Carragher Dan Neville Namakan Kesebelasan Terbaik Premier League Pilihan Mereka

Jamie Carragher dan Gary Neville telah menamakan kesebelasan terbaik pilihan mereka dalam saingan Premier League setakat musim ini.

Memandangkan kini sudah hampir ke penghujung tahun 2021, maka kedua-dua pundit terkenal itu memilih untuk menyenaraikan kesebelasan yang mereka rasakan terhebat setakat awal musim ini.

Perjalanan saingan Premier League pada ketika ini boleh dianggap sudah separuh jalan, dengan empat dari 20 pasukan yang bertanding sudah melalui 19 dari 38 perlawanan mereka pada musim ini.

Ada beberapa pasukan yang masih belum sampai 19 perlawanan kerana beberapa aksi sebelum ini terpaksa ditangguhkan dek kerana gangguan dari wabak pandemik.

Walau bagaimanapun, Gary Neville dan Carragher tetap mahu memilih kesebelasan terbaik dalam saingan Premier League setakat ini.

Selepas tamat aksi 1-1 Manchester United bertemu Newcastle United awal pagi tadi, kedua-dua legenda bola sepak Inggeris itu tampil memperdebatkan topik ini.

Boleh dikatakan kedua-dua mereka sepakat memilih lapan pemain yang sama dalam kesebelasan terbaik pilihan masing-masing.

Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk, Antonio Rudiger, Joao Cancelo, Declan Rice, Mohamed Salah, Diogo Jota dan Phil Foden merupakan lapan pemain yang berada dalam kesebelasan terbaik pilihan kedua-dua mereka.

Kesebelasan terbaik pilihan Gary Neville

Neville memilih taktikal 3-4-3 dengan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menjadi penjaga gol utama pilihan beliau.

Duo Manchester City, Ruben Dias dan Rodri pula beliau pilih untuk mengisi posisi pertahanan dan midfield di dalam senarai kesebelasan terbaik pilihannya.

“Saya cuma fikir yang Dias, Van Dijk dan Rudiger telah mempamerkan aksi persembahan terbaik mereka bersama kelab masing-masing.”

Jelas Neville.

“Saya mahu gunakan dua pemain midfield. Saya rasa Rodri telah mempamerkan aksi persembahan yang cukup menakjubkan bersama City tahun ini, dia sungguh menakjubkan. Underrated, tidak begitu dihargai, seseorang yang buat kerja dengan bagus setiap minggu. Improvement yang dia tunjukkan sungguh mengagumkan. Rice bermain di sisi dia.”

“Sangat tidak bernasib baik untuk Robertson di Liverpool. Saya rasa Cancelo dan Trent Alexander Arnold merupakan full-back terbaik yang ada dalam saingan Premier League musim ini.”

Jelas Gary Neville lagi.

Carragher yang kebingungan kemudiannya bertanya kepada Neville bahawa:

“Bagaimana mungkin kamu boleh tidak meletakkan Bernardo Silva dalam pasukan kamu?”

Neville kemudiannya menjawab:

“Saya cuma belum meletakkan dia…”

Carragher kemudiannya bertanya semula kepada Neville tentang mengapa beliau tidak menyenaraikan Bernardo Silva.

Malas cakap banyak, Neville cuma beri jawapan yang sama untuk menjawab persoalan dari Carragher itu.

Kesebelasan terbaik pilihan Jamie Carragher

Carragher sementara itu memilih penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale sebagai penjaga gol utama beliau berbanding Alisson yang dipilih oleh Gary Neville.

Carragher memilih tiga pemain midfield dengan menggandingkan Conor Gallagher, Bernardo Silva dan ketua pasukan West Ham, Declan Rice.

“Mengapa kamu tidak memilih Rodri? Dia sebenarnya sungguh menakjubkan.”

Soal Neville.

Carragher kemudiannya menjawab:

“Saya meletakkan Rice di posisi itu.”

Tidak dinafikan yang pilihan kedua-dua Carragher dan Neville sebenarnya merupakan pilihan yang sangat bijak dengan kesemua pemain yang mereka pilih sememangnya telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan musim ini.

Namun begitu, agak mengejutkan untuk melihat nama David De Gea tidak disebutkan oleh kedua-dua mereka kerana penjaga gol United itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh cemerlang musim ini.

Jika bukan kerana De Gea, Man Utd mungkin sudah berada di zon penyingkiran pada ketika ini.

Dan jika ditanya siapa pemain Manchester United yang layak untuk berada dalam senarai ini, De Gea merupakan satu-satunya calon paling layak.

Sumber: GMS

BACA:  "Takkan Liverpool Beli Balik Suarez" - Man Utd Berfikir Seperti Kelab Kecil Apabila Beli Semula Ronaldo