Berapakah Jumlah Man Utd Perlu Bayar Untuk Dapatkan Pochettino?

Berapakah jumlah pampasan yang perlu Manchester United perlu bayar untuk mendapatkan Mauricio Pochettino yang kini masih masih lagi mempunyai baki kontrak bersama Paris Saint Germain?

Hanya €10 juta atau £8.4 juta atau RM47.06 juta sahaja harga yang perlu di bayar Setan Merah kepada PSG untuk menjadikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus tetap menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Pada Januari lalu, pengurus yang berasal dari Argentina itu telah diikat PSG dengan kontrak awal selama 18 bulan bagi menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat.

Kini kontrak Mauricio Pochettino bersama PSG akan tamat pada musim panas 2023 selepas mengaktifkan klausa pilihan untuk memanjang kontrak selama setahun lagi.

Menurut pakar bola sepak Perancis, Jonathan Johnson yang percaya bahawa Manchester United boleh membawa PSG ke meja rundingan jika mereka sanggup menebus dengan membayar baki kontrak Pochettino.

“Tiada sebarang langkah dibuat oleh mana-mana pihak ketika ini – itu pemahaman saya.” Ujar Jonathan Johnson kepada Sky Sports News.

“Tetapi jika United mengetuk pintu PSG dan sanggup membayar pampasan penuh untuk Pochettino – yang saya percaya melebihi €10 juta [£8.4 juta atau RM47.06 juta] – maka itu mungkin membawa PSG ke meja rundingan.”

Ini kerana tiada masalah untuk PSG melepaskan Pochettino jika dibayar kerana mereka mempunyai pilihan sedia ada dan sedia berkhidmat, Zinedine Zidane.

“PSG sedar ada calon lain yang berminat untuk menggantikan Pochettino iaitu Zinedine Zidane, yang mungkin satu-satunya calon yang berdaya maju untuk PSG menggantikan pengurus dari Argentina itu.”

“Sejarah tahun lalu tidak akan berulang lagi, apabila PSG memecat Thomas Tuchel di pertengahan musim. Dari sudut sukan, adalah mustahil untuk memecat Pochettino kerana keputusan yang ditunjukkan pasukan di atas padang.

“Dari sudut kewangan juga hampir mustahil kerana pampasan lebih besar perlu dibayar berbanding pampasan Thomas Tuchel.”

Pada ketika ini tiada pilihan lain buat Manchester United untuk mendapatkan Pochettino kecuali mengeluarkan jumlah wang yang besar lagi.

“Satu-satunya pilihan sebenar adalah untuk United datang ke PSG dan mengatakan bahawa mereka sanggup membayar keseluruhan baki kontraknya.”

PSG kini mendahului 11 mata, berada di landasan terbaik untuk merebut kembali gelaran Ligue 1 dan tumpuan Pochettino ketika ini adalah pada perlawanan seterusnya menentang Manchester City dalam Liga Juara-Juara pada hari Rabu.

Bagaimanapun, Johnson merasakan “hubungan tegang” antara Pochettino dan pengarah sukan kelab itu Leonardo, serta keluarganya yang tidak berpangkalan di Paris, membuatkan bekas bos Tottenham itu tidak akan berada di Parc des Princes dalam jangka masa panjang tanpa mengira minat daripada Manchester United.

“Ia bukan masa yang paling indah untuk Mauricio Pochettino dan PSG sejak mereka berganding bahu kira-kira 12 bulan lalu. Terdapat ketegangan menyelubungi Pochettino setiap hari di PSG, terutamanya dengan pengarah sukan Leonardo.”

“Pochettino juga sedang menyesuaikan diri untuk kembali tinggal di Perancis walaupun pernah beraksi dan mengetuai pasukan sebagai pemain namun tidak mudah.”

“Pochettino kerap mengelak untuk menggunakan bahasa Perancis dan ada pihak menganggap beliau tidak berusaha untuk bercakap dan keluarganya tidak tinggal di Paris bersamanya.”

“Pilihan lain adalah menunggu sehingga kontraknya berakhir. Kontrak Pochettino akan tamat pada tahun 2023. Namun ramai menjangka Pochettino dan PSG tidak akan kekal lama. Paling lama pun Pochttino akan kekal hingga hujung musim ini.”

Mungkin menyedari situasi ini dan tidak sanggup membayar jumlah yang besar sekali lagi sebab itulah Manchester United giat mencari pengurus Interim untuk menguruskan pasukan sehingga hujung musim.

Jika Manchester United terus mendapatkan Pochettino dengan kadar segera maka jumlah sebenar untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer akan mencecah £18 juta atau RM100.83 juta.

Dari jumlah itu £10 juta adalah untuk membayar pampasan kepada PSG dan £8 juta pampasan yang bakal dinikmati oleh Ole Gunnar Solskjaer.

BACA:  Pochettino: Saya Bukan Ahli Silap Mata Yang Anda Cari Untuk Memenangi Trofi Bersama Spurs