Bersama Bayern Mane Kini Salah Seorang Penerima Gaji Tertinggi

Sadio Mane kini dilaporkan menjadi salah seorang pemain bola sepak yang menerima gaji yang tertinggi di dunia selepas menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich dari Liverpool.

Semasa berada di Liverpool, ejen pemain antarabangsa Senegal itu berkata bahawa Mane menerima bayaran yang baik tetapi kini dia antara pemain yang menerima gaji tertinggi selepas dia mengesahkan perpindahan bernilai £35 juta ke kelab Bavaria itu.

Sadio Mane telah dilaporkan oleh akhbar Jerman, Bild bahawa dia akan memperoleh £17 juta setahun di Bayern Munich selepas dia menandatangani kontrak sehingga 2025.

Ini bermakna Mane akan meraih pulangan wang sebanyak £51 juta semasa bersama juara Jerman itu untuk tempoh 3 tahun.

Di Liverpool, Mane hanya mendapat £100,000 seminggu (£5.2 juta setahun) dan kini mengalami kenaikan 2.5 kali ganda atau £250,000 seminggu.

Mane menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Anfield selepas enam tahun yang penuh kejayaan di kelab itu, dia adalah antara pemain utama pertama era Jurgen Klopp Liverpool yang pergi.

Sejak menandatangani kontrak dengan The Reds dengan harga £34 juta dari Southampton, Mane telah berkembang menjadi salah seorang pemain terbaik dalam bola sepak dunia kerana dia adalah salah seorang daripada trio penyerang hebat di Liverpool bersama Roberto Firmino dan Mo Salah.

Secara keseluruhan, Mane sudah membuat 269 penampilan merentasi semua pertandingan bersama Liverpool dan telah menjaringkan 120 gol.

Semua piala telah dikecapi Mane bersama Liverpool diperingkat domestik dan Eropah serta dunia, maka tiada masalah untuk Mane mengubah haluan baru.

Sepanjang enam tahun bersama Liverpool, pemain Senegal itu memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Carabao, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Mane juga menikmati kejayaan di pentas antarabangsa bersama Senegal, dia menjaringkan penalti kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika menentang Mesir bimbingan Salah.

Liverpool dikecam teruk kerana tidak meraikan kejayaan Mane menjuarai Piala Negara-Negara Afrika oleh peminat Senegal yang tidak mengetahui hakikat kemulian hati Mane.

Mane telah meminta Liverpool supaya tidak meraikan kejayaannya kerana dikhuathiri akan menyakitkan hati rakan sepasukannya, Mohamed Salah.

Dia kemudian membantu negaranya mengatasi Mesir sekali lagi untuk memastikan tempat di Piala Dunia Qatar 2022 akan datang.

Mane mendesak untuk berpindah pada musim panas ini kerana dia mahukan cabaran baru, tetapi selepas berita tersebar bahawa dia dilaporkan meminta kenaikan gaji besar untuk kekal di Liverpool, ejennya, Bacary Cisse telah melabelkan khabar angin itu sebagai ‘palsu’.

Bacary Cisse telah berkata:

“Itu adalah khabar angin palsu. Kami tidak mahu bercakap tentang itu. Seorang pemain berkaliber Sadio tidak boleh mendapat gaji seperti yang diperkatakan orang.”

“Nombor yang beredar adalah salah sama sekali.”

“Sadio sudah memperoleh pendapatan lebih daripada itu apabila dia menyertai Liverpool dari Southampton. Dia menyambung kontraknya pada 2018 dan gajinya jauh lebih tinggi daripada angka yang tersebar di media.”

Bacary Cisse menambah:

“Saya rasa Sadio memilih kelab yang betul pada masa yang tepat. Dia memenangi segala-galanya di Liverpool.”

“Sudah tiba masanya untuk mencari cabaran baharu di tempat lain. Projek Bayern sangat menarik.”

Dengan cabaran baharu menanti Mane, dia berharap untuk membawa prestasinya dari Liverpool ke Munich untuk membantu pasukan baharunya memenangi Bundesliga buat kali ke-11 berturut-turut.

Jika benar sekalipun sekalipun Mane meminta gaji yang begitu tinggi sebenarnya dia sangat layak bukan kerana aksinya dipadang tetapi dengan apa yang dilakukan di tempat kelahirannya.

Walaupun mampu untuk memiliki 20 biji Ferrari, 20 jam tangan berlian atau dua buah pesawat peribadi, Mane nyata tidak memilih dunia kerana di memilih untuk bersederhana.

Banyak wang telah dilaburkan Mane ke kampung di Bambaly, Senegal dengan membina hospital berharga £500,000, sekolah berharga £200,000 juga telah didirikan.

Selain itu stesen minyak, pejabat pos, internet 4G serta bantuan kewangan €70 sebulan untuk setiap keluarga.

Insfrastruktur asas ini dibina Mane untuk kemudahan 2,000 orang penduduk di kampungnya. Seorang anak Imam yang patut dijadikan ikon anak muda.

BACA:  Tiga Kata Yang Cukup Beremosi Dari Klopp Kepada Mane