Masih Bergelar Ejen Bebas, David De Gea Kini Pertimbang Beli Saja Kelab Bola Sepak

David De Gea masih bergelar ejen bebas sejak meninggalkan Manchester United setelah kontrak beliau bersama kelab Premier League itu tamat kira-kira empat bulan lalu.

Pada masa ini De Gea sepertinya masih jauh daripada diikat atau menyertai mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Malah sebelum ini beberapa laporan turut mendedahkan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu turut akan mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak sepenuhnya sekiranya terus gagal menyertai kelab yang bersesuaian dengan profil dikehendakinya.

Namun demikian ia tidak menghalang De Gea daripada memiliki atau membeli kelab bola sepaknya sendiri.

Laporan daripada Onda Cero yang dikongsi oleh Diario AS mendedahkan De Gea baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Pascual Perez.

Perez adalah pemilik kelab Segunda (divisyen dua Sepanyol), Eldense dan pada September lalu pernah menyatakan niatnya untuk menjual kelab itu.

Dan kini De Gea dilaporkan bersedia untuk menawarkan diri untuk mendapatkan pemilikan penuh Eldense.

Walaupun demikian pertemuan di antara kedua-dua pihak adalah di peringkat awal, dan tidak dapat dipastikan sama ada De Gea akan meneruskan niatnya untuk membeli terus Eldense.

Eldense bukan satu-satunya kelab berada di dalam radar De Gea. Bekas penjaga gol Red Devils itu turut pernah dikaitkan untuk membeli Elche pada 2019.

Pwmbelian Eldense adalah prospek yang menarik untuk De Gea. Kelab itu kini berada di kelompok atas liga dan sedang beraksi cemerlang.

Daripada segi kewangan Eldense turut memiliki struktur yang stabil. Buat masa ini De Gea dipercayai akan mendalami terlebih dahulu kemungkinan untuk mendapatkan pemilikan penuh kelab tersebut.

BACA:  Andre Onana Berhutang Budi Dengan Abangnya Yang Pernah Beraksi Di Indonesia