Cara-Cara Menyepak Bola Padu dan Menjaringkan Gol Dari Luar Kotak Seperti Kevin De Bruyne

Tidak dapat dinafikan lagi, Kevin De Bruyne merupakan seorang pemain yang cukup bagus di bahagian serangan. Bersama Manchester City dan Belgium, dia menjadi tunjang utama pasukan dalam fasa menjana serangan ke kubu pasukan lawan.

Kelebihan utama De Bruyne adalah kemampuannya untuk melakukan hantaran jarak dekat dan jauh dengan tepat dengan menggunakan kedua-dua kakinya – kiri dan kanan, serta mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol padu dari luar kotak penalti.

Terkini, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Leeds United, De Bruyne telah menjaringkan satu gol yang sangat padu persis tembakan kereta kebal dari luar kotak penalti.

Gol berpunca daripada Gundogan yang sekali lagi mencipta nama sebagai pembantu penjaring gol apabila dia dengan bijak menarik beberapa pemain Leeds untuk mengepungnya. Apabila dia menjadi tumpuan, dengan bijak dia menolak bola kepada De Bruyne yang tidak dikawal.

Dengan ruang yang terbuka luas, De Bruyne melepaskan satu rembatan bagaikan penembak tepat menarik picu senapang. Sepakan kencang kaki kananny itu telah membuatkan bola pergi tepat ke penjuru gol Leeds, sehingga menggegarkan gol pasukan lawan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Manchester City membelasah Leeds United tanpa belas kasihan, 7-0.

Cara menyepak bola seperti De Bruyne

Pernahkah korang semua terfikir, adakah pemain amatur seperti korang semua boleh menjaringkan gol padu seperti De Bruyne tu?

Jawapannya, ya boleh.

Nak sepak bola seperti pemain Manchester City ini hanya memerlukan teknik yang betul. Seperti yang kita ketahui, teknik dalam bola sepak terbahagi kepada tiga komponen

  • Teknik asas (basic technique)
  • Teknik asas di bawah tekanan (basic technique under pressure)
  • Teknik di bawah tekanan dalam situasi permainan (technique under pressure in game situation)

Teknik Asas

Teknik asas adalah apabila kita melakukan sesuatu aktiviti dalam bola sepak dalam keadaan bola pegun. Ini adalah langkah pertama dalam kita memperkemaskan teknik sepakan yang kita ada.

Untuk sepakan seperti De Bruyne, tiga perkara penting yang perlu diperhatikan adalah;

  • Bahagian permukaan kaki yang menyentuh bola
  • Kedudukan kaki sokongan ketika menendang bola
  • Titik sentuhan kaki di bahagian bola

Apabila ingin melakukan rembatan, bahagian tali kasut atau shoelace adalah bahagian permukaan kaki yang akan menyentuh bola.

Bulatan hijau adalah titik sentuhan antara kaki dengan bola. Gambar : Boothype

Dari segi anatomi pula, titik sentuhan bola di bahagian kaki adalah seperti dalam gambar di bawah;

Sepakan padu akan terhasil sekiranya bola kena tepat pada bahagian navicular. Gambar : Pinterest

Untuk melakukan sepakan padu, pemain perlu mengambil lajak sedikit bagi mendapatkan momentum yang mencukupi supaya sepakan yang terhasil akan menjadi padu dan laju.

Sebaik sahaja sampai di bola, kaki yang tidak digunakan untuk menendang bola perlu dipasak di sebelah bola, dengan hujung kaki menunjukkan arah mana bola akan disepak. Jarak kaki sokongan ini daripada bola sekitar 20 ke 25 sentimeter sahaja.

Jika kaki dipasak jauh dari bola, maka rembatan yang dihasilkan tidak mendapat daya yang secukupnya.  Jika kaki dipasak jauh di belakang bola, maka tendangan yang terhasil akan menggelembung buaya.

Semasa menendang, postur badan juga perlu sedikit menunduk.

Apabila kaki menyentuh bola, sangatlah penting untuk kita pastikan bahawa titik pertemuan tersebut berada sedikit ke bawah daripada garisan tengah bola. Jika titik sentuhan tersebut jauh ke bawah, maka bola akan melambung tinggi dan sekirangan titik sentuhan adalah tepat di bahagian tengah, maka bola leret akan terhasil.

Jika tidak kena di mana-mana bahagian bola, itu dinamakan sepak angin.

Titik sentuhan bola dengan kaki

Itu adalah teknik asas dan bahagian ini perlu diperkemaskan sebelum menganjak ke bahagian teknik asas di bawah tekanan.

Teknik asas di bawah tekanan

Berbeza dengan teknik asas, teknik asas di bawah tekanan adalah situasi di mana bola tidak pegun. Tekanan di sini bermaksud bukanlah tekanan daripada pasangan ataupun majikan ataupun pemain lawan, tetapi apabila bola tidak pegun, secara automatiknya kita akan mengalami sedikit kesukaran untuk memastikan titik sentuhan bola dengan kaki adalah tepat.

Jadi, cara yang mudah untuk berlatih teknik rembatan persis De Bruyne adalah dengan meminta rakan untuk menolak bola leret dari pelbagai arah. Dengan ini, kita akan lebih cepat menguasai rembatan dengan tepat tanpa mengira arah kedatangan bola di dalam perlawanan nanti.

Secara ringkasnya, latihan boleh diadakan seperti dalam gambar di bawah.

Untuk lebih berkesan, bola perlu dihantar dari pelbagai arah. Gambar : Academysoccercoach

Teknik di bawah tekanan dalam situasi permainan

Selepas kita dapat menguasai dua bab awal di atas, maka kita boleh meneruskan latihan ke fasa teknik di bawah tekanan dalam situasi permainan. Situasi permainan bermaksud kita cuba mengapplikasi teknik sepakan kita dengan kehadiran pemain lawan, atau cukup sekadar menggunakan patung atau kon.

Pada mulanya pemain lawan tidak perlu bergerak mencabar bola, tetapi sebagai langkah kemajuan, maka secara beransur-ansur pemain lawan boleh mencabar bola ataupun menerjah masuk umpama pemain pertahanan lawan yang menyinga.

Nak bagi lagi mudah faham, boleh tengok brader kacak ni kongsi ilmu dalam video di bawah ni.

Selamat beramal!

BACA:  Kevin De Bruyne Ceritakan Pengalaman Beliau Ditolak Mourinho