Griezmann Mencatatkan Statistik Terburuk Sepanjang Kariernya Pada Ketika Ini

Antoine Griezmann masih gagal untuk mencatatkan walau satu percubaan tepat dalam saingan La Liga musim ini dengan bintang Perancis itu dilihat semakin sukar untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Selepas mengharungi karier suram di Nou Camp bersama Barcelona, Griezmann akhirnya membuat kepulangan semula ke Atletico Madrid sebagai pemain berstatus pinjaman.

Griezmann juga boleh ditandatangani secara tetap oleh kelab, seandainya beliau membuat 50% penampilan dari kesemua perlawanan Atletico sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, karier kedua bintang berusia 30 tahun itu bersama Atletico seakan mimpi ngeri untuknya, dengan beliau masih gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya.

Dari tujuh perlawanan dalam saingan La Liga musim ini, termasuk tiga bersama Barca, Griezmann masih gagal untuk mencipta walau satu pun percubaan tepat.

Jangan kata assists atau menjaringkan gol, beliau langsung tidak pernah mencipta percubaan tepat mahupun mencipta peluang terbaik untuk menghasilkan gol.

Beliau sudah membuat penampilan selama 315 minit bersama Atletico Madrid, dan sepanjang tempoh tersebut skuad kendalian Diego Simeone itu gagal untuk menjaringkan sebarang gol.

Berbanding mereka beraksi tanpa Griezmann sebelum ini, Atletico Madrid berjaya menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan musim ini.

Pada aksi minggu ini, Atletico tewas 1-0 di tangan penunggu tempat ke-19 liga, Alaves dan ia merupakan kekalahan pertama mereka sepanjang musim ini.

Dalam perlawanan sama, Antoine Griezmann dilihat langsung tidak berfungsi dan beliau tidak mampu memberikan impak yang diharapkan.

Beliau digandingkan bersama Luis Suarez di posisi penyerang namun Griezmann nampak seperti bukan dirinya yang sebenar dalam perlawanan tersebut.

Griezmann yang sekarang jauh berbeza berbanding dirinya ketika beraksi di bawah kendalian Diego Simeone sebelum ini.

Bekas bintang Real Sociedad itu semakin hambar sejak dari ditandatangani dengan nilai £108 juta dari Atletico Madrid ke Barcelona.

Selain beraksi hambar, para penyokong Atletico sememangnya masih belum memaafkan dosa beliau ketika meninggalkan kelab dengan cara terkutuk pada musim 2018/19 yang lalu.

Ketika aksi pertama beliau di Wanda Metropolitano sebagai pemain Atletico yang dipinjamkan dari Barcelona, Griezmann teruk diboo oleh para penyokong sendiri.

Ketika nama beliau disebut, para penyokong memaki, mengejek, menghina dan mengkeji beliau seperti tiada hari esok.

Ketika beliau dimasukkan untuk menggantikan Joao Felix dalam aksi pertemuan bertemu Porto itu, beliau sekali lagi menjadi mangsa hinaan para penyokong.

Presiden Atletico Madrid, Eduardo Fernandez percaya yang Griezmann perlu berusaha lebih keras untuk mendapat sokongan dari para penyokong yang jelas masih membenci beliau.

“Kami semua masih sakit dengan apa yang dia lakukan.”

Jelasnya kepada L’Equipe.

“Masa akan mengubati kelukaan kami. Dia akan kembali mendapatkan kepercayaan dan kasih sayang kami.”

“Semuanya terserah kepada dia untuk dimaafkan dan menebus kesilapan dia. Bagaimana? Atau apa? Dengan menjaringkan gol atau mengharumkan nama kelab. Ketika dia menjaringkan gol penting, sikit demi sikit, semuanya akan kembali seperti biasa. Kerana dia sekali lagi menjadi pemain hebat seperti dia yang kita kenal dahulu, saya sangat yakin itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2021/22: Liverpool 2-0 Atletico Madrid