Aksi Felix Terlupa Ingat Dia Maskot Iring Griezmann Masuk Padang Menghibur Para Peminat

Bintang Atletico Madrid, Joao Felix berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol ketika aksi kemenangan 3-0 menewaskan Real Betis.

Walau bagaimanapun, bukan kejayaan beliau menjaringkan gol yang mencuri perhatian peminat, sebaliknya aksi beliau terlupa ingat dirinya maskot Antoine Griezmann yang mencuri perhatian peminat.

Dalam satu rakaman yang sedang tular di media sosial pada ketika ini, Felix pada ketika itu sedang berdiri menanti pemain utama masuk ke padang di Wanda Metropolitano.

Beliau ketika itu seolah-olah sedang dibuai mimpi atau sedang berada di dunianya sendiri sambil memerhatikan Yannick Carrasco menguruskan maskotnya.

Ketika beliau sedang asyik, pemain yang ditandatangani semula oleh Atletico Madrid sebagai pemain pinjaman, Griezmann mencuit dada Felix sambil menghulur tangan seolah mengajaknya jalan bersama.

Felix awalnya mengabaikan tangan Griezmann, namun kemudian beliau terus menghulur tangan seolah meminta rakan sepasukannya untuk memimpin beliau.

Beliau bahkan turut sempat beberapa langkah berjalan mengiringi Griezman untuk masuk ke padang, sebelum sedar yang dirinya pemain bukan maskot.

Joao Felix kemudian melepaskan tangan Griezmann dan kembali ke tempat di mana beliau berdiri sebelum itu sambil menunggu barisan pemain simpanan yang lain untuk masuk ke padang.

Joao Felix telah dibawa masuk pada aksi babak kedua permainan untuk menggantikan Luis Suarez dengan Atletico Madrid pada ketika itu sedang mendahului 2-0.

Pada minit ke-80, Joao Felix berjaya menjaringkan gol selepas beliau cemerlang menyempurnakan bola umpanan dari Yannick Carrasco.

Gol jaringannya itu pada awalnya di batalkan oleh pengadil kerana menganggap beliau berada di kedudukan offside, namun VAR kemudiannya mengesahkan gol itu tidak offside.

Joao Felix sememangnya ditandatangani oleh Atletico Madrid sebagai pengganti kepada Griezmann ketika bintang Perancis itu melengkapkan perpindahannya menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan bernilai £108 juta.

Namun dek kerana Griezmann serba tidak menjadi di Nou Camp, beliau akhirnya ditandatangani semula oleh Atletico sebagai pemain pinjaman.

Atletico Madrid juga boleh menandatangani terus Griezmann pada musim panas akan datang, dengan nilai yang jauh lebih rendah berbanding nilai mereka jual sebelum itu.

Kedua-dua Griezmann dan Felix berjaya membentuk keserasian sebagai rakan sepasukan dengan bintang Portugal itu menganggap Antoine sebagai antara idolanya.

Sebenarnya memang pernah jadi para pemain masuk ke padang sambil diiringi oleh maskot dewasa dan bukannya kanak-kanak.

Hal itu berlaku di Belanda yang mana para pemain Ajax berjalan masuk ke padang sambil diiringi oleh ibu masing-masing, bagi meraikan hari ibu.

Atletico Madrid berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini, selepas menewaskan Real Betis dengan keputusan 3-0.

Skuad kendalian Diego Simeone itu pada ketika ini berada di kedudukan keempat dalam carta liga, dengan mengumpul 22 mata, 3 mata di belakang Real Sociedad yang sedang memimpin carta liga.

Atletico Madrid juga sedang bersedia untuk berkunjung ke Anfield pada minggu ini, untuk beraksi bertemu Liverpool dalam saingan Champions League.

Mereka pada minggu lalu kecewa kerana tewas 3-2 di tangan The Reds di Wanda Metropolitano dan tentunya anak-anak buah Diego Simeone itu mahu memburu kemenangan dalam pertembungan semula kedua-dua pasukan itu pada minggu ini.

Liverpool sendiri baru saja mencatatkan keputusan seri bertemu Brighton pada minggu ini, dengan persembahan mereka pada aksi babak kedua dalam perlawanan itu sangat teruk.

Seandainya anak-anak buah Jurgen Klopp mempamerkan aksi persembahan yang sama seperti itu, tidak mustahil untuk melihat mereka bakal menjadi mangsa Atletico pada minggu ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Griezmann Terkejut Namanya Tidak Disenarai Pendek Bagi Anugerah Ballon D'Or