Bekas Pemain Liverpool Dakwa Salah Mampu Tewaskan Messi Untuk Rangkul Ballon d’Or

Bekas pemain Liverpool, Harry Kewell mendakwa Mohamed Salah mampu mengenepikan cabaran calon pilihan seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk merangkul anugerah Ballon d’Or tahun ini.

Kewell percaya Salah mempunyai peluang yang baik untuk memenangi anugerah tersebut sekiranya beliau mampu mengekalkan prestasi semasanya dan membawa Egypt pergi jauh dalam Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia musim panas nanti.

Bakal pemenang Anugerah Ballon d’Or 2018, menurut bekas pemain Liverpool

Dalam perlawanan terakhir Liverpool, Salah berjaya menjaringkan 4 gol untuk membantu The Reds menewaskan Watford 5-0 di gelanggang sendiri. Beliau sudah berjaya menjaringkan 36 gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool musim ini. Hanya Cristiano Ronaldo sahaja berjaya menjaringkan lebih banyak gol daripada Salah setakat ini.

Bekas pemain AS Roma dan Chelsea ini mengharungi musim yang cemerlang semenjak kembali beraksi di England dan telah mengumpul 28 gol dalam Liga Perdana Inggeris sahaja. Salah juga sedang mendahului beberapa nama besar dalam persaingan merebut Kasut Emas Eropah dan juga Kasut Emas Liga Perdana Inggeris.

Salah yang kini baru sahaja berusia 25 tahun telah menerima pujian dari segenap pihak dan Harry Kewell percaya tiada sebarang masalah buat Salah untuk mencabar anugerah individu tertinggi dalam bolasepak itu.

Ha Ha Ha .. Salah tidak bersalah untuk berangan memenangi Ballon d’Or

“Salah sedang mengharungi musim yang amat cemerlang. Ramai bercakap mengenai Salah akan memenangi Pemain Terbaik Tahunan PFA. Tetapi saya mahu melihat beliau memenangi lebih daripada itu.” Ujar Kewell ketika bercakap kepada talkSPORT. 

“Jika Salah mempunyai kempen Piala Dunia yang cemerlang, menjaringkan beberapa gol dan bermain baik untuk pasukannya, dan menunjukkan prestasi yang sama pada musim hadapan, kenapa beliau tidak boleh mencabar Ballon d’Or ?”

“Salah berjaya menjaringkan gol dengan banyak. Jadi saya melihat tiada sebab buat Salah untuk tidak memenangi anugerah tersebut.”

Salah kelihatan seperti seorang pemain yang tidak dapat dikawal pemain pertahanan lawan pada ketika ini. Kariernya bersama Liverpool bermula dengan baik tetapi ramai tidak menyangka beliau mampu mengekalkan prestasi tersebut sehingga sekarang.

Beliau telah memberikan mimpi ngeri kepada pasukan lawan di peringkat domestik mahupun Eropah, dan Kewell percaya Salah memiliki skill seperti Lionel Messi dan ia membuatkan Salah sukar untuk dibendung di atas padang.

Kecederaan menjadi punca mengapa Kewell gagal mempamerkan aksi yang baik di Liverpool seperti ketika beliau bermain dengan Leeds United.

“Beliau mempunyai kebolehan menggelecek yang sangat baik, dan pemain pertahanan takut untuk berhadapan dengan beliau.”

“Dalam boalsepak, setiap pemain percaya mereka mampu melakukan sesuatu perkara . Tetapi jika anda mempunyai pemain yang mampu menggelecek sama seperti Messi, yang mampu membawa bola melepasi lawan dan menukar arah dengan cepat, tiada siapa mampu menghalang pemain sebegini. Sudah terbukti Salah mampu melakukannya.”

“Itu kunci penting dalam permainan Salah – beliau berlari menuju ke arah pemain lawan, berputar dan melakukan gelecekan. Pihak lawan tiada jawapan kepada beliau.”

BACA:  Klopp Pernah Suruh Peminat Liverpool Tempah Hotel Di Istanbul, Hotel? Trivago..