andai Kane mahu pergi meninggalkan kelab kerana mereka sendiri turut mahu melihat hal yang sama.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cottee: Salah Bernilai £150 Juta Jika Liverpool Mahu Menjual Beliau Musim Panas Nanti