Dion Cools Akhirnya Membuka Akaun Gol Bersama Harimau Malaya

Pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools akhirnya berjaya membuka akaun gol selepas setahun bersama Harimau Malaya ketika membantu Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1.

Pada minit ke 16 Matthew Davies diterjah oleh pertahanan Bangladesh di dalam kotak penalti dan pengadil tidak teragak-agak untuk menganugerahkan sepakan penalti kepada Harimau Malaya.

Safawi Rasid yang ditugaskan untuk mengambil sepakan teresebut tidak mempunyai masalah apabila merembat padu ke sebelah kiri penjaga gawang Bangladesh. Gol ini ternyata menaikkan lagi semangat pemain Malaysia yang dilihat semakin garang melancarkan serangan.

Pada minit ke-30, Bangladesh berjaya menyamakan kedudukan. Gol berpunca daripada lontaran ke dalam yang sangat padu ke dalam kotak penalti Malaysia, dan pemain berjersi nombor 11 melakukan flick header sebelum ditanduk laju oleh pemain berjersi nombor 19, Mohammad Ibrahim.

Dion Cools menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada minit ke 40, apabila rembatan kaki kirinya tidak dapat ditahan dengan kemas oleh penjaga gol Bangladesh, lalu menerjah gawang.

Gol ini merupakan gol pertama kalinya Cools buat pasukan Harimau Malaya.

Bersambung babak kedua menyaksikan Malaysia menambah lagi dua gol melalui jaringan Syafiq Ahmad dan Darren Lok untuk membawa Malaysia ke Piala Asia 2023.

Lantaran kecemerlangan dalam perlawanan menentang Bangladesh, Dion Cools telah diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dion Cools bukan satu nama asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia, pemain kelahiran Kuching Sarawak itu sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Belgium bawah 18, 19 dan 21.

Sebelum ini, bekas jurulatih pasukan bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt dikatakan cuba memujuk pemain Belgium, Dion Cools untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA.

Memandangkan Dion Cools mempunyai darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan rakyat Sarawak tiada masalah untuk beliau beraksi untuk Malaysia.

Namun Cools menolak kerana masih menantikan peluang untuk beraksi bersama skuad senior Belgium dan ketika hampir menginjak usia 25 tahun Cools akhirnya memilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Tanggal 1 Jun 2021, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Cools menjadi pemain terbaharu skuad Harimau Malaya dan khidmatnya sentiasa ditagih.

Selepas setahun bersama Malaysia, Cools telah melakukan 9 penampilan dan berjaya menjaringkan gol pada penampilannya yang ke-9 setahun selepas itu.

Seperti pemain Harimau Malaya yang lain yang mengalami penurunan, prestasi Cools kembali ke puncak di bawah bimbingan Kim Pan Gon.

Perjalanan Karier Dion Cools

Dion Johan Cools dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 4 Jun 1996. Bapanya berasal dari Belgium dan ibunya pula anak kelahiran Malaysia dari Sarawak.

Pemain posisi bek kanan ini memulakan karier bola sepak bersama Tempo Overijse sebelum berpindah ke OH Leuven pada usia 9 tahun.

Kemudian Dion Cools telah menyertai pasukan remaja Anderlecht pada 2010 dan kembali semula bersama akademi remaja OH Leuven pada 2013.

Pada 3 Ogos 2014, Cools membuat penampilan sulung bersama pasukan senior OH Leuven yang beraksi di Liga Divisyen kedua Belgium di bawah bimbingan jurulatih Ivan Leko.

Dion Cools berada dalam kesebelasan utama untuk perlawananmenentang Racing Mechelen. Selepas itu Cools mula menjadi pemain utama walaupun selepas pemecatan Leko.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih baru, Jacky Mathijssen pada bulan Disember 2014, Cools tetap menjadi pemain permulaan di skuad utama.

Pada bulan Mei 2015, dia turut beraksi untuk OH Leuven di pusingan akhir untuk promosi. Cools tidak terlepas satu minit pun dalam perlawanan pusingan akhir dan memenangi promosi ke Divisyeb pertama Belgium.

Pada 23 Jun 2015, Cools telah diikat oleh Club Brugge yang beraksi di Jupiler Pro League merupakan liga divisyen pertama Belgium, liga di mana Luqman Hakim berkelana sekarang.

Cools menjadi pemula di bawah ketua jurulatih Michel Preud’homme pada musim 2016-17 kerana prestasi buruk oleh bekas pemain antarabangsa Belanda Ricardo van Rhijn.

Cools juga kekal sebagai pemain utama di bawah jurulatih baru Ivan Leko, di mana mereka pernah bergandingan di OH Leuven. Kehadiran Clinton Mata menyebabkan Cools kehilangan tempatnya.

Bersama Club Brugge selama lima musim, Dion Cools berjaya merangkul dua kali gelaran liga dan dua kali Belgian Super Cup.

Pada 31 Januari 2020, Cools menandatangani kontrak tiga tahun bersama Midtjylland yang beraksi di Superliga Denmark.

Dion Cools membuat debut pada 17 Februari ketika Midtjylland menang 2-0 ke atas Lyngby. Bersama FC Midtjylland, Cools pernah beraksi menentang Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara.

Dalam perlawanan tersebut, Cools dilihat dengan bersahaja merantai pergerakan Sadio Mane. Dia juga mencipta beberapa peluang melalui hantaran-hantaran bijak ke kotak penalti lawan. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Cools menjaringkan gol pertamanya untuk Midtjylland pada 14 Februari 2021, satu-satunya gol perlawanan tersebut menentang Horsens di Superliga.

Demi mendapatkan lebih minit permainan, pada januari 2022, Cools telah dipinjamkan ke Zulte Waregem sehingga penghujung musim.

BACA:  Kenali Dion Johan Cools Senjata Rahsia Harimau Malaya