De Bruyne Ledak Gol Sepakan Percuma Persis Safiq Rahim Pastikan City Pintas Arsenal

Kevin De Bruyne menjaringkan sepakan percuma yang menakjubkan untuk memberikan kemenangan kepada Manchester City ketika menentang Leicester City.

Dengan gol sepakan percuma itu, maestro Manchester City itu kini boleh merasa bangga dan lega kerana akhirnya dia boleh digelar Safiq Rahim Belgium.

De Bruyne menjadi perhatian dunia pada separuh masa pertama apabila dia menghasilkan hantaran yang menakjubkan kepada Bernardo Silva.

Tetapi dia bermain lebih baik pada separuh masa kedua, menyempurnakan sepakan percuma yang terlalu cantik untuk meletakkan pasukannya mendahului di Stadium King Power.

Empat minit selepas rehat, pelawat dihadiahkan sepakan percuma – dengan bintang Belgium dari Man City merembat rembatan indah ke belakang gawang.

Dia melakukan rembatan cantik yang mengenai tiang sebelum masuk, meninggalkan penjaga gol Leicester Danny Ward langsung tiada peluang di gawang.

Peminat memuji De Bruyne sebagai pemain hebat Liga Perdana berikutan golnya menentang Leicester.

Dia terus menjadi tunjang kekuatan pasukannya tahun demi tahun.

Leicester cuba sedaya upaya untuk menghalang sepakan percuma itu termasuk meletakkan James Maddison sebagai pemain yang berbaring untuk menjadi benteng bola rendah.

Ramai yang menganggap De Bruyne semakin memahatkan namanya sebagai pemain tengah terbaik yang pernah bermain di EPL.

Sepakan percuma itu persis sepakan percuma Safiq Rahim ketika menentang Liverpool dalam aksi pra musim dahulu.

Di mana De Bruyne mungkin belajar teknik yang sama menerusi saluran YouTube, melihat cara Copot melakukan sepakan itu.

Safiq Rahim benar benar pakar dalam melakukan sepakan percuma.

Tahun 2022 sekali lagi menjadi tahun yang baik buat pemain yang berwaja Brock Lesnar itu. Dia diundi dalam top 3 untuk Ballon d’Or.

Bercakap selepas perlawanan, De Bruyne berkata: “Kami membuatnya sedikit sukar. Saya rasa kami letih. Mereka [Leicester] bermain negatif selama 70 minit tetapi kemudian ia berubah.”

“Kami masih boleh menjaringkan gol kedua. Akhirnya ia adalah kemenangan yang baik untuk kami.”

“Kami sentiasa perlu menjadi lebih baik. Saya telah bermain agak baik tetapi beberapa perlawanan lebih baik daripada yang lain… Kami mencipta cukup banyak. Ia sukar menentang pasukan yang bermain 11 di belakang bola. Kami telah membuktikan kami boleh menang. ”

Sepakan percuma De Bruyne terbukti cukup untuk memperoleh ketiga-tiga mata dan memintas Arsenal di atas carta Liga Perdana Inggeris.

Man City kini sudah mempunyai 29 mata, satu mata di depan The Gunners aka Arsenal yang kembali akan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris pada hari Ahad menentang Nottingham Forest yang menewaskan Liverpool sebelum ini.

Pelbagai cacian dan hinaan diterima Liverpool sebaik sahaja kalah kepada pasukan yang bergelut di zon penyingkiran itu. Mujurlah Antony bermurah hati menyumbangkan aksi berpusing pusingnya untuk mengambil alih tajuk utama akhbar. Skil yang dilabel Paul Scholes sebagai badut.

De Bruyne masih lagi menjadi pemain yang akan memberikan perbezaan besar dalam kempen liga musim ini.

Manchester City dan Arsenal dilihat sebagai dua calon kuat untuk bersaing kejuaraan liga pada musim ini.

Pep Guardiola merupakan mentor kepada Arteta dalam dunia kejurulatihan.

Dengan kuasa yang hebat di kakinya, Safiq Rahim cawangan Belgium, Kevin De Bruyne juga menjadi tunjang dan harapan negaranya pada kempen Piala Dunia akan datang.

Di mana Belgium masih terus memburu kejuaraan besar pertama pada era emas mereka.

Mampukah Copot Belgium membantu negaranya menjulang Piala Dunia 2022?

BACA:  Nama De Bruyne Digugurkan Dari Senarai Ketua Pasukan City