City Beri Liverpool Harapan Palsu Sebelum Cipta Kebangkitan Sensasi

Premier League kembali bersambung selepas memberi laluan kepada perlawanan kelayakan dan persahabatan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan hampir dua minggu.

Pembuka tirai kepada kembalinya liga dunia, peminat bola sepak terus disajikan dengan pertemuan hebat dua pasukan, Manchester City dan juga Liverpool 7up.

Di bulan puasa waktu permainan pada jam 7.30 malam agak sedikit merencatkan semangat menonton namun sesedap mana pun bola sedap tuntutan agama tetap didahulukan.

Bermain di Etihad jelas menjadi satu kelebihan buat Manchester City yang jelas permainan kali ini menjadi milik mereka sejak sepak mula tanpa memberi Liverpool ruang untuk bernafas.

Disebalik pengusaan dan dominasi penuh Manchester City, Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan untuk mendahului perlawanan pada minit ke-17 melalui Mohamed Salah.

Lambungan cantik Trent Alexander-Arnold menemui Diogo Jota yang tidak ofsaid yang terus melakukan larian yang terus ditekan dan tarik oleh Manuel Akanji.

Diogo Jota tidak mempunyai ruang dan bijak menolak bola kepada Mohamed Salah yang datang dari belakang untuk disudahkan dengan tenang.

Manchester City meneruskan tekanan kepada kubu Liverpool dan 10 minit kemudian gol penyamaan hadir dari Julian Alvarez hasil gerakan berpasukan.

Kevin de Bryune menghantar kepada Riyad Mahrez yang melakukan larian dan gelecekkan sebelum menolak kepada Ilkay Gundogan yang melorongkan kepada Jack Grealish.

Grealish terus mengumpan ke tengah mencari Julian Alvarez yang menanti untuk melakukan satu tolakan mudah.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat 1-1 dengan City menguasai permainan dan gol Salah adalah satu-satunya percubaan tepat dari Liverpool.

Bersambung babak kedua, Manchester City terus mencipta kebangkitan sensasi dan terus mendahului melalui pemain kreatif mereka, Kevin De Bryune yang menyempurnakan hantaran Riyad Mahrez dengan satu tolakan mudah.

Pada minit ke-53, Manchester City terus menjarakkan kedudukan dengan jaringan ketiga dan Ilkay Gundogan mencetak nama selaku penjaring dengan mengayam-ayamkan pertahanan Liverpool dengan satu rembatan jarak dekat.

Aksi Liverpool terus longlai dan tidak melawan, peratahanan mereka terus dirobek walaupun ada pemain pertahanan terbaik alam semesta, Virgil Van Dijk.

Pada minit ke-74 Jack Grealish menjaringkan gol keempat selepas bertukar hantaran dengan Kevin De Bryune dan jolokkannya cukup untuk menewaskan Alisson Becker dan Virgil Van Dijk.

Jaringan pertama Jack Grealish di laman sendiri, Stadium Etihad sejak tahun 2021 dan kedudukan 4-1 ini kekal hingga tamat perlawanan.

Manchester City mencatatkan kemenangan ketujuh berturut-turut merentasi semua kejohanan dan kini lima mata di belakang Arsenal.

Kekalahan Liverpool ini pasti sangat dirasai kekecewaannya oleh peminat Arsenal yang berharap Liverpool menang tapi itu tidak terjadi.

Manchester City: Ederson, Stones, Akanji, Dias, Ake, Rodri, Gundogan, De Bruyne, Mahrez, Grealish, Alvarez.

Simpanan: Ortega, Walker, Phillips, Laporte, Bernardo, Gomez, Perrone, Palmer, Lewis.

Liverpool: Alisson, Robertson, Van Dijk, Konate, Alexander-Arnold, Elliott, Henderson, Fabinho, Gakpo, Jota, Salah.

Simpanan:: Kelleher, Gomez, Milner, Firmino, Oxlade-Chamberlain, Tsimikas, Nunez, Arthur, Matip.

BACA:  Yakin Salah Mampu Berikan Impak, Henderson Sudah Kongsi Pengalaman Beraksi Di Arab Saudi