‘Bomoh’ Yahudi Mengaku Sebagai Punca Kenapa Muller Terlepas Peluang Keemasan Menentang England

Seorang lelaki yang bernama Uri Geller telah mendakwa dia adalah penyelamat England dalam perlawanan peringkat 16-pasukan, ketika pasukan tersebut menewaskan Jerman 2-0.

Geller, seorang pemegang passport Britain dan Israel merupakan seorang illusionisti atau ahli silap mata. Dia mendakwa dirinya mempunyai kuasa psikik dan sangat dikenali di United Kingdom dalam bab membengkokkan sudu di kaca televisyen.

Geller dengan sudu bengkoknya. Gambar: walesonline

Lebih power lagi, dia mengatakan dia adalah punca kenapa penyerang Jerman, Thomas Muller, gagal menyudahkan peluang di hadapan gol dan menendang bola ke tepi tiang England ketika hanya berhadapan dengan penjaga gol, Jordan Pickford, pada minit ke-81.

Peluang tersebut hadir buat Muller selepas pemain Chelsea, Kai Havertz berjaya memotong hantaran lemah daripada Raheem Sterling lalu melorongkan bola kepada Muller.

Pada ketika itu, Sterling sudahpun memegang kepalanya sambil ketakutan dan penyokong England bagaikan sudah kehilangan jantung masing-masing. Segalanya bergerak bagaikan gerakan perlahan dalam filem.

Muller cukup dikenali sebagai pemain yang tajam di hadapan gol. 39 jaringannya dalam 106 penampilan buat pasukan Jerman membuktikan dia mampu menjaringkan gol untuk menyalakan semula peluang pasukannya dalam saingan Euro.

Sebaik menerima tolakan bola daripada Havertz, Muller meluru laju sehingga pada suatu ketika hanya berdepan dengan Jordan Pickford, sambil dikejar Harry Maguire dan John Stones.

Namun apa yang terjadi selepas itu amat melegakan pemain dan penyokong England.

Sepakan Muller senget ke sebelah kanan Pickford yang sudah terkaku, dan juga melepasi tiang gol lalu bola bergolek laju menghentam papan iklan di belakang gol. Tiada jaringan gol dihasilkan.

Muller kecewa. Dia terduduk melutut memegang kepala, tidak percaya apa yang berlaku.

Pada masa yang sama, seluruh stadium Wembley bersorak di atas kegagalan Muller tersebut.

Beberapa minit kemudian, stadium Wembley sekali lagi gamat dengan sorakan penyokong England apabila Harry Kane menjaringkan gol kedua buat England dalam perlawanan tersebut dan yang pertama buatnya dalam kempen Euro kali ini, sekaligus membawa England ke pentas suku akhir kejohanan.

Di sebalik kejayaan England tersebut, Geller tiba-tiba mengatakan dialah punca kemenangan.

“Memang tak syak lagi aku rasa aku yang bertanggungjawab menafikan gol Muller,” Gellar bercerita kepada akhbar Yahudi, Jewish Telegraph.

“Masa tu aku baru nak naik pentas. Aku duduk di belakang tabir.

“Shipi [orang kanannya merangkap adik ipar] mempunyai applikasi Euro di telefon pintarnya dan aku pun sedang tengok perlawanan tu.

“Pemain saxophone juga sedang menonton bersama dan dia cakap Muller sedang berkira-kira untuk melakukan rembatan, aku pun jerit, ‘satu, dua, tiga, senget!’

“Dia pun masa tu jerit ‘senget’ masa kaki Muller baru nak cecah bola.

“Berbanding perkataan ‘gerak’ yang aku guna pada tahun 1996, aku jerit ‘senget’.

“Bila aku tengok England menang, aku berlari naik ke pentas dan semua orang sedang bertepuk tangan.

“Kalau kau tengok balik babak tu dalam gerak perlahan, mesti kau kagun dengan apa yang kau tengok.

“Kuasa minda kita sangat besar,” ujarnya dengan panjang lebar dan sangat kencang bunyinya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Geller ‘membantu’ England, di mana dia juga telah melakukannya pada tahun 1996, ketika kempen Euro di tanah England tersebut.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Scotland dihadiahkan sepakan penalti ketika bertemu England, selepas Gordon Durie dijatuhkan oleh Tony Adams.

Sepakan penalti tersebut diambil oleh Gary McAllister, dan kesudahannya?

David Seaman berjaya menyelamatkan bola tersebut.

Kalau ikutkan Geller, sepakan tersebut tak masuk kerana dia sudah menjerit ‘satu, dua, tiga, gerak!’ – dengan kata lain dia dah jampi bola tu bergerak sebelum disepak.

Pelknya, ramai orang yang percaya bahawa bola tersebut bergerak sedikit sebelum disepak oleh McAllister!

Perlawanan tersebut dimenangi oleh England di mana pemain sensasi, Paul Gascoigne telah menjaringkan gol kedua pasukan Tiga Singa, tidak lama selepas insiden penalti tersebut.

Nasib baik Geller ni duduk di United Kingdom. Kalau dia duduk di Malaysia, lepas tu buat seminar kenali potensi diri dan letak harga diskaun RM500 untuk 50 peserta pertama, mesti ramai orang yang isi borang dan berebut nak datang.

Lepas seminar pengenalan dia buat pula seminar kenali potensi diri 2.0, dengan harga RM4000. Mesti berebut juga orang nak masuk tu.

Sumber : GMS

BACA:  Bjorn Kuipers: Pengadil Perlawanan Akhir Euro 2020 Yang Pernah Cakap F**k You Atas Muka Marco Verratti