“Saya Minta Maaf”- Dion Cools Mengaku Pamer Aksi Hambar Bertemu Singapura

Pemain pertahanan negara, Dion Johan Cools meminta maaf kepada para penyokong kerana mempamerkan aksi persembahan hambar ketika bertemu Singapura malam semalam.

Beliau mengakui yang aksinya dalam perlawanan tersebut sangat teruk dan kerana itulah beliau mahu meminta maaf kepada penyokong.

Skuad Harimau Malaya tewas buat pertama kalinya sejak era Kim Pan-gon dengan mereka terpaksa akur tewas 2-1 di tangan Singapura.

Ikhsan Fandi Ahmad berjaya meledak dua gol dalam perlawanan ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Liridon Krasniqi sementara itu berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama skuad kebangsaan Malaysia, namun gagal untuk bantu Harimau Malaya mengelak dari kekalahan.

Dion Cools jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan tersebut dengan beliau kerap melakukan kesilapan mudah yang boleh beri ancaman bahaya kepada gawang negara.

Positioning antara perkara yang paling utama perlu beliau perbaiki kerana Dion Cools terlalu kerap naik ke atas dan kurang membantu barisan pertahanan.

Kualiti kawalan bola, hantaran dan lain-lain sepertinya tidak begitu bermasalah dengan Cools sendiri sedar akan kesilapan beliau dalam perlawanan ini.

Beliau ketika era Tan Cheng Hoe lebih kerap diletakkan di posisi centre-back untuk bergandingan bersama Aidil Zafuan dan Shahrul Saad

Namun di bawah kendalian Kim Pan-gon, Cools diberi kepercayaan untuk bermain di posisi kegemarannya iaitu di posisi pertahanan kanan.

Dion Cools memuat naik status di laman media sosial miliknya untuk meminta maaf kepada para penyokong dan turut berjanji akan perbaiki persembahannya.

“Saya tak akan menafikannya. Ini merupakan persembahan terburuk saya bersama skuad kebangsaan dan saya benar-benar mahu meminta maaf kepada semua orang.”

“Perlawanan sebelum ini sangat menakjubkan, perlawanan ini merupakan yang paling ingin saya lupakan segera. Ini sebahagian dari kehidupan. Sekali lagi terima kasih untuk sokongan dan selepas ini kita semua boleh raikan bersama.”

Tulis Dion Cools di laman media sosial miliknya.

Pujian harus diberikan kepada Dion Cools kerana berani tampil untuk meminta maaf selepas pamer aksi yang mengecewakan.

Skuad Harimau Malaya gagal untuk kekalkan momentum kemenangan mereka selepas kejayaan menewaskan Filipina 2-0 kemarin.

Aksi bertemu Singapura, Malaysia turut terlepas kesempatan untuk menjaringkan gol selepas Safawi Rasid gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti yang beliau menangi.

Kekalahan ini jelas sekali agak mengecewakan namun satu hal yang pasti, Kim Pan-gon masih ada masa untuk perbaiki segala kekurangan yang ada.

Beliau perlu menyiapkan skuad terbaiknya menjelang kelayakan Piala Asia yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Posisi serangan antara bahagian yang perlu banyak diperbaiki kerana posisi tersebut juga dilihat sangat lemah dan tak berkesan.

Selepas Syafiq Ahmad dikeluarkan kerana masalah kecederaan, jentera serangan negara nampak sedikit kucar kacir dan tak keterlaluan untuk menganggap mereka sangat tumpul.

Walau Syafiq tidak menjaringkan gol, namun gerakan yang beliau cipta kebiasaannya mengundang bahaya kepada barisan pertahanan lawan, dan selepas beliau keluar, hal itulah yang tidak dilihat ada pada pemain penyerang Malaysia yang lain.

Di posisi pertahanan dan tengah juga perlu diperbaiki lagi dengan barisan pertahanan negara terlalu mudah untuk dilepasi.

Pemain pertahanan yang memakai jersi nombor tujuh, Aidil Zafuan juga antara pemain yang paling teruk dikritik oleh para peminat selepas aksi kekalahan bertemu Singapura semalam.

Semoga saja skuad Harimau Malaya boleh kembali bangkit dan lakukan yang terbaik di kelayakan Piala Asia nanti.

BACA:  Aksi Penyelamatan Berkelas Dunia Dion Cools Memukau Peminat Seluruh Dunia