Bonucci Kembali Ke Juventus Selepas Semusim, Higuain Sah Sertai AC Milan

AC Milan dan Juventus semakin hampir untuk melengkapkan 3 perpindahan sensasi pada minggu ini melibatkan 3 pemain iaitu Gonzalo Higuain, Leonardo Bonucci, dan Mattia Caldara.

Higuain dijangka berpindah ke AC Milan secara pinjaman dengan pilihan untuk menjadikan perpindahan itu kekal pada masa hadapan. Juventus pula merancang untuk membawa pulang Bonucci ke Turin selepas semusim di San Siro dengan menawarkan Caldara sebagai pertukaran.

Pemain tanpa kepala memakai baju AC Milan. Tetapi dari tubuh gempal dan jambang itu, anda sudah dapat mengagak siapa gerangan pemain ini

Menurut beberapa laporan daripada Itali, Juventus dan AC Milan telah bersetuju mengenai segala terma dan syarat mengenai dua urusniaga ini dan pengumuman rasmi dijangka akan dilakukan tidak lama lagi.

Higuain menyertai Juventus dari Napoli pada musim panas 2016 dengan nilai rekod kelab pada ketika itu tetapi tempat beliau dalam pasukan utama dalam ancaman berikutan ketibaan Cristiano Ronaldo.

AC Milan dilaporkan membayar £16 juta untuk mendapatkan Higuain secara pinjaman dan perpindahan ini boleh menjadi tetap sekiranya Milan bersedia untuk membayar £32 juta pada penghujung musim 2018/2019.

Higuain dikerumi peminat dan wartawan sebaik sahaja tiba di Milan semalam

Instagram rasmi Milan telah memuatnaik satu gambar menunjukkan Higuain dalam baju Milan dengan caption berbunyi, ‘Higuain, ready to start’.

Higuain turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea untuk kembali bersatu dengan Maurizio Sarri tetapi memilih untuk kekal di Italu. Sebelum ketibaan Ronaldo, Higuain memegang rekod perpindahan tertinggi Itali pada harga £75.3 juta yang dibayar Juventus kepada Napoli pada tahun 2016.

Juara 6 kali Serie A bersama Juventus tetapi flop ketika beraksi dengan Milan musim lepas

Higuain dijangka tiba untuk melakukan pemeriksaan perubatan di Milan pada hari Khamis tetapi pemain antarabangsa Argentina ini bukan satu-satunya pemain yang akan berpindah dari Juventus ke AC Milan pada tirai perpindahan kali ini.

Pemain antarabangsa Itali, Leonardo Bonucci dijangka kembali ke pangkuan Juventus selepas semusim di San Siro dimana beliau bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya.

Caldara yang baru sahaja bergelar pemain Juventus selama sebulan, disertakan sekali dalam perjanjian untuk membawa Bonucci ke Juventus bagi menyedapkan hati Milan. Caldara berpindah ke Juventus dari Atalanta sebaik sahaja tirai perpindahan pemain dibuka bulan lepas.

Nama beliau adalah Mattia Caldara. Hanya sempat beraksi untuk Juventus selama sebulan, itupon perlawanan pra-musim sahaja. 

Perjanjian ini dilakukan tanpa melibatkan sebarang duit, kerana kedua-dua pemain dinilai pada harga yang sama sekitar £31 juta. Juventus pada mulanya ingin meletakkan klausa ‘buyback’ dalam kontrak Caldara tetapi tidak meneruskan niat tersebut selepas perbincangan di antara kedua-dua belah pihak.

Caldara sempat beraksi dalam dua perlawanan untuk Juventus dalam kejohanan International Champions Cup 2018 . Caldara dan Bonucci dijangka pulang ke Itali dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan perubatan bagi melengkapkan urusniaga ini sebelum Serie A bermula pada 18 Ogos.

BACA:  Can Kutuk Tindakan Pengadil Berikan Kad Merah Kepada Ronaldo