Berapakah Gaji Pengadil Di Piala Dunia 2022?

Pengadil merupakan individu terpenting dalam perlawanan bola sepak di Piala Dunia 2022, namun berapakah gaji pengadil terima untuk kejohanan teragung yang berlangsung di Qatar ini.

Piala Dunia adalah kejohanan yang menghimpunkan 32 negara yang terdiri dari pemain terbaik dari seluruh dunia untuk merebut kejuaraan.

Begitu juga dengan pengadil yang hadir kerana FIFA telah memilih dan menampilkan pengadil-pengadil terbaik daripada setiap konfederasi dan negara anggota.

Setiap perlawanan dikawal selia oleh pengadil yang mempunyai autoriti penuh untuk menguatkuasakan Undang-Undang Permainan berkaitan perlawanan dan keputusan pengadil adalah muktamad.

Pengadil akan melakukan keputusan yang sehabis baik berdasarkan Undang-Undang Permainan dan ‘semangat permainan’ dan berpandukan pendapat serta pertimbangannya dalam membuat keputusan yang berlandaskan kerangka Undang-Undang Permainan.

Kerana itu FIFA sentiasa berusaha memastikan khidmat pengadil terbaik dari segi pengalaman dan merit di Piala Dunia bagi mengurangkan kontroversi yang ada di mana-mana.

Di Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar, seramai 36 pengadil utama, 69 pembantu pengadil, dan 24 pengadil VAR digunakan sepanjang kejohanan.

Namun begitu berapakah pendapatan yang diperolehi oleh pengadil-pengadil Piala Dunia ini sepanjang bertugas di Qatar selama sebulan?

Sejak Piala Dunia 2018 yang berlansung di Rusia, setiap pengadil utama di atas padang akan dibayar gaji pokok sebanyak $70,000 (bersamaan RM308,525) untuk penglibatan mereka di Piala Dunia FIFA.

Manakala Pembantu Pengadil pula akan menerima $25,000, atau bersamaan RM110,187 seorang,

Menurut laporan daripada AS, jumlah bayaran yang diterima oleh pengadil di Piala Dunia FIFA adalah tiga kali lebih tinggi berbanding bayaran yang diterima pengadil di UEFA Champions League.

Dan ini tidak termasuk elaun perlawanan yang diterima setiap kali turun bertugas.

Elaun perlawanan pengadil utama

Dianggap sebagai individu paling berpengaruh di padang, pengadil utama perlawanan akan dibayar $3,000 (RM13,222) untuk perlawanan peringkat kumpulan.

Untuk pusingan kalah mati sehingga perlawanan akhir, setiap pengadil akan menerima $10,000 ((RM44,075). Kebiasaannya seorang pengadil akan mengadili dua perlawanan di kejohanan ini, termasuk perlawanan akhir.

Ini bermakna seorang pengadil boleh menerima bayaran setinggi $300,000 (RM1.3 juta) di setiap edisi Piala Dunia.

Elaun perlawanan pembantu pengadil

Dua pembantu pengadil yang bertugas di garisan tepi padang untuk menjaga offside dan mengesan kekasaran turut dibayar elaun yang dianggap lumayan, selain daripada gaji pokok.

Untuk setiap perlawanan peringkat kumpulan, seorang pembantu pengadil akan dibayar $2,500 (RM11,018) dan $5,000 (RM22,037) untuk perlawanan kalah mati termasuk perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, seorang pembantu pengadil boleh menerima bayaran maksima sebanyak $150,000 (RM661,125) di setiap edisi Piala Dunia.

Elaun pegawai keempat

Pegawai keempat adalah pengadil yang bertanggungjawab di kawasan teknikal, mengurus pertukaran pemain selain peralatan perlawanan yang digunakan.

Mereka juga dibayar seperti pembantu pengadil iaitu $2,500 (RM11,018) dan $5,000 (RM22,037) untuk perlawanan kalah mati.

Seorang pegawai keempat di Piala Dunia 2022 juga akan menerima bayaran maksima sebanyak $150,000 (RM661,125) di setiap edisi Piala Dunia.

Pengadil VAR

Antara perubahan terbesar di dalam bola sepak sejak beberapa tahun lalu daripada segi peraturan adalah pengenalan video bantuan pengadil (VAR) dan wujudlah pengadil VAR atau digelar Pegawai Video.

Ini bermakna lebih banyak pengadil diperlukan untuk mengadili sesuatu perlawanan yang tidak terhad kepada tugasan di atas padang. Seorang pengadil VAR juga memerlukan lesen khas daripada FIFA, selain cakna dan tajam akan peraturan/pengetahuan bola sepak.

Untuk pengadil yang menjaga VAR, FIFA membayar $3,000 (RM13,222) untuk setiap perlawanan di peringkat kumpulan, dan $5,000 (RM22,037) untuk perlawanan pusingan kalah mati.

Seorang pengadil yang bertugas mengawasi VAR boleh menerima bayaran maksimum sebanyak $175,000 (RM771,312) di edisi Piala Dunia di Qatar.

Kesimpulan

Berdasarkan jumlah bayaran yang diterima pengadil di Piala Dunia, kita boleh simpulkan pendapatan pengadil yang mengadili perlawanan di Piala Dunia sebagai mewah.

Malaysia tidak memiliki pengadil di Piala Dunia di Qatar. Satu-satunya pengadil dari Asia Tenggara yang dipanggil bertugas di Qatar adalah dari Singapura.

Oleh kerana itu, ia adalah penting untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk terus memartabatkan karier pengadil profesional di negara ini.

Semoga suatu hari nanti, bola sepak negara turut mampu melahirkan pengadil profesional yang berkebolehan mengadili perlawanan di Piala Dunia.

****Artikel ini telah dirembat dari GrandstandKita.net selepas mendapat kebenaran.

BACA:  Arteta Didapati Tidak Bersalah Kritik Pengadil Selepas Tampil Pembelaan Guna Bahasa Sepanyol