Dani Alves Terlepas Peluang Untuk Mewakili Brazil Di Piala Dunia 2018

Pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Dani Alves mengalami kecederaan lutut yang serius ketika perlawanan akhir Coupe de France tempoh hari sekaligus bakal terlepas peluang untuk mewakili Brazil dalam temasya Piala Dunia 2018.

Alves terpaksa dipapah keluar ketika perlawanan berlangsung dan tidak akan sempat sembuh sebelum Piala Dunia bermula musim panas nanti. Penilaian awal menunjukkan kecederaan tersebut tidak terlalu serius dan Alves dijangka sempat sembuh, tetapi perkembangan terbaru menunjukkan kecederaan tersebut adalah lebih serius daripada jangkaan awal.

Kehilangan besar buat skuad Selecao

“Berkenaan kecederaan di bahagian lutut kanan Dani Alves yang dialami pemain tersebut ketika perlawanan akhir Coupe de France kelmarin, ujian yang telah dijalankan menunjukkan beliau mengalami ‘anterior cruciate ligament with posterolateral sprain’.” Ujar jurucakap kepada pemain terbabit.

Berita sedih tersebut juga telah disahkan oleh Persatuan Bolasepak Brazil semalam selepas doktor pasukan kebangsaan Brazil, Rodrigo Lasmar menjalankan ujian lebih terperinci terhadap Alves. Bekas pemain Barcelona itu disahkan tidak akan sempat sembuh sepenuhnya untuk mewakili Brazil pada temasya 4 tahun sekali itu nanti.

“Pemeriksaan lebih terperinci mengesahkan penilaian awal yang mengatakan Alves mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ dan memerlukan pembedahan bagi merawat kecederaan tersebut.” Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Brazil.

Alves ditimpa malang ketika PSG memenangi Coupe De France

“Mustahil untuk memanggil Dani Alves ke dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan dan kempen Piala Dunia kerana beliau tidak akan sempat sembuh.”

Alves merupakan komponen penting dalam skuad kebangsaan Brazil selama hampir sedekad dan dijangka bakal mengisi posisi bek kanan sebelum dilanda kecederaan. Pemain berusia 35 tahun ini telah memenangi 107 penampilan bersama skuad kebangsaan tetapi terpaksa melupakan saingan Piala Dunia yang bakal berlangsung pada musim panas nanti di Russia.

Bek kanan Bayern Munich, Rafinha mungkin dipanggil untuk menggantikan tempat Alves

Alves merupakan pemain pertahanan kedua Brazil mengalami kecederaan serius sebelum kempen Piala Dunia. Sebelum ini, pemain pertahanan Atletico Madrid Filipe Luis mengalami kecederaan serius ketika bertemu Lokomotic Moscow dalam saingan Europa League Mac lalu.

Jurulatih Brazil, Tite dijangka dapat memanggil Neymar untuk mengganggotai skuad kebangsaan di mana pemain tersebut sudah kembali ke Perancis untuk meningkatkan proses penyembuhan beliau. Neymar mengalami kecederaan patah kaki pada Februari lalu dan memaksa beliau berehat selama beberapa bulan.

BACA:  Hubungan Sulit: Abidal Dan Isteri Turut Disiasat Isu Pemain PSG Yang Diserang