10 Pemain Dengan Gaji Terendah Di Premier League 2023-24

Kerap kali kita membayangkan apabila seseorang pemain itu beraksi di Premier League, maka dia juga akan menerima pendapatan yang tinggi.

Kevin de Bruyne misalnya menerima bayaran £400,000 seminggu, manakala Mohamed Salah turut mempunyai kontrak yang membenarkannya menerima £350,000 seminggu.

Maka tidak hairanlah mengapa Premier League dianggap sebagai lubuk ‘wang’ bagi pemain bola sepak profesional di Eropah.

Malah pemain yang tidak beraksi dan disisihkan daripada pasukan seperti Jadon Sancho dilaporkan menerima £350,000 seminggu – tanpa perlu berpeluh.

Walaupun demikian tidak semua pemain yang beraksi di Premier League itu mempunyai kemewahan daripada segi pendapatan seperti Salah, Sancho atau De Bruyne.

Berikut adalah 10 pemain yang beraksi di Premier League pada musim ini dengan gaji terendah.

Kebanyakkan daripada mereka agak asing bagi peminat bola sepak Inggeris. Ada juga di kalangan mereka amat dikenali seperti bekas penjaga gol Liverpool, Loris Karius yang pernah disanjung namanya di Anfield.

Nasib dan masa depan penjaga gol berusia 30 tahun itu bagaimanapun berubah selepas kesilapan yang dilakukannya di perlawanan akhir Champions League menentang Real Madrid pada 2018.

Karius menyertai Newcastle United pada September 2022 dan kini hanya menerima bayaran £10,000 seminggu di Tyneside. Kontrak Karius bersama The Magpies hanya akan tamat pada Jun 2024.

Berikut adalah 10 pemain dengan gaji terendah di Premier League pada musim ini:

10. Max Lowe | Sheffield United (£10,000 p/w)
Lowe adalah pemain versatile yang boleh beraksi sebagai pemain pertahanan tengah, atau pun di jentera tengah.

Menyertai Sheffield pada 2020, Lowe kemudiannya beraksi secara pinjaman bersama Nottingham Forest pada musim lalu.

Musim ini Lowe kembali menyertai Sheffield dan hanya melakukan dua penampilan bersama kelabnya pada musim ini.

9. Tommy Doyle | Wolverhampton Wanderers (£10,000 p/w)
Doyle adalah bekas pemain skuad remaja Man City dan merupakan sebahagian daripada anggota skuad Pep Guardiola yang menjulang treble pada musim 2023-24.

Merupakan seorang pemain tengah, Doyle juga adalah pemain skuad remaja England yang menjuarai EURO B-21 pada tahun lalu.

Beliau kini menyertai Wolves secara pinjaman dan menerima gaji £10,000 dan kali terakhir tampil beraksi ketika Wolves menewaskan Tottenham 2-1 pada hujung minggu lalu sebagai pemain gantian.

8. George Baldock | Sheffield United (£10,000 p/w)
Baldock menyertai Sheffield pada 2017 dan sehingga kini telah melakukan hampir 200 penampilan untuk pasukannya.

Pemain versatile ini berkemampuan bermain di posisi sayap kanan, atau sebagai pemain bek kanan.

Musim ini Baldock yang kini berusia 30 tahun telah melakukan enam penampilan untuk Sheffield, dan lima daripadanya adalah sebagai pemain gantian.

7. Loris Karius | Newcastle United (£10,000 p/w)

Kita semua tahu perjalanan Loris Karius. Pernah dianggap sebagai antara pembelian paling berbaloi oleh Liverpool, nasib Karius berubah hanya selepas satu perlawanan.

Karius dianggap hilang keyakinan diri sejak perlawanan akhir menentang Real Madrid pada 2018.

Karius belum lagi melakukan sebarang penampilan untuk Newcastle walaupun menyertai kelab itu sejak 2022.

6. Kourtney Hause | Aston Villa (£8,077 p/w)

Pemain pertahanan  kelahiran London ini menyertai Villa sejak 2019. Musim lalu beliau dipinjamkan ke Watford dan melakukan 190 penampilan.

Kembali ke Villa pada musim ini, Hause belum beraksi dalam mana-mana perlawanan untuk Villa setakat ini.

5. Pelly Ruddock Mpanzu | Luton Town (£7,500 p/w)

Mpanzu menyertai Luton Town pada 2013 selepas semusim bersama West Ham.

Berusia 29 tahun, Mpanzu adalah seorang pemain tengah dan memiliki dua caps bersama skuad kebangsaan Congo.

Sehingga kini Mpanzu sudah merekodkan 342 penampilan bersama Luton, termasuk 11 penampilan di Premier League pada musim ini.

4. James Shea | Luton Town (£7,500 p/w)

James Shea adalah seorang penjaga gol dan merupakan produk akademi Arsenal.

Menyertai Luton pada 2017, Shea telah merekodkan 89 penampilan untuk kelabnya itu setakat ini. Namun demikian pada musim ini Shea hanya berada di dalam skuad hari perlawanan hanya sekali sahaja ketika Luton dibelasah Brighton 4-1 pada Ogos lalu.

Dalam perlawanan tersebut Shea sekadar menonton perlawanan daripada bangku pemain simpanan.

3. Jordan Clark | Luton Town (£5,000 p/w)

Pemain tengah berusia 30 tahun ini menyertai Luton daripada Accrington Stanley pada musim panas 2020.

Tampil 41 kali bersama Luton di Championship pada musim lalu, Clark dianggap sebagai antara tunjang utama Luton yang berjaya memenangi promosi ke Premier League pada musim lalu.

Situasinya tampak berbeza pada musim ini apabila Clark hanya beraksi 17 minit pada musim ini ketika tewas 1-0 kepada Manchester United di Old Trafford pada hujung minggu lalu.

2. Rhys Norrington-Davies | Sheffield United (£4,000 p/w)

Norrington-Davies dilahirkan di Riyadh tetapi ibu bapanya adalah keturunan Wales.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Sheffield pada 2018 dan memiliki 13 caps bersama skuad kebangsaan Wales.

Walaupun merekodkan 39 penampilan untuk Sheffield sejak dua musim lalu, Norrington-Davies belum lagi merasai aksi di Premier League pada musim ini.

1. Alex Mighten | Nottingham Forest (£3,462 p/w)

Sukar untuk membayangkan kelab-kelab di Liga Malaysia membayar gaji yang lebih mahal berbanding pemain di Premier League.

Secara purata Mighten menerima pendapatan berjumlah RM80,880 sebulan di Nottingham. Segelintir pemain tempatan di Liga Malaysia menerima pendapatan yang lebih tinggi berbanding bayaran yang diterima Mighten di Forest.

Selepas sukar mendapat tempat di dalam kesebelasn utama Forest pada musim ini, Mighten dipinjamkan ke KV Kortrijk di Liga Belgium pada September lalu.

BACA:  Mark Clattenburg Beri Amaran Pengadil Eropah Sertai Liga Arab Saudi Akan Dihalang Ke Piala Dunia