Berapa Banyak Kad Merah Pernah Messi Terima Sepanjang Kariernya?

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or, Lionel Messi cukup dikenali dengan semangat kesukanan yang cukup tinggi dalam setiap perlawanan yang beliau mainkan.

Namun begitu, adakah semangat kesukanan tinggi itu menyelamatkan beliau dari dilayangkan dengan layangan kad amaran?

Seperti kebanyakan atlet dalam dunia sukan, ketika emosi dan amarah sudah menguasai diri, mereka akan hilang pertimbangan dan tentunya akan mencetuskan insiden panas di gelanggang/padang.

Ketika situasi tidak memihak kepada seseorang atlet itu, ia juga akan mengundang kepada mereka untuk ‘koyak’ dan hilang pertimbangan.

Jadi memang tidak mengejutkan untuk melihat pemain dilayangkan dengan kad amaran ketika sedang beraksi, selepas mereka hilang pertimbangan masing-masing.

Sama seperti Messi, beliau pernah dilayangkan dengan layangan kad merah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina, dalam saingan Copa America pada tahun 2019 yang lalu.

Messi dibuang padang ketika beraksi bertemu Chile, dan apa yang menariknya, itu merupakan pertama kali beliau menerima layangan kad merah sejak 14 tahun sebelumnya.

Messi atau Ronaldo? Ia merupakan soalan yang sering menjadi topik perdebatan paling hangat dalam dunia bola sepak sejak kedua-dua mereka muncul dalam sukan ini.

Setiap dari mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan tidak dinafikan mereka berdua merupakan yang terbaik dari yang terbaik.

Selain dari kehebatan dalam membantu pasukan menjaringkan gol, bagaimana pula dengan kemampuan Messi melibatkan peraturan di atas padang?

Jika sebelum ini ramai yang bandingkan Messi dan Ronaldo berdasarkan rekod dan prestasi, bagaimana pula dengan kepatuhan mereka di atas padang?

Ronaldo jelas mempunyai lebih banyak kad merah berbanding bintang Argentina itu, dengan beliau pernah menerima 11 kad merah sepanjang kariernya, berbanding Messi hanya tiga.

Kad merah pertama yang diterima oleh Messi sepanjang kariernya adalah ketika beliau beraksi bersama skuad Argentina, bertemu dengan Hungary pada tahun 2005.

Aksi beliau dipentas antarabangsa ketika itu berakhir hanya selepas dua minit sahaja. Messi yang baru berusia 18 tahun ketika itu telah dilayangkan kad merah kerana mengasari Vilmos Vanczak.

Ketua pasukan Argentina yang telah membuat lebih 520 penampilan untuk Barcelona itu menerima layangan kad merah pertamanya bersama kelab pada tahun ini.

Lionel Messi telah dilayangkan kad merah selepas VAR mengesan tindakan beliau menumbuk pemain Bilbao ketika kekalahan Barcelona dalam perlawanan akhir Spanish Super Cup.

Messi jelas dilihat menumbuk Asier Villalibre dari belakang dan ketika itu bola sudah tidak bersama mereka lagi.

Kedua-dua pemain itu telah bergelut lebih awal lagi dan Messi mungkin sudah hilang sabar lalu terus menghayun penumbuk yang tepat mengenai belakang kepala Villalibre.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk ke VAR dan terus melayangkan kad merah kepada bintang Argentina itu.

Kad merah pertama Messi sepanjang kariernya bersama Barcelona

Sememangnya agak menakjubkan untuk melihat Messi hanya pernah dilayangkan satu kad merah sahaja sepanjang karier beliau bersama Barcelona.

Beliau sememangnya legenda terhebat sepanjang zaman Barca atas pencapaian dan rekod yang beliau cipta sepanjang kariernya di Nou Camp.

Kontrak Messi bersama kelab telah tamat pada hujung bulan lalu, namun beliau dilaporkan sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Messi bahkan dilaporkan turut bersetuju untuk menerima pemotongan gaji ketika menandatangani kontrak baru, dan bersetuju dengan tawaran lanjutan selama lima tahun.

Walau bagaimanapun, Barca ketika ini sedang berusaha untuk menstabilkan kedudukan ekonomi kelab, bagi memastikan mereka mampu untuk mendaftarkan nama Messi dalam skuad musim hadapan.

Kerana perbelanjaan kelab melibatkan gaji pemain dianggap sudah berlebihan, maka Barca perlu menstabilkan semula kedudukan ekonomi mereka untuk mendaftarkan Messi, dan kesemua pemain yang baru mereka tandatangani.

Untuk memastikan hal tersebut menjadi kenyataan, maka Barca perlu menjual beberapa pemain pada musim panas ini, namun sehingga kini, masih belum ada kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain yang mahu dilepaskan oleh Barca.

Sumber: SB

BACA:  Pemenang Anugerah Ballon D'or 2021 Sudah Disahkan