Bjorn Kuipers: Pengadil Perlawanan Akhir Euro 2020 Yang Pernah Cakap F**k You Atas Muka Marco Verratti

UEFA telah mengumumkan bahawa Bjorn Kuipers akan menjadi pengadil utama bagi perlawanan England menentang Itali dalam perlawanan akhir Euro 2020 pada hari Ahad ini dan ini pasti bukanlah satu berita gembira buat para pemain, terutamanya Marco Verratti.

Pada bulan May, Kuipers bertugas sebagai pengadil dalam perlawanan pusingan kedua perlawanan Liga Juara-Juara Eropah antara Paris Saint Germain dan Manchester City. Dalam perlawanan tersebut, pemain PSG, Angel Di Maria telah dilayangkan kad merah sekaligus menyaksikan para pemain pasukan ibukota Perancis tersebut hilang kawalan kendiri di dalam padang.

Selepas perlawanan yang menyaksikan PSG tewas 2-0 di Stadium Ettihad, Verratti mendakwa bahawa Kuipers telah menyebut fu*k you kepadanya sebanyak dua kali ketika dia membantah keputusan pengadil tersebut.

“Aku rasa benda terbaik untuk dilakukan adalah kita jaga kita, kami masih lagi dalam landasan yang tepat sehinggalah Di Maria diarahkan keluar padang. Bermula dari situ, kami perlukan keajaiban,” ujar Verratti kepada Sky Itali selepas perlawanan.

“Satu-satunya benda yang aku tak suka adalah bila pengadil cakap kat kau f**k off, kami selalu cuba untuk menunjukkan rasa hormat, tapi pengadil duk buat lagu tu tiga atau empat kali masa dalam padang.

“Dia mula layangkan kad kuning ke orang tu ke orang ni dan kami jadi gementar la sikit. ”

“Pengadil juga cakap f**k you dua kali kat aku. Bagi diorang itu biasa je, tapi kalau aku yang cakap mesti kena gantung 10 perlawanan.

“Aku memang banyak bercakap dengan pengadil tapi aku tak cakap benda gitu.”

Rakan sepasukan Verratti, Ander Herrera juga turut mengeluh dengan perangai pengadil tersebut di mana dia turut menyebut perkataan yang sama kepada Leandro Paredes.

“Pengadil malam ni cakap f**k off kat Leandro Paredes,” dakwa Herrera.

“Kalau kitorang yang cakap mesti kena gantung tiga atau empat perlawanan.”

Ekoran kejadian tersebut, pengurus PSG, Mauricio Pochettino, mahukan UEFA melakukan siasatan di atas dakwaan para pemainnya.

“Verratti cerita benda tu di TV dalam satu temubual,” ujar Pochettino.

“Aku tak dengar apa-apa dari tepi padang. Kalau cerita ni betul dan macam tu cara diorang bercakap, mungkin UEFA kena siasat la situasi tu.”

UEFA tidak pernah membuka kertas siasatan ke atas pengadil ini.

Dalam kempen Liga Juara-Juara musim yang sama juga menyaksikan Kuipers menjadi perhatian media Itali selepas prestasinya dikatakan tidak berada di tahap memuaskan apabila melakukan banyak kesilapan dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Juventus ditendang keluar daripada saingan kejohanan termasyhur peringkat kelab tersebut pada peringkat suku akhir kepada Porto.

Tuttosport, portal berita sukan di Itali, mendakwa Kuipers tidak mencapai tahap seorang pengadil Liga Juara-Juara dan menuduhnya telah melakukan kesalahan serius yang menyebabkan kelab kerugian jutaan ringgit dan menyebabkan kredibiliti kejohanan tersebut dipersoalkan.

Mula menjadi pengadil bertaraf antarabangsa sejak 2006, Kuipers pernah mengadili perlawanan akhir Liga Europa dua kali – pada tahun 2013, perlawanan di mana Chelsea menewaskan Benfica, dan juga pada tahun 2018, ketika Atletico Madrid membelasah Marseille 3-0.

Selain itu, dia juga pernah menjadi pengadil perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA pada tahun 2014 yang menyaksikan Real Madrid menewaskan jiran tetangga Atletico Madrid empat jaringan berbalas satu dalam perlawanan di Estadio da Luz, Lisbon, Portugal.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia 2018, Kuipers bertugas sebagai pegawai perlawanan yang keempat, dan dalam edisi Euro kali ini, dia mencipta sejarah apabila menjadi pengadil Belanda yang pertama mengadili perlawanan akhir.

Ketika kempen Piala Dunia 2014, Kuipers bertugas sebagai pengadil perlawanan antara pasukan England dan Itali di peringkat kumpulan. Perlawanan tersebut menyaksikan Itali menewaskan pasukan Tiga Singa dua jaringan berbalas satu dengan gol dijaringkan oleh Claudio Marchisio dan kemudianya oleh Mario Balotelli selepas Daniel Sturridge menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama.

Selain itu, Kuipers juga merupakan pengadil perlawanan akhir Piala Dunia Bawah-17 tahun beberapa tahun lalu dalam perlawanan yang menyaksikan Phil Foden dan England muncul juara edisi tersebut.

Kuipers boleh dikatakan pengadil bola sepak yang paling kaya di dunia, di mana dia memiliki nilai kekayaan bernilai sekitar £11.5 juta (RM67 juta) hasil daripada perniagaan sebelas cawangan supermarket dan juga kedai saloon rambut, di kampung halamannya di sempadan Belanda dan Jerman.

Mampukah pengadil ini menjalankan tugas dengan cukup baik dalam perlawanan akhir nanti? Kita tunggu tengok je lah ye.

Sumber : Skysports, sportBIBLE, Mirror

BACA:  Sebagai Tanda Sokongan Kepada Kempen Melawan Kanser Prostat, Kelab Ini Mencipta Jersi Lutsinar