Dianggap Lembik, Saka Teruk Kena Tibai Dengan Steven Gerrard

Steven Gerrard tibai Bukayo Saka tanpa belas selepas bintang Arsenal itu mengadu beliau perlukan lebih perlindungan dari pengadil perlawanan.

Pengurus Aston Villa itu menganggap Saka terlalu lembik dan tak sepatutnya mengadu hal-hal seperti itu jika mahu terus berada dalam dunia bola sepak.

Saka menjaringkan satu-satunya gol ketika aksi kemenangan 1-0 Arsenal menewaskan Aston Villa di Villa Park kemarin, dengan kemenangan itu berjaya membawa Gunners untuk semakin selesa di kedudukan keempat.

Bintang England itu merupakan penjaring terbanyak Arsenal dalam saingan Premier League musim ini, dengan beliau mengadu hal tersebut selepas merasakan pengadil tidak begitu melindungi beliau dalam perlawanan tersebut.

Beliau telah dikasari oleh Tyrone Mings dalam perlawanan tersebut dengan Saka menganggap rakan senegaranya itu sengaja mengasari beliau.

Pemain pertahanan Aston Villa itu awalnya dapat memenangi bola namun tindakan susulan beliau telah menyebabkan Bukayo Saka jatuh tersungkur.

Mings telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana hal tersebut, namun Saka masih merasakan ia tak cukup.

Selepas tamat perlawanan, Saka memberitahu wartawan BT Sport, Des Kelly yang beliau dapat rasa Aston Villa memang menyasarkan beliau dalam perlawanan tersebut.

“Saya cuma mahu dia tahu yang itulah permainan saya, lari ke arah pemain dengan pace dan kadang kala saya perlukan sedikit perlindungan ketika pemain lain dengan sengaja menyepak saya.”

Jelas Saka.

Ketika sesi sidang media selepas tamat perlawanan, Steven Gerrard telah ditanya tentang dakwaan dari Bukayo Saka itu, dengan beliau jelas sekali tidak gembira mendengar hal seperti itu.

Legenda terhebat sepanjang zaman Liverpool itu kemudiannya mendedahkan tentang bagaimana tubuhnya dimasukkan skru dan bagaimana beliau melalui 16 pembedahan sepanjang kariernya.

“Dia seorang pemain yang bagus, bakat yang sungguh menakjubkan. Saya suka dia.”

Jelas Steven Gerrard.

“Tapi dia tak boleh mengeluh tentang hal itu, inilah bola sepak.”

“Saya duduk di sini sekarang dengan ada skru dekat pinggul saya. Saya dah buat lebih kurang 16 pembedahan.”

“Saya sukar untuk pergi ke gym pada ketika ini.”

“itulah apa yang kita kena terima jika hidup dalam dunia bola sepak Inggeris. Dia akan belajar dan dia akan segera sedar nanti.”

“Dia kata kami terlalu kasar? Adakah mereka tak lakukan kekasaran? Dengar, itu semua sebahagian dari bola sepak.”

“Kali terakhir saya semak, ini bukan sukan tanpa sentuhan. Saya rasa tackle dibenarkan, bermain fizikal dibenarkan selagi mana ia adil.”

Steven Gerrard mempunyai misi untuk memastikan Aston Villa kekal dalam saingan Premier League, dan misinya itu nampak hampir berjaya.

Aston Villa pada ketika ini berada di kedudukan kesembilan dalam carta saingan liga, dengan mereka kini 14 mata dipisahkan dari zon penyingkiran.

Arsenal sementara itu sedang mengukuhkan kedudukan mereka dikelompok empat teratas dalam carta saingan Premier League.

Mereka sebelum ini bersaing rapat dengan Man Utd untuk merebut slot ke saingan Champions League musim hadapan.

Gunners kini nampak lebih berpotensi untuk mendapatkan slot itu memandangkan mereka sedang mendahului United dengan kelebihan empat mata dan masih ada baki satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Malang untuk Man Utd, mereka kini terpaksa akur berada di kedudukan keenam selepas Tottenham Hotspur berjaya memintas mereka dengan kelebihan satu mata.

Ralf Rangnick jelas sekali mempunyai tugas sangat berat dalam usahanya untuk memastikan United beraksi di pentas Eropah pada musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Hall of Fame: Crouch Tampil Pertahankan Gerrard Yang Dikecam