“Dah Jadi Bakal Juara Ke?” – Ayah Haaland Menganjing Arsenal Selepas Menang Community Shield

Ayah kepada Erling Haaland, Alfie, tetap mempersendakan kemenangan Arsenal dalam perlawanan Community Shield dengan satu kenyataan penuh sarkastik di Twitter.

Kenyataan tersebut sebenarnya adalah peringatan kepada semua pihak mengenai kemampuan anaknya walaupun Haaland gagal menjaringkan gol untuk Man City dalam perlawanan tersebut.

Bintang Man City itu gagal merekodkan sepanjang percubaan dalam perlawanan itu sehinggalah dia dikeluarkan oleh Pep Guardiola pada minit ke-64 perlawanan.

Terikat 1-1 selepas tamat masa perlawanan sebenar, City kemudiannya ditewaskan 4-1 melalui penentuan sepakan penalti.

Musim lalu kejadian hampir serupa turut berlaku apabila Haaland gagal menyerlah di awal musim. Pemain itu kemudiannya menjaringkan 52 gol secara keseluruhan pada musim lalu.

Melalui ciapannya, Alfie berkata: “Tahniah Arsenal, kemenangan yang hebat. Anda sudah menjadi pilihan utama untuk menjadi juara liga.” Ciapan tersebut diikuti oleh emoji kenyit mata.

Peminat bola sepak Inggeris semestinya memahami tidak mudah untuk memecah dominasi Man City sebagai juara Premier League.

Kenyataan tersebut jelas berbaur sinis, dan mengingatkan akan kegagalan Arsenal pada musim lalu walaupun pada suatu ketika selesa berada di persada liga – sebelum dipintas City.

Pada musim lalu Haaland menjaringkan dua gol pada hari pertama musim baharu Premier League menentang West Ham.

Penyerang antarabangsa Norway itu kemudiannya menambah 50 gol lagi untuk membantu skuad kendalian Pep Guardiola meraih kejuaraan treble.

Arsenal mengatasi City pada awal pagi tadi dan ia juga dianggap amaran oleh skuad Mikel Arteta yang mahu kembali bersaing dengan lawan mereka itu untuk kejuaraan pada musim hadapan.

Selepas dipintas oleh City pada akhir musim, Arsenal sememangnya dilihat mampu kembali mencabar kejaguhan City. Apatah lagi setelah melabur banyak pada jendela perpindahan musim panas ini.

The Gunners akan memulakan kempen Premier League musim 2023/24 dengan aksi di tempat sendiri menentang Nottingham Forest.

City pula akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang Burnley di tempat lawan pada awal pagi Sabtu (waktu Malaysia) ini.

BACA:  Arsenal Terus Gayat Ketika City dan Newcastle Keciciran Mata