Jawapan Felix Ketika Disuruh Mencederakan Griezmann Sungguh Mengagumkan

Jawapan Felix ketika disuruh mencederakan Griezmann sungguh mengagumkan dan bakal membuka mata ramai penyokong Atletico yang seakan tidak menghormati legenda kelab mereka itu.

Joao Felix telah disuruh untuk mencederakan rakan sepasukannya, Antoine Griezmann dalam satu temu bual siaran langsung dan beliau dilihat benar-benar keliru dengan soalan tersebut.

Griezmann kembali ke Atletico pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup, selepas beliau sebelum ini beraksi di Nou Camp bersama Barcelona.

Cara bagaimana beliau meninggalkan Los Colchoneros pada tahun 2019 tidak diterima dengan baik oleh para penyokong Atletico, dan ada antara mereka yang masih belum bersedia untuk menerima kepulangan semula bintang Perancis itu.

Dari kesemua penyokong yang meluahkan rasa kecewa mereka, ada seorang yang meluahkan rasa kecewa beliau dengan cara yang lebih ganas.

Felix awalnya ditandatangani kerana beliau diyakini bakal menjadi pengganti Griezmann, dan ketika beliau tiba di padang latihan, beliau telah diberitahu:

“Joao, atasi Griezmann, kamu perlu cederakan dia, jangan sampai dia melepasi kamu.”

Reaksi pemain berusia 21 tahun itu dengan segera berubah dan beliau segera menunjuk ke arah penyokong tersebut sebelum menyatakan:

“Kamu perlu tunjukkan lebih rasa hormat pada Griezmann.”

Reaksi dan jawapan beliau sungguh mengagumkan dan bakal membuka mata ramai lagi penyokong Atletico yang lain.

Felix menunjukkan yang beliau sangat menghormati Griezmann dan mahu para penyokong turut mempunyai pandangan yang sama ke atas legenda kelab mereka itu.

Felix diturunkan dalam kesebelasan utama Atletico Madrid ketika aksi terikat tanpa jaringan bertemu Porto dalam saingan Champions League.

Beliau telah dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan dan tempatnya digantikan oleh Antoine Griezmann.

Ia merupakan aksi pertama pemain kebangsaan Perancis itu di Wanda Metropolitano, namun reaksi dari para peminat tidak seperti yang beliau harapkan.

Beliau diboo oleh para penyokong sejak dari awal namanya diumumkan dan turut menerima reaksi sama ketika dimasukkan pada aksi babak kedua permainan.

Presiden Atletico Madrid, Eduardo Fernandez telah memberitahu L’Equipe menjelang aksi perlawanan kemarin, yang Griezmann berkemungkinan memerlukan masa yang panjang untuk memenangi semula hati para penyokong.

“Segelintir penyokong akan mengejek dan mengganggu dia, itu sudah tentu. Ketika nama dia diumumkan dan sebaik dia menyentuh bola.”

“Peminat masih kecewa. Sebelum ini, dia adalah idola kami. Sekarang dia hanya pemain biasa, sama seperti pemain lain. Dia tidak begitu disayangi lagi. Imej dia sudah tercalar.”

“Kami semua masih terkesan dengan apa yang sudah dia lakukan. Masa akan menentukan untuk menghilangkan kesakitan kami rasa. Dia akan dapat semula kepercayaan dan kasih sayang kami.”

“Semuanya terpulang pada dia untuk dimaafkan dan tebus kesalahan dia. Bagaimana? Atau apa? Dengan bermain mati-matian dan jaringkan gol. Ketika dia jaringkan gol penting, sikit demi sikit semuanya akan kembali seperti biasa. Kerana dia datang semula untuk buktikan dia sayang kelab.”

Sementara itu, pengurus Atletico, Diego Simeone turut tampil untuk mempertahankan Griezmann walaupun beliau sendiri terkesan dengan kontroversi yang dicetuskan oleh bintang Perancis itu ketika meninggalkan kelab sebelum ini.

Simeone berjaya memenangi Europa League bersama pemain berusia 30 tahun itu sebagai bintang utamanya dan kedua-dua mereka turut bekerjasama dengan baik selama lima tahun sebelum ini.

“Mereka (pihak media) mencipta drama dan mengeruhkan keadaan yang jelas menyukarkan kita untuk mendapatkan pemain yang luar biasa menakjubkan seperti dia (Griezmann) dan kami mahu nikmati itu.”

Jelas pengurus dari Argentina itu kepada Sport.

“Kami harap agar dia kuat dan boleh buktikan sesuatu kepada mereka yang mengkritik dia.”

“Dia ada cabaran besar untuk terus maju dan perlu terima kesan dari apa yang pernah dia lakukan dahulu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Griezmann Mengaku Dirinya Setaraf Dengan Messi & Ronaldo