Pemain Pertama Ten Hag Akan Tandatangani Andai Beliau Jadi Pengurus Man United

Erik Ten Hag dilaporkan sudah mengenal pasti pemain pertama yang mahu beliau tandatangani, seandainya beliau sah menjadi pengurus Manchester United nanti.

Ten Hag yang kini berusia 52 tahun itu merupakan antara nama yang hangat dikaitkan bakal menjadi pengurus Manchester United.

Beliau bersama pengurus Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino dan pengurus Sepanyol, Luis Enrique merupakan calon akhir yang akan dipilih untuk mengendalikan Manchester United.

Namun andai beliau benar-benar dilantik sebagai pengurus Manchester United nanti, Erik Ten Hag sebenarnya sudah ada calon pemain yang bakal menjadi penandatanganan pertama beliau.

Menurut sumber laporan dari The Telegraph, pengurus dari Belanda itu dijangka bakal membawa Antony bersamanya seandainya beliau benar-benar disahkan sebagai pengurus Manchester United.

Pemain kebangsaan Brazil yang kini berusia 22 tahun itu berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sepanjang musim ini.

Beliau berjaya menjaringkan 12 gol dari semua pertandingan untuk Ajax sepanjang musim ini.

Beliau juga turut berjaya mencatatkan lapan assists dan dek kerana aksi mantap yang beliau persembahkan bersama Ajax, Antony berjaya mendapat tempat dalam skuad utama Brazil.

Antony sudah membuat lapan penampilan bersama skuad kebangsaan Brazil dengan beliau turut berjaya menjaringkan dua gol sepanjang tempoh tersebut.

Pemain serba boleh itu juga turut berjaya mencuri perhatian beberapa kelab gergasi Eropah, dengan Barcelona antara pasukan yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Seandainya Ten Hag tidak menjadi pengurus Manchester United, beliau dikatakan akan tetap membawa Antony pergi ke mana sahaja kelab yang beliau akan pergi andai beliau meninggalkan Ajax.

Hal ini kerana Erik Ten Hag sendiri sebelum ini sudah mengesahkan yang beliau sangat gemar dengan corak permainan Antony, dan akan bawa bintang Brazil itu ke mana sahaja beliau pergi.

Ten Hag dilaporkan sudah ditemu bual oleh pimpinan United dan sedang dinilai sama ada beliau benar-benar layak atau tidak untuk menjadi pengurus baharu kelab.

Walau bagaimanapun juga, Ten Hag turut sudah diberi amaran oleh rakan senegaranya, Louis Van Gaal supaya lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran dari Manchester United.

​Pengurus veteran itu menegaskan yang Ten Hag sepatutnya menyertai kelab bola sepak sebenar berbanding kelab komersial seperti Manchester United.

“Erik Ten Hag merupakan seorang pengurus yang hebat dan itu adalah hal yang sangat bagus untuk Manchester United.”

Jelas pengurus dari Belanda itu.

“Tapi Manchester United merupakan kelab komersial, jadi ia bakal menjadi pilihan yang sukar untuk jurulatih. Dia patut pergi ke kelab bola sepak.”

“Saya tak akan pergi nasihatkan dia, dia sendiri yang akan hubungi saya. Tapi dia mesti pilih kelab bola sepak dan bukannya kelab komersial.”

Pimpinan kelab dan para penyokong rata-rata sudah sangat berpuas hati dengan keputusan untuk melantik Ten Hag menjadi pengurus baharu kelab.

Walau bagaimanapun, para pemain dan legenda kelab, Sir Alex Ferguson dilaporkan lebih berminat untuk melihat Mauricio Pochettino yang dilantik menjadi pengurus baharu kelab.

Manchester United sebelum ini sudah meminta izin kepada Paris Saint Germain untuk menemu duga Pochettino, namun kelab dari Perancis itu memilih untuk tidak memberi keizinan.

PSG dikatakan lebih memilih untuk meminta Manchester United tebus sahaja kontrak Mauricio Pochettino berbanding melepaskan pengurus mereka itu untuk ditemu duga terlebih dahulu.

Sehingga kini, masih belum jelas lagi siapa antara kedua-dua Mauricio Pochettino dan Erik Ten Hag yang akan dipilih oleh Manchester United untuk menjadi pengurus kelab.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Saya Dipecat Berkali-Kali Setiap Minggu" - Pochettino Tenang Hadap Khabar Angin Bakal Dipecat PSG