Antoine Griezmann Kena ‘Boo’ Ketika Debutnya Bersama Atletico

Antoine Griezmann kena ‘boo’ ketika debutnya bersama Atletico Madrid dalam saingan Champions League bertemu Porto awal pagi tadi.

Ia merupakan debut kedua beliau beraksi di halaman sendiri, dan agak menyiksakan untuk melihat bagaimana teruknya layanan yang beliau terima sepanjang aksinya dalam perlawanan tersebut.

Pemain kebangsaan Perancis itu kembali menyertai Atletico Madrid dari Barcelona sebagai pemain pinjaman pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup.

Dua tahun kariernya di Nou Camp tidak sehebat karier awalnya bersama Atletico Madrid dengan beliau sebelum ini dianggap pemain paling disayangi oleh peminat.

Beliau melakukan debut awalnya ketika membantu Atletico mencatatkan kemenangan bertemu Espanyol di halaman lawan hujung minggu lalu.

Awal pagi tadi, beliau turun beraksi bersama skuad kendalian Diego Simeone, untuk bertemu Porto di Wanda Metropolitano dalam aksi saingan Champions League.

Para penyokong masih kecewa dan sakit hati dengannya, selepas beliau sebelum ini meninggalkan kelab pada 2019 tanpa kerelaan penyokong.

Tanpa berselindung, para penyokong Atletico Madrid meluahkan kekecewaan dan rasa tidak gembira mereka melihat Griezmann kembali menyarung jersi kelab, menjelang sepak mula perlawanan tersebut.

Bermula pada saat yang ke-50 dalam video di atas, ketika nama Griezmann disebut oleh pengacara stadium, reaksi para peminat sudah jelas menunjukkan mereka tidak gembira.

Setiap pemain yang lain semuanya menerima sorakan dari para penyokong tuan rumah, dan hanya Griezmann seorang sahaja yang mendapat reaksi seperti itu.

Ia jelas bukankah satu hal yang diharapkan untuk berlaku oleh Griezmann yang mahu memula dan membangunkan semula kariernya di Wanda Metropolitano.

Ketika beliau dimasukkan pada aksi babak kedua permainan untuk menggantikan Joao Felix, perjalanan masuk Griezmann ditemani bunyi bising serta cacian dari para penyokong.

Griezmann gagal untuk membantu Atletico memenangi perlawanan tersebut, dengan Juara bertahan saingan La Liga itu hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan bertemu Porto.

Beliau turut mempunyai kesempatan untuk menjaringkan gol pada penghujung aksi perlawanan sebelum digagalkan oleh Chancel Mbemba yang dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini meninggalkan Atletico selepas Barcelona mengaktifkan klausa perlepasannya yang bernilai €120 juta.

Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa dua bulan sebelum berakhirnya musim 18/19, Griezmann sudah bersetuju dengan tawaran Barca untuk meninggalkan Atletico.

Lebih teruk lagi, sebulan selepas beliau menyatakan persetujuan untuk sertai Barca secara peribadi itu, Griezmann turut bercakap dalam siri dokumentarinya bersama kelab, yang beliau akan berikan yang terbaik untuk Atletico.

Dek kerana hal itulah para penyokong merasakan yang Griezmann pembelot dan kebencian mereka terhadap bintang Perancis itu mula wujud dan ia masih kekal hingga ke hari ini.

Presiden Atletico Madrid, Eduardo Fernandez telah memberitahu L’Equipe menjelang aksi perlawanan kemarin, yang Griezmann berkemungkinan memerlukan masa yang panjang untuk memenangi semula hati para penyokong.

“Segelintir penyokong akan mengejek dan mengganggu dia, itu sudah tentu. Ketika nama dia diumumkan dan sebaik dia menyentuh bola.”

“Peminat masih kecewa. Sebelum ini, dia adalah idola kami. Sekarang dia hanya pemain biasa, sama seperti pemain lain. Dia tidak begitu disayangi lagi. Imej dia sudah tercalar.”

“Kami semua masih terkesan dengan apa yang sudah dia lakukan. Masa akan menentukan untuk menghilangkan kesakitan kami rasa. Dia akan dapat semula kepercayaan dan kasih sayang kami.”

“Semuanya terpulang pada dia untuk dimaafkan dan tebus kesalahan dia. Bagaimana? Atau apa? Dengan bermain mati-matian dan jaringkan gol. Ketika dia jaringkan gol penting, sikit demi sikit semuanya akan kembali seperti biasa. Kerana dia datang semula untuk buktikan dia sayang kelab.”

Sumber: SB

BACA:  Aksi Felix Terlupa Ingat Dia Maskot Iring Griezmann Masuk Padang Menghibur Para Peminat