Bekas Bintang Indonesia Tunjuk ‘Burung’ di Padang Ketika Siaran Langsung

Bekas pemain skuad bawah-23 Indonesia, Patrich Wanggai, tidak pernah lekang dengan kontroversi di atas padang dan terbaharu, dia telah melakukan aksi panas dengan menunjukkan kemaluannya selepas dikeluarkan.

Patrich kini beraksi untuk Sulut United dan dikeluarkan pada separuh masa kedua dalam perlawanan menentang Martapura FC di saingan Liga 2 Indonesia. Apabila dia tiba di garisan tepi padang, dia bertindak menunjukkan kemaluannya tepat di hadapan kamera.

Tidak dapat dipastikan kenapa dia melakukan tindakan sedemikian dan tindakan tersebut semestinya mendapat kecaman dan kritikan daripada para peminat bola sepak di negara republik tersebut.

Namun, kemungkinan besar dia mengalami kecederaan di bahagian celah kelangkang, atau dalam bahasa orang putih disebut groin.

Patrich Wanggai pernah mencipta nama bersama skuad bawah-23 Sang Garuda dan memenangi pingat perak Sukan SEA 2011 selepas tewas kepada Malaysia dalam perlawanan penentuan pingat emas.

Pada tahun 2017, Patrich Wanggai telah mencipta detik panas apabila dia mengacukan jari tengah kepada penyokong pasukan Persib Bandung, ketika beraksi bersama pasukan Borneo FC.

Tahun 2019 pula menyaksikan Patrich Wanggai sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila dia menendang perut Achmad Jufriyanto, yang juga bekas pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga 1.

Pada tahun yang sama, ketika beraksi bersama Kalteng Putra, Patrich Wanggai telah bergaduh dengan pegawai dan pemain pasukan Bali United selepas perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dua jaringan.

Selain di atas padang, Patrich Wanggai juga aktif melakukan keganasan di luar padang. Dia didapat telah terlibat memukul seorang orang awam dalam satu kejadian yang berlaku di Jogjakarta.

Dia yang ketika itu sedang bergaduh dengan orang lain dan cuba dileraikan mangsa, namun Patrich Wanggai bertindak memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri.

Patrich Wanggai mula bermain bola sepak professional bersama kelab Persewon Wondama pada tahun 2007 sebelum berpindah ke Perseman Manokwari pada tahun berikutnya.

Tahun 2009 menyaksikan Patrich Wanggai sekali lagi berpindah dan kali ini menyertai Persidafon Dafonsoro dan kekal selama tiga musim sebelum bergelar pemain Persipura Jayapura pada tahun 2012 sehingga 2014.

Pasukan dari Malaysia, T-Team, telah berjaya memujuk pemain ini untuk keluar dari Indonesia pada 2014, dan bermain untuk pasukan tersebut selama setahun sebelum kembali ke Indonesia menyertai Sriwijaya FC.

Bermula dari situ, Patrich Wanggai telah bermain untuk banyak kelab dan tidak pernah kekal lebih daripada setahun, di mana dia pernah menyarung jersi Karketu Dili, Madura Untied, Borneo FC, kembali ke Sriwijaya, kemudian menyertai Persib Bandung, Kalteng Putra, Persebaya Surabaya, PSM Makassar, RANS Cilegon dan kini Sulut United.

Kontroversi yang dilakukan oleh Patrich Wanggai ini sedikit sebanyak telah mengalihkan perhatian para penyokong Indonesia yang masih bergembira di atas kemenangan ke atas Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia bermula dengan cemerlang apabila membuka jaringan menerusi R. Kogileswaran seawal minit ke-13. Kogi yang tidak dikawal di luar kotak penalti telah menerima bola clearance yang lemah daripada pemain Indonesia, lalu melakukan rembatan lencong persis Federico Chiesa dan menewaskan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-36, Indonesia menyamakan kedudukan menerusi Irfan Jaya selepas menerima lorongan bola daripada Asnawi Mangkualam yang tidak dikawal oleh pertahanan kiri Malaysia.

Dua minit sebelum waktu rehat, Irfan Jaya sekali lagi menikam belati di dada penyokong Malaysia apabila menjaringkan gol kedua Indonesia, selepas bek kiri Harimau Malaya sekali lagi gagal membaca keadaan dan pergerakan pemain lawan.

Arhan Pratama menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan ini buat Indonesia pada minit ke-50, apabila dia melakukan rembatan lencong yang sangat indah dari luar kotak penalti dan gagal ditampan keluar oleh penjaga gol Malaysia, Khaiful Fahmi Che Mat.

Elkan Baggot menambah luka di hati para penyokong Harimau Malaya apabila menjaringkan gol keempat Garuda menerusi tandukan dari sepakan penjuru.

Kemenangan tersebut mengesahkan kedudukan Indonesia selaku juara Kumpulan B dan bakal menentang pasukan Singapura pada peringkat separuh akhir yang akan dimainkan pada 22 Disember untuk pusingan pertama, dan pada Hari Krismas untuk pusingan kedua.

Jika mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir, Indonesia akan turun beraksi lagi pada 29 Disember dan 1 Januari nanti.

Rujukan berita : Instagram, VocketFC

BACA:  Persatuan Bomoh Terhandal Indonesia, Buat Ritual Minta Thailand Kalah Final