Barcelona dan Atletico Capai Kata Sepakat Selesaikan Isu Griezmann

Dua pasukan La Liga yang bertelagah kini telah mencapai kata sepakat dan telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit mengenai pemain bernama Antoine Griezmann.

Barcelona telah membeli juara Piala Dunia itu pada tahun 2019 dengan membayar klausa pelepasan yang bernilai £107 juta kepada Atletico Madrid yang pandai menjana wang.

Walaubagaimananpun dengan bayaran yang tinggi itu, Griezmann tidak mempamerkan aksi seperti yang diharapkan oleh Barcelona yang sering bertukar pengurus dan mengalami masalah kewangan.

Maka selepas dua musim, Griezman kembali ke pangkuan Atletico Madrid secara pinjaman jangka panjang amat selama 2 tahun untuk mengurangkan beban kewangan.

Pemain penyerang Barca itu boleh dibeli secara tetap oleh Atletico Madrid selepas tamat perjanjian pinjaman dengan yuran perpindahan bernilai €40 juta (£34 juta).

Bertaburan laporan menyatakan bahawa dalam perjanjian itu jika Atletico Madrid menggunakan Griezmann untuk 50 peratus minit perlawanan semusim atau kira-kira 45 minit untuk satu perlawanan tanpa dikira masa tambahan dan kecederaan maka ia akan menjadi perjanjian tetap dan Atletico perlu membayar €40 juta.

Pada musim pertama di Wanda Metropolitano, Griezmann telah beraksi sebanyak 80 peratus minit perlawanan dan musim ini menyaksikan Atletico cuba menurunkan peratusan itu.

Kerana itulah penampilan Griezmann musim ini telah dihadkan kurang 30 minit bagi setiap perlawanan dan perkara ini dilakukan Atletico bagi mengelak membayar yuran perpindahan.

Griezmann yang menjadi pemain penting Atletico musim lalu kini menjadi pemain simpanan dan hanya masuk selepas minit ke-60 permainan.

Bengang dengan permainan licik dan kotor di mata Barcelona yang suci itu, maka Barcelona telah membuat ugutan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Atletico Madrid.

Sekeras kepala Diego Simeone begitulah kerasnya Atletico yang langsung tidak goyang apatah lagi panik dengan ugutan Barcelona itu kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar kontrak.

Barcelona merasakan wujud unsur manipulasi namun itu tidak salah dan Atletico telah menyarankan Barcelona supaya tidak campur tangan dalam urusan siapa pemain yang mahu mereka turunkan dalam perlawanan.

Lebih menyakitkan hati Barcelona pastinya, apabila diturunkan untuk tempoh 30 minit terakhir Griezmann mempamerkan aksi cemerlang musim ini dan secara taktikalnya Griezmann telah digunakan secara berkesan.

Griezmann juga tidak membantah walaupun ada yang risau dia akan kehilangan tempat ke Piala Dunia bersama Perancis, tapi jika cemerlang untuk tempoh 30 minit tiada masalah untuk Griezmann mendapat tempat.

Atletico malah mengingatkan Barcelona bahawa mereka tidak akan membeli dan menghantar Griezmann kembali selepas tamat musim jika Griezmann gagal mencapai sasaran. Ugut balik ni.

Barcelona sudah memberitahu Atletico bahawa mereka akan cuba memastikan kelab itu membayar €40 juta dan membeli pemain itu secara tetap. Kerana mereka tahu Atletico mahukan Griezmann.

Barcelona yakin akan meraih €40 juta dari Atletico dengan menyatakan Griezmann telah bermain 80% permainan tahun lalu dan gergasi Catalan itu mendakwa perjanjian pinjaman hanya untuk satu tahun, dengan tahun kedua hanya berkuat kuasa jika dia bermain 50% permainan.

Nampaknya segala dakwaan Barcelona itu hanya omong kosong, Atletico terus buat keras dan akhirnya Barcelona mengalah.

Presiden Barcelona, Joan Laporta kini mendedahkan bahawa perkara itu telah selesai di mana Atletico Madrid hanya akan membayar €20 juta sahaja dengan syarat tambahan sebanyak €4 juta.

“Ia telah selesai dan ia adalah tawaran yang bagus – kami akan menerima €20 juta tetap dan €4 juta sebagai tambahan,” kata Laporta.

“Terdapat klausa lain dalam perjanjian penjualan pemain ialah jika Atletico Madrid memutuskan untuk menjual pemain itu pada masa hadapan, mereka perlu membayar kami perbezaan yang kekal sehingga €40 juta yang ditetapkan sebelum ini.”

Kelab Catalan itu akan meraih bonus tambahan jika Atletico Madrid bercadang untuk menjual Griezmann di masa hadapan.

BACA:  La Liga 2022/23: Real Madrid 2 Atletico 1, Vini Jr Menari Depan Penyokong Atleti