Demi Muslim Uighur, Griezmann Tamatkan Perjanjian Tajaan Dengan Huawei

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis, Antoine Griezmann pada tahun lalu telah menamatkan perjanjian pengiklanan bersama syarikat gergasi, Huawei, dan alasan beliau membuat keputusan itu menarik perhatian peminat.

Griezmann memutuskan untuk menamatkan perjanjian beliau bersama Huawei kerana beliau mendapati bahawa syarikat telekomunikasi itu sebenarnya turut terlibat dalam isu kekejaman terhadap umat Islam di Uighur.

Griezmann telah memuat status di laman instagram miliknya dengan mengeluarkan kenyataan yang menyatakan:

“Kecurigaan yang kuat mengatakan bahawa Huawei ada menyumbang kepada perkembangan ‘amaran Uighurs’ melalui cara mereka menggunakan software pengenalan wajah, saya dengan segera menamatkan kerja sama dengan syarikat tersebut.”

Beliau turut meminta Huawei supaya:

“Jangan hanya menyangkal tuduhan ini tapi ambil lah tindakan yang tegas secepat mungkin untuk mengutuk penindasan yang teruk ini.. dan gunakan segala pengaruh yang ada untuk menyumbang kepada penghormatan hak asasi manusia.”

Griezmann merasakan yang Huawei terlibat sama dalam hal tersebut kerana beliau percaya dengan dakwaan yang dilakukan oleh IPVM.

Firma penyelidikan pengawasan yang berpangkalan di AS, IPVM telah mengatakan dalam sebuah laporan pada tahun lalu, bahawa Huawei telah terlibat dalam pengujian perisian pengenalan wajah di China yang mana ia dapat mengirim pesanan kepada polis ketika mengenali wajah masyarakat minoriti Uighur.

Syarikat telekomunikasi yang dianggap sebagai produk paling laris di dunia pada tahun lalu itu telah tampil untuk menyangkal dakwaan yang dilakukan oleh IPVM.

“Kami tidak mengembangkan algoritma, atau aplikasi dalam bidang pengecaman wajah atau jalan penyelesaian yang menyasarkan kumpulan etnik”

Jelas wakil Huawei kepada AFP.

“Produk kami mematuhi piawaian industri dan mengikut peraturan semasa. Huawei sepenuhnya dan dengan tegas mematuhi prinsip panduan dari PBB, mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, dan kami juga mematuhi undang-undang dari 170 negara yang mana kami beroperasi.”

Human Rights Watch menyatakan bahawa masyarakat Uighur di Xinjiang telah ditangkap selepas dilaporkan oleh perisian yang mengenal pasti tingkah laku yang mencurigakan.

Pemantauan di Xinjiang kini semakin diperketatkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pengenalan wajah, pengimbas cap jari, pengumpulan DNA dan segala kepakaran lain atas nama kononnya untuk mencegah terrorism.

China kini mendapat kritikan dari pelbagai pihak terhadap dasar mereka di Xinjiang, yang mana kumpulan hak asasi mengatakan bahawa sebanyak satu juta masyarakat Uighur dan golongan muslim minoriti yang lain ditahan di kem tahanan mereka.

China pula mempertahankan kem tahanan tersebut diwujudkan bertujuan untuk membasmi keganasan dan meningkatkan peluang pekerjaan.

Griezmann yang kini berusia 30 tahun merupakan pemain yang menjadi nadi penting dalam membantu Perancis mara ke perlawanan akhir Euro 2016 dan menjuarai saingan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Beliau telah menjadi duta kepada product Huawei sejak dari tahun 2017 dan gambarnya terpampang dalam iklan gergasi syarikat tersebut di Perancis.

Griezmann terlebih dahulu mencipta nama bersama Real Sociedad sebelum beliau menyertai Atletico Madrid pada tahun 2014.

Beliau kemudiannya menyertai Barcelona pada tahun 2019 dengan nilai perpindahan berjumlah $145.5 juta.

Keputusannya untuk menamatkan perjanjian bersama Huawei wujud apabila beliau melihat tokoh sukan, terutama sukan bola sepak, ramai yang semakin lantang dalam bersuara apabila melibatkan isu sosial dan kemanusiaan.

Dalam muat naik status di media sosialnya juga pada tahun lalu, Griezmann telah menyatakan keperihatinan beliau terhadap satu video yang memperlihatkan anggota polis memukul seorang producer muzik.

Video sama juga telah menjadi faktor utama yang menyebabkan Presiden, Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan untuk mereformasikan semula anggota polis.

Selain Griezmann, Mesut Ozil sebelum ini turut pernah lantang bersuara berkait hal dan isu yang sama, namun hasilnya, syarikat gergasi sukan, Adidas memutuskan untuk tidak mahu melanjutkan kontrak tajaan kepada pemain itu.

Kontrak jangka panjang antara Ozil dengan syarikat gergasi sukan itu yang bernilai £22 juta tidak akan diperbaharui lagi dan akan berakhir selepas tamat tempoh perjanjian.

Ejennya sendiri sudah mengesahkan bahawa kontrak itu tidak akan diperbaharui kerana Adidas dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa isu berkaitan imej dan disiplin Ozil.

Antaranya, Adidas juga telah menyatakan kekecewaan mereka ke atas Mesut Ozil yang sebelum ini dengan terbuka telah mengkritik kerajaan China di atas layanan buruk mereka terhadap masyarakat Islam Uighur.

Arsenal yang merupakan majikan kepada Ozil pada ketika itu turut mengeluarkan kenyataan media dengan menyatakan bahawa mereka tidak mahu dikaitkan dengan pendirian dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mesut Ozil.

Kesan daripada tindakan pemain Fernerbahce itu, beliau telah diboikot di China dan Adidas sendiri turut terkesan dengan impak atas hal yang berlaku.

Kebanyakkan peminat bersimpati dengan Ozil kerana pemain itu sebenarnya bukan bercakap tentang Uighur hanya kerana suku kaum itu beragama islam, tetapi beliau bercakap atas dasar kemanusiaan sesama manusia.

Selain itu ada juga laporan yang menyatakan bahawa Adidas tidak suka dengan tindakan Ozil ekoran insiden selepas dari Piala Dunia 2018.

Ketika itu Mesut Ozil secara terang-terangan mengkritik penyokong Jerman yang bersikap rasis terhadapnya.

Ozil ketika itu menyatakan, di Jerman, apabila menang, kesemua pemain dianggap wira negara, namun ketika kalah, mana-mana pemain imigran akan dianggap sebagai bukan bangsa Jerman.

Tindakan dan sikap kedua-dua pemain ini bolehlah dipuji dengan mereka sanggup melepaskan tajaan bernilai puluhan juta hanya kerana mahu pertahankan hak asasi manusia.

BACA:  "Keputusan Jadikan Mbappe Kapten Pasukan Buat Saya Sembelit"- Griezmann