Bekas Kapten Liverpool Dakwa Milner Lebih Bagus Dari Pogba

Bekas pemain Liverpool, Graeme Souness mendakwa James Milner merupakan pemain yang akan menjadi pilihan beliau jika dibandingkan dengan Paul Pogba, sambil mendakwa Pogba hanya mahu segalanya berkenaan dirinya sahaja.

Souness mendakwa pemain antarabangsa Perancis itu sebagai pemain yang hanya memikirkan diri sendiri sahaja, tanpa mengendahkan pasukan. Souness turut berkata Milner merupakan contoh terbaik bagaimana seorang pemain tengah harus beraksi di atas padang.

Souness lebih rela pilih Milner dari Pogba jika diberi pilihan

Pogba menyertai Manchester United pada tahun 2016 dari Juventus dalam perjanjian rekod dunia ketika itu yang bernilai hampir £89 juta. Namun demikian, Pogba bergelut untuk mempamerkan konsistensi yang pernah ditunjukkannya ketika bermain dengan Juventus sebelum ini sehingga pernah dianggap sebagai pemain tengah terbaik dunia.

Berikutan persembahan baik beliau di Piala Dunia 2018, banyak pihak menjangka Pogba akan mempamerkan prestasi yang sama bersama Red Devils musim ini. Musim 2018/2019 menyaksikan Pogba bermula dengan cukup baik dan terbaru beliau berjaya menjaringkan gol yang sangat cantik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Young Boys di awal musim.

Namun begitu, masih lagi terdapat pihak yang sangsi dengan sumbangan Pogba di atas padang. Individu terbaru yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Pogba adalah bekas kapten Liverpool, Graeme Souness yang menganggap Pogba hanya mementingkan permainan sendiri sahaja.

Milner pemain tengah yang serba lengkap menurut Souness

Souness juga memberi contoh pemain seperti James Milner wajar mendapat lebih pengiktirafan kerana menunjukkan bagaimana seorang pemain profesional harus beraksi dan menyumbang kepada pasukan.

Dalam satu temuramah bersama PaddyPower, Souness telah diminta untuk membuat pilihan samada untuk memilih Milner atau Pogba. Dan sebagai peminat ‘Liverpool Next Year Is Our Year’, anda boleh mengagak jawapan yang keluar dari mulut laser Souness.

“Itu senang sahaja. Anda tak sepatutnya tanya soalan macam tu. Saya akan pilih James Milner, setiap hari dan setiap minggu. Beliau seorang pemain yang lengkap.”

“Siapa yang saya lebih suka hadapi sebagai pemain lawan ? Sudah tentu Paul Pogba. Saya tidak mahu menentang James Milner.”

“Pogba hanya memikirkan permainan beliau sahaja. Beliau tidak akan cuba menghalang saya, beliau akan membiarkan saya bermain tanpa halangan. Itu merupakan antara kritikan saya terhadap Pogba.”

Diam ah Souness. Ko ada benda ni ? Sembang je lebih

“Separuh dari permainan bola sepak adalah ketika bola berada di kaki anda. Sebahagian besar sebagai pemain bola sepak di peringkat tinggi, anda perlu mencari cara untuk menghalang pemain yang anda lawan.”

“Dan ia merupakan sebahagian dari perkara yang anda harus lakukan apabila menjadi kapten. Sekiranya saya mahu mempunyai perlawanan yang bagus, saya perlu menyekat pemain lawan yang saya kawal.”

“Ia bukan semata-mata mengenai bagaimana saya bermain, ada lagi perkara yang lain dalam bola sepak.”

BACA:  Salah Percaya Liverpool Bakal Muncul Juara Liga Perdana Inggeris Jika Menang Baki 4 Perlawanan