Dua Sebab Mengapa Man Utd Lebih Memilih Ten Hag Berbanding Pochettino

Manchester United akhirnya memutuskan untuk melantik Erik Ten Hag sebagai pengurus kelab yang baharu dan menolak untuk memilih Mauricio Pochettino.

Menurut laporan dari pelbagai sumber, ada dua sebab yang sebenarnya menjadi punca mengapa Manchester United memilih untuk tidak mahu melantik Pochettino sebagai pengurus kelab.

Pochettino sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus Manchester United, baik ketika beliau masih bersama Tottenham Hotspur mahupun ketika bersama Paris Saint Germain.

Bahkan ketika Man Utd masih dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer, nama Mauricio Pochettino sudah hangat dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus tetap Manchester United.

Sebaik Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November lalu, pengurus PSG itu dengan segera disebut-sebut sebagai calon kegemaran untuk menjadi pengurus di Old Trafford.

Walau bagaimanapun nama beliau semakin tidak dikaitkan dengan United selepas para peminat lebih berminat untuk melihat Erik Ten Hag yang menguruskan kelab.

Walaupun ramai pemain yang mahukan Pochettino menjadi pengurus yang baharu, namun para penyokong tetap berkeras mahu pengurus Ajax itu yang ke Old Trafford.

Terbaru, terdapat laporan dari ESPN yang mengesahkan bahawa kedua-dua Manchester United dan Ten Hag sendiri sudah bersetuju untuk bekerjasama.

Laporan sama turut mendedahkan yang Ten Hag bakal meninggalkan Ajax pada penghujung musim ini nanti untuk menyertai Manchester United.

Hal tersebut dikatakan sudah sah namun hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk diumumkan secara rasmi.

Menurut laporan The I, Pochettino tidak dipilih menjadi pengurus tetap Man Utd atas dua alasan, dengan setan merah dikatakan bimbang melihat prestasi beliau di Perancis dan nilai yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmatnya sangat tinggi.

Itulah dua sebab mengapa Manchester United akhirnya memilih untuk tidak melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus kelab yang baharu.

Pengurus dari Argentina sepertinya tidak ada masalah untuk memenangi gelaran Ligue 1 pada musim ini, dengan skuadnya pada ketika ini sedang mendahului carta liga dengan kelebihan 12 mata.

Berbaki lapan perlawanan sahaja sebelum saingan musim ini ditamatkan, sepertinya agak sukar untuk PSG di cabar dan jelas sekali mereka bakal kembali memenangi gelaran Ligue 1.

Walau bagaimanapun, ketika beliau mengambil alih PSG dari Thomas Tuchel pada Januari tahun lalu, Mauricio Pochettino gagal untuk mempertahankan gelaran liga.

Skuad kendalian beliau sekadar mampu mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua, satu mata dibelakang Lille yang menjuarai saingan Ligue 1 pada musim lalu.

Selain dari itu, walau pihak kelab sudah membawa masuk barisan pemain berkelas dunia termasuk Lionel Messi, namun beliau masih gagal untuk membawa PSG bersaing di pentas bola sepak Eropah.

Ia jelas sekali satu hal yang benar-benar diimpikan oleh pimpinan kelab dan kerana hal itu jugalah pihak kelab sanggup berbelanja besar untuk memantapkan skuad.

Musim lalu mereka tewas di tangan Manchester City di peringkat separuh akhir, namun pada musim ini PSG berdepan kekalahan yang lebih menyakitkan.

Walau sudah dua kali mendahului, namun hat-trick dalam tempoh 17 minit yang dilakukan oleh Karim Benzema sudah cukup untuk menyingkirkan gergasi Perancis itu di pusingan 16 terbaik.

Dek kerana pencapaian tidak menentu PSG di bawah kendalian beliaulah masa depan Pochettino di Parc des Princes nampak agak samar-samar pada ketika ini.

Zinedine Zidane dikatakan antara calon kegemaran untuk masuk menggantikan Pochettino andai bekas pengurus Tottenham Hotspur itu dipecat oleh pihak kelab.

Pihak kelab juga dikatakan sudah memulakan rundingan dengan Zinedine Zidane untuk membawanya ke Parc des Princes dalam masa terdekat ini.

Namun selagi hal itu tidak berlaku, maka selagi itulah pihak kelab tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan Pochettino untuk pergi ke mana-mana.

Kerana itu jugalah PSG meletakkan yuran perpindahan yang tinggi untuk Manchester United dapatkan khidmat Mauricio Pochettino.

Paris Saint Germain meminta sehingga £25 juta untuk melepaskan Pochettino dan jelas sekali mereka sengaja bermain tarik tali selepas mengetahui ada kelab yang berminat dengan pengurus mereka walau mereka sendiri sudah tidak mahukan khidmatnya.

Dek kerana setan merah mahu menyelesaikan masalah berkait pengurus mereka sebelum tamat musim ini, maka Pochettino jelas sekali tidak sesuai.

Man Utd mahu memastikan pengurus baharu memulakan tugasnya sebaik bermulanya pra musim nanti dalam usaha mereka untuk memastikan persiapan kelab bagi menghadapi musim baru terjamin.

Rundingan dengan Erik Ten Hag masih belum dimuktamadkan secara rasmi, namun satu hal yang pasti, United tidak perlu mengeluarkan belanja yang lebih tinggi untuk mendapatkan pengurus Ajax itu berbanding Pochettino.

Ten Hag dikatakan sudah mengenal pasti apa yang beliau perlukan dalam usahanya untuk membawa United untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Beliau bahkan dilaporkan sudah mengenal pasti pemain pertama yang akan beliau tandatangani sebagai pengurus Manchester United.

Bekas pengurus Bayern Munich II itu dikatakan bakal membawa barisan pembantu yang baru dan yang kenal dengan budaya bola sepak Inggeris.

Steve McClaren yang sebelum ini pernah menjadi pembantu kepada Sir Alex Ferguson pada tahun 1998/99 dikatakan bakal menggalas tugas sebagai pembantu Ten Hag.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cotterill Terbang Jauh Ke Belanda Untuk Bertemu Ten Hag Tetapi Kehadiran Beliau Tak Diendahkan