Robertson Kena Langgar Lari Ketika Baru Nak Bersemuka Dengan Griezmann

Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson kena rempuh dengan pemain Atletico Madrid ketika beliau baru mula nak bertentang mata dengan Antoine Griezmann ketika aksi dalam saingan Champions League awal pagi tadi.

Griezmann yang berjaya menjaringkan kedua-dua gol untuk Atletico Madrid dalam perlawanan ini, telah dilayangkan dengan layangan kad merah pada awal aksi babak kedua permainan.

Beliau dilayangkan kad merah kerana mengangkat kaki terlalu tinggi dengan kakinya singgah tepat ke muka pemain penyerang Liverpool, Roberto Firmino.

Antoine Griezmann bersama rakan sepasukannya, tenaga kejurulatihan dan para penyokong Atletico Madrid jelas terkejut dengan keputusan pengadil perlawanan, dan merasakan ia agak keterlaluan.

Bintang Perancis itu dilihat tidak sedar dengan kehadiran Firmino di belakangnya, dengan matanya tertumpu ke arah bola di udara.

Walau bagaimanapun, ketika mengangkat kaki untuk menyambut bola, kaki Griezmann tepat terkena muka Firmino dan kerana itulah pengadil perlawanan melayangkan kad merah padanya.

Pengadil perlawanan dari Jerman, Daniel Siebert merasakan cabaran itu agak keras dan jika melihat kepada peraturan FIFA, para pemain sememangnya tidak dibenarkan untuk mengangkat kaki terlalu tinggi.

Jadi kad merah itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan, dan ia wajar untuk dilayangkan walau tidak menghadirkan kecederaan yang teruk terhadap Roberto Firmino.

Robertson jelas sekali sangat bersetuju dengan keputusan Siebert dan beliau terus bergerak untuk bertentang mata dengan Griezmann ketika pemain Atletico sedang membantah keputusan pengadil.

Ketua pasukan kebangsaan Scotland itu sememangnya memiliki reputasi agak teruk melibatkan sikapnya yang suka mencetuskan provokasi dan melakukan kerja kotor dalam mencari pasal dengan pemain lawan.

Pemain Atletico sendiri mungkin sedar tentang hal itu, dan untuk mengelakkan Robertson terus melakukan provokasi, salah seorang pemain Atletico terus menumbangkan beliau.

Insiden itu berlaku dengan terlalu pantas, namun terdapat juga rakaman yang menunjukkan bagaimana Jose Gimenez merempuh Robertson yang baru hendak bertentang mata dengan Antoine Griezmann.

Beliau berusaha memastikan bintang Scotland itu ditumbangkan terlebih dahulu, sebelum beliau mula menimbulkan masalah lain.

Tidak ada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Gimenez kerana merempuh Andy Robertson hingga terpelanting seperti itu.

Liverpool berjaya mengesahkan kemenangan 3-2 menewaskan Atletico Madrid selepas Mo Salah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78 permainan menerusi sepakan penalti.

The Egyptian King itu juga turut menjaringkan gol pembukaan untuk Liverpool dalam perlawanan ini, sebelum Naby Keita meledak gol kedua hasil rembatan volley yang sungguh mengagumkan.

Satu lagi insiden panas yang berlaku dalam perlawanan ini adalah ketika Diego Simeone berlari terus masuk ke bilik persalinan, tanpa mahu berjabat tangan dengan Jurgen Klopp.

Melihat gelagat Diego Simeone di stadium Wanda Metropolitano itu ramai berpendapat Diego Simeone koyak dan kerana itulah beliau mengabaikan Klopp.

Dalam temuramah, Jurgen Klopp menjelaskan situasi itu dengan kemarahan yang melanda Diego Simeone dan yakin mereka akan berjabat tangan apabila bertemu lagi.

“Aku nak berjabat tangan dengan beliau, kami berdua sangat beremosi. Beliau marah dengan perlawanan, bukan perkara lain.”

“Bila kami bertemu lagi kami 100% akan berjabat tangan.”

Joleon Lescott pula berpendapat bahawa kelakuan Diego Simeone yang melarikan diri dan tidak berjabat tangan dengan Klopp sebagai pengecut.

“Agak pengecut la pada pandangan aku.” Ujar Lescott.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada 3 November nanti di Anfield, dan pertembungan kedua mereka tentunya menjadi aksi yang ditunggu-tunggu oleh para peminat.

Sumber: GMS

BACA:  Jawapan Felix Ketika Disuruh Mencederakan Griezmann Sungguh Mengagumkan