Buat Pertama Kalinya Ronaldo Tamatkan Musim Tanpa Sebarang Trofi Selepas 16 Tahun

Cristiano Ronaldo telah melalui musim terburuknya selepas tempoh 16 tahun apabila buat pertama kalinya penjaring gol terbanyak sepanjang zaman itu menamatkan musim tanpa sebarang trofi.

Kekalahan terbaru kepada Atletico Madrid disaingan UEFA Champions League di pusingan 16 terbaik telah menoktahkan pengejaran sebarang trofi buat Manchester United musim ini.

Sebelum ini Manchester United telah pun tersingkir dari saingan Piala Liga yang dijuarai Liverpool, Piala FA dan juga kejuaraan Premier League selepas mempamerkan aksi yang memeningkan.

Apa yang berbaki buat Manchester United kini adalah untuk merebut slot ke Champions League dengan mengejar sekurang-kurangnya empat tempat teratas.

Namun itu tampak sukar dan mustahil, jika Manchester United menang semua perlawanan, mereka perlu berharap Tottenham Hotspur dan Arsenal keciciran mata sebanyak mungkin.

Kehadiran Raphael Varane dan disusuli Cristiano Ronaldo pada awal musim menampakkan Manchester United bakal menjadi pasukan pencabar yang dilihat mampu untuk meraih satu piala sekurang-kurangnya.

Setan Merah hanya kurang pemain di bahagian tengah bertahan sahaja namun sebaliknya terjadi apabila Setan Merah bergelut untuk menang menentang pasukan di zon penyingkiran dan menjadi ratahan puak atasan seperti Manchester City dan Liverpool.

Kemerosotan dengan prestasi terumbang-ambing menyaksikan Ole Gunnar Solskjaer dipecat dan digantikan dengan pengurus Interim yang merupakan bapa bola sepak moden Jerman.

Dengan reputasi gah selaku dewa gegenpressing dan pakar taktikal, Ralf Rangnick dilihat mampu memberi sesuatu untuk tempoh 6 bulan selepas mereka terlepas seorang pengurus berkaliber iaitu Antonio Conte yang ke Tottenham Hotspur.

Ralf Rangnick mampu membawa trofi ke Old Trafford jika permainan bola sepak dilansungkan selama 45 minit sahaja, kerana dalam tempoh baki 45 minit lagi Setan Merah biasanya shutdown dan kelaut.

Natijahnya, Ronaldo yang baru sahaja memecahkan rekod untuk menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman telah memecahkan rekod peribadinya selepas beberapa hari.

Pemain antarabangsa Portugal itu kini gagal memenangi sebarang trofi buat pertama kalinya dalam kariernya di peringkat kelab selepas 16 tahun. Ia pastinya rekod yang membuatkan Ronaldo kecewa secara peribadinya dalam usahanya cuba memenangi Ballon d’Or yang akan datang.

Kali terakhir Ronaldo gagal memenangi sebarang piala atau trofi di peringkat kelab adalah pada musim 2004/05 juga ketika bersama dengan Manchester United yang ketika itu di bimbing pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Musim tersebut menyaksikan United dan Ronaldo menamatkan musim di tangga ketiga dalam carta Premier League namun masih lagi dapat beraksi di Champions League musim seterusnya.

Pada musim 2004/05 itu juga Setan Merah tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Liga sertaturut tersingkir daripada pusingan 16 akhir Champions League menyamai pencapaian musim ini.

Manchester United hampir memenangi dan mendakap trofi apabila marak ke perlawanan akhir Piala FA. Namun mereka kecundang jua akhirnya. Gagal meraih sebarang trofi tapi masih mencabar ke hujung musim.

Selepas itu Cristiano Ronaldo tidak menoleh kebelakang lagi apabila ada saja sekurang-sekurangnya satu trofi didakap setiap tahun untuk tempoh 16 tahun sehinggalah tahun 2022.

Itu jika dikira secara tahunan jika dikira berdasarkan musim Ronaldo tidak pernah gagal mendapatkan sebarang trofi setiap musim sejak 12 musim yang lalu.

Ronaldo gagal meraih sebarang trofi pada musim 2009/10 yang merupakan musim pertamanya bersama Real Madrid.

Rekod peribadi badi jangan cerita la, bersepah-sepah dalam tempoh tersebut termasuklah 5 kali memenangan Ballon d’Or.

Selain tercalarnya rekod yang cemerlang Ronaldo, Setan Merah juga menamatkan musim tanpa sebarang Piala untuk kali kelima secara berturut-turut dengan barisan pemain handalan dunia tau.

Hasrat Ronaldo yang kembali ke Old Trafford untuk membantu Setan Merah kembali memenangi trofi tidak kesampaian walaupun berpaksikan kepada mentaliti juara.

Mentaliti juara sebenar adalah bukanlah berkisar kepada bagaimana untuk menang sahaja tetapi bagaimana untuk bangkit selepas mengalami detik sukar dan jatuh belebuk.

Diego Simeone pasti tersenyum puas kerana akhirnya berjaya keluar dari badi kekalahan kepada Ronaldo di saingan Champions League, Simeone beroleh kemenangan pertama.

Untuk rekod lima kali Ronaldo menunjukkan Diego Simeone dan Atletico Madrid jalan keluar dari saingan Champions League sebelum ini.

1. Musim 2013/14 – Cristiano Ronaldo 1-0 Diego Simeone (Final)

2. Musim 2014/15 – Cristiano Ronaldo 2-0 Diego Simeone (Suku akhir)

3. Musim 2015/16 – Cristiano Ronaldo 3-0 Diego Simeone (Final)

4. Musim 2016/17 – Cristiano Ronaldo 4-0 Diego Simeone (Separuh akhir)

5. Musim 2018/19 – Cristiano Ronaldo 5-0 Diego Simeone (Round of 16)

6. Musim 2021/22 – Cristiano Ronaldo 5-1 Diego Simeone (Round of 16)

BACA:Β  Dua Perpindahan Berprofil Tinggi Dijangka Berlaku Sebelum Jendela Ditutup