Carragher: Adakah Nama Liverpool Sudah Tertulis Pada Trofi Liga Perdana Inggeris ?

Selepas melihat Liverpool mencatatkan kemenangan penuh dramatik ke atas Tottenham Hotspurs awal pagi semalam, Jamie Carragher tertanya-tanya adakah nama Liverpool sudah ‘tertulis’ pada trofi Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Jurgen Klopp terpaksa berhempas pulas untuk memperolehi 3 mata di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield semalam.

Adakah jersi seperti ini sudah dicetak ?

Spurs bermain dengan sangat baik sepanjang perlawanan dan pada suatu ketika berjaya mengikat kedudukan dan berada dalam landasan terbaik untuk pulang dengan sekurang-kurangnya 1 mata.

Seperti pepatah Melayu yang popular, rezeki tidak pernah salah alamat. Liverpool berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat terakhir perlawanan apabila pemain pertahanan Spurs, Toby Alderweireld tertampan bola ke dalam gawang sendiri selepas Hugo Lloris gagal menyelamatkan percubaan Mohamed Salah dengan baik.

Bagaikan deja-vu, situasi yang sama turut berlaku kepada Liverpool ketika bertemu Fulham di Craven Cottage beberapa minggu yang lalu. Liverpool sangat bernasib baik apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan yang disempurnakan dengan baik oleh kapten pasukan, James Milner untuk kemenangan tipis 2-1.

Nasib baik Liverpool musim ini menunjukkan mereka adalah calon juara

Satu lagi perlawanan yang menunjukkan Liverpool mempunyai mentaliti sang juara adalah ketika menentang Everton di Anfield pada Disember tahun lalu. Pemain gantian, Divock Origi berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam waktu sebenar.

Selepas melihat keputusan  yang diraih Liverpool dalam perlawanan sebegini, Carragher memberi bayangan trofi Liga Perdana Inggeris mungkin akan menuju ke Anfield buat kali pertama selepas 29 tahun menunggu.

“Kadang kala dalam pertandingan, anda akan mula berfikir adakah nama ‘kami’ sudah tertulis pada trofi Liga Perdana Inggeris kerana Liverpool mempunyai nasib yang baik.”

Air mata buat Spurs

“Anda boleh lihat dalam Merseyside Derby dengan gol saat akhir Divock Origi. Hari ini, Tottenham dilihat sebagai pasukan yang lebih hampir untuk menang pada separuh masa kedua. Tetapi sekali lagi hari ini adalah hari Liverpool.”

“Sebagai seorang pemain, anda mungkin akan berlompat kegembiraan dalam bilik persalinan tetapi mereka perlu tahu yang mereka perlu bermain lebih baik.”

“Ini kemenangan yang sangat penting. Sekali lagi, Liverpool tidak bermain pada tahap yang terbaik. Tetapi sebelum perlawanan Jurgen Klopp ada bercakap mengenai debaran yang dirasai pemain mungkin akan memberi kesan.”

“Sejarah telah membuktikan jika anda mahu memenangi liga, anda perlu menjaringkan gol kemenangan pada saat terakhir. Dan Liverpool telah melakukannya dalam beberapa perlawanan musim ini.”

Liverpool kembali merampas tempat teratas dari Man Citeh !

“Merseyside Derby [menentang Everton], Fulham dua minggu lalu, dan berlaku sekali lagi hari ini.”

Dengan kemenangan tersebut, Liverpool merampas kembali tempat teratas dari Manchester City tetapi The Citizens bermain kurang satu perlawanan.

BACA:  FA Cup 2021/22: Liverpool 2-1 Norwich City