Capello: Saya Ajar Ibrahimovic Bagaimana Untuk Menyepak Bola

Bekas pengurus England, Fabio Capello mahu kredit diberikan kepadanya dalam membentuk Zlatan Ibrahimovic menjadi antara pemain terbaik dunia, dan menambah pemain berasal dari Sweden ini tidak pandai menyepak bola apabila beliau tiba di Juventus.

Capello adalah individu yang bertanggungjawab melatih Ibrahimovic di Juventus dan membentuk pemain ini menjadi antara penyerang paling digeruni ketika itu sampailah ke hari ini.

Sepak bola macam bapok

Ketika mengimbas kembali masanya sebagai pengurus di Turin, beliau bertuah kerana dapat melatih pemain terbaik yang pernah dilihat sepanjang kariernya, iaitu legenda Brazil, Ronaldo.

Ibrahimovic menyertai Juventus dari Ajax pada tahun 2004, dengan reputasi selaku pemain muda yang meningkat naik. Beliau ketika itu dianggap pemain yang masih lagi ‘kasar’ dan perlu digilap untuk menjadi pemain yang bagus.

Capello berkata beliau adalah individu yang memainkan peranan besar dalam menggilap bakat Ibrahimovic dan memberi laluan kepada pemain ini untuk menyertai beberapa kelab ternama di Eropah.

Bermula dengan Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint-Germain, Manchester United, LA Galaxy dan hari ini bersama AC Milan kembali .

Mido dan Ibrahimovic tidak mempunyai hubungan yang bagus

Capello dipetik berkata kepada Sky Italia, Ibrahimovic dilepaskan Ajax kerana pemain Sweden ini sukar dikawal dan mereka sudah mempunyai pengganti yang sesuai iaitu bekas penyerang antarabangsa Egypt, Mido.

Namun Mido kini telah menjadi sejarah namun Zlatan Ibrahimovic masih lagi beraksi diperingkat tertinggi pada usia yang sangat lanjut bagi pemain bola sepak.

“Apabila saya tiba di Juventus, Ibrahimovic tidak bagus dalam menyepak bola. Ejen beliau, Mino Raiola berkata kepada saya, ‘Sepakan Zlatan amat kuat, beliau pernah patahkan tangan penjaga gol.'”

“Saya berkata kepada Raiola, ‘Dengar sini, kalau dilihat situasi semasa, Ibrahimovic hanya mampu pecahkan tingkap gymnasium sahaja.'”

Raiola pandai gebang

“Selepas itu, Ibrahimovic bekerja keras setiap hari, dan seperti semua sedia maklum, beliau berjaya memperbaiki sepakannya dan menjadi pemain yang lebih baik.”

Sebelum menyertai Juventus, Capello adalah pengurus AS Roma. Kemudian, beliau menjadi pengurus Juventus selama dua tahun dan mendapat peluang untuk bekerjasama dengan Ibrahimovic, pemain yang menjadi sasarannya ketika berada di Roma.

“Saya mahu mendapatkan khidmat Ibrahimovic ketika saya menguruskan AS Roma. Juventus berjaya melakukan pembelian yang menakjubkan. Mereka membayar €16juta kepada Ajax dan bayaran dibuat dalam 4 peringkat.”

“Pihak pengurusan Ajax tidak merasakan pemain ini bakal menjadi pemain yang bagus. Mereka lebih gembira untuk memiliki Mido, yang mana lebih mudah untuk dikawal.”

“Ibrahimovic juga pernah mempunyai masalah ketika bermain di Juventus. Sebagai contoh, beliau pernah berkelahi dengan Jonathan Zebina tetapi Luciano Moggi [pengurus besar Juventus] tiba di padang latihan dan menyelesaikan segalanya.”

Ronaldo pemain terbaik dunia, bukan CR7

Walaupun Ibrahimovic telah menunjukkan persembahan yang mengagumkan peminat bolasepak sepanjang kariernya, Capello tidak merasakan pemain ini adalah pemain terbaik yang pernah dilatihnya.

“Pemain terbaik yang pernah saya latih adalah Ronaldo. Malangnya, saya bertemu Ronadol ketika penghujung kariernya. Beliau ketika itu mempunyai berat sekitar 96kg. “

“Saya bertanya kepada Ronaldo, ‘Berapa berat kamu ketika Piala Dunia 2002 ?’ Beliau menjawab beratnya ketika kejohanan tersebut adalah 84 kg.”

“Saya berkata kepada Ronaldo supaya menurunkan beratnya menjadi 88 kg. Walaubagaimanapun, beliau tetap pemain yang hebat.”

Tidak dapat disangkal lagi, Ronaldo merupakan pemain yang hebat dan padu walau dalam apa jua bentuk dan size fizikalnya.

BACA:  Mourinho: Ini Musim Terakhir Ibrahimovic Bersama Manchester United